Tuesday, May 27, 2008

Malu dengan kelakuan Yang Berhormat2

Dewan kecoh lagi pagi ini. Gara-gara apabila Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (YB Dato Ir Hj Idris Hj Harun) tidak menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Terap (YB Mohd Nasir Zakaria) mengenai kedudukan atau ranking universiti awam tempatan. Soalan berkisar kepada perlantikan Naib Cancelor UM dan juga penglibatan UM dalam pembangunan tanah UM (Nanti tengok hansard parlimen untuk perincian) . Yang DiPertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin haji Mulia telah mengingatkan Timbalan menteri yang beliau tidak perlu menjawab soalan tambahan kerana ianya terkeluar daripada skop soalan asal (itu pendapatnya). Walaubagaimanapun, Timbalan Menteri menjawab juga mengenai kedudukan universiti tempatan. Padang Terap membantah berulang kali kerana katanya Timbalan Menteri tidak menjawab soalannya. Setelah beberapa kali Padang Terap mencelah maka Timbalan Menteri menyuruh Padang Terap duduk dan mengeluarkan perkataan Tamil (saya sendiri memahami dari isyarat yang digunakan Timbalan Menteri dengan tangan nya menyuruh Padang Terap duduk).

Sekonyong-konyong Ipoh Barat (YB M.Kulasegaran) bangun meminta Timbalan Menteri menarik balik apa yang telah diucapkan dan mengatakan perkataan tersebut tidak patut diucapkan. Timbalan Menteri pula minta Ipoh Timor mengulangi perkataan yang disebutnya itu. Mungkin untuk memerangkapnya.

Apa yang berlaku selepas itu adalah seperti pasar. Kedua-dua belah pihak saling tuduh menuduh. Memang ada hero-heronya dari kedua belah pihak, baik BN maupun PR. Yang diPertua tidak dapat mengawal dan kemuncaknya apabila Padang Serai berjalan ke arah Yang di Pertua tanpa izinnya. Memang terkejut besar semua orang. Tujuan beliau berbuat demikian ialah untuk membisikkan kepada Yang diPertua maksud perkataan Tamil yang digunakan oleh Timbalan Menteri, tetapi beliau melanggari konvensi. Maka lepas itu "hell break loose". Jikalau anda menyaksikan siaran langsung, anda akan memahami apa yang telah berlaku.

Saya sebenarnya kecewa. Saya sendiri merasakan tindak-tindak tanduk yang terlibat amat memalukan kerana reaksi yang melampaui batas. Tidak kiralah mereka di sebelah mana. Hilang pertimbangan tata tertib dan tidak menghormati rayuan Yang di Pertua berkali-kali supaya semua duduk dan beliau akan membuat keputusan. Kalau para Yang Berhormat bertindak begini di dalam Dewan yang mulia ini apa lagi yang dapat kita harapkan daripada rakyat biasa dan remaja. Di dalam Dewan perlu ada etika bagaimana menyatakan bantahan dan akhirnya terpaksa menerima keputusan speaker Dewan, suka atau tidak.

Dalam kekecohan tersebut saya merasakan saya tidak sanggup berada dalam Dewan ketika itu. Lalu saya keluar untuk ke pejabat pengurusan parlimen untuk tujuan tertentu. Dari luar Dewan saya mendengar (melalui TV lintas langsung yang terletak di merata temapat dalam kawasan parlimen), Ahli Parlimen Gombak telah meminta supaya Ahli Parlimen Padang Serai memohon maaf di atas tindakannya. Saya merasa lega mendengar Padang Serai meminta ma'af kerana dari pengalaman hampir sebulan di Parlimen ketegangan, perdebatan dan kekecohan akan berpanjangan sehingga ada satu pihak yang beralah.

Memang benar banyak perkara mengenai perjalanan perbahasan di Dewan yang tidak dipersetujui oleh Ahli Parlimen Pembangkang. Ramai yang tidak berpuas hati kerana banyak isu hanya dibahaskan secara "touch n go" yakni tidak lumat betul. Masa menjawab soalan lisan, hanya dua soalan tambahan yang dibenarkan. Menteri atau Timbalan Menteri pula berhak menjawab sebagaimana yang disukainya. Ada kalanya menepati kehendak soalan dan ada kala menyimpang jauh menyebabkan rasa tidak puas hati Ahli Dewan.

Sabar aje-lah.......:-)

Sunday, May 25, 2008

Ucapan YB Dr. Siti Mariah binti Mahmud – Usul terima kasih titah DiRaja

Ucapan YB Dr. Siti Mariah binti Mahmud – Usul terima kasih titah DiRaja
Ucapan YB Dr. Siti Mariah binti Mahmud – Usul terima kasih titah DiRaja(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana membenarkan saya menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.Tuan Yang di-Pertua, kita baru sahaja mendengar ucapan yang begitu bersemangat dan provokasi daripada Yang Berhormat Kota Belud. Tetapi kalau saya hendak menjawab kesemuanya pasti point saya tidak akan habis petang ini. Namun saya ingin mengatakan bahawa parti PAS masih berkonsepkan Islam. Parti PAS tidak lari daripada konsep Islam. Cuma kali ini parti PAS masuk di dalam pilihan raya dengan menterjemahkan konsep Islam yang kami pegang ke arah negara yang amanah, adil, berkebajikan dan bersih.

Saya rasa adalah satu penghinaan apabila kita mempersoalkan cara pakaian seseorang itu. Kita adalah manusia bertamadun yang boleh menghormati cara berpakaian orang lain. Bagaimana kita boleh menghina orang yang menutup aurat, berpakaian serban yang ingin mengikuti sunnah sedangkan kita tidak mengkritik orang yang berbogel. Kalaulah benar Malaysiakini yang menerbitkan perkara-perkara begini, maka kita sebagai Yang Berhormat tidak harus keluar daripada mulut kita kerana kita dipandang sebagai pemimpin. Kalau pemimpin menghina, jangan harap rakyat juga tidak akan turut menghina.

Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada pengundi Kota Raja yang memberi keyakinan yang tinggi kepada saya dalam pilihan raya yang lepas. Saya tidak berniat untuk mendabik dada atau riak kerana pada awalnya memanglah kerusi yang saya tandingi bukanlah kerusi selamat untuk calon PAS. Di dalam PAS, falsafah kami apabila masuk pilihan raya, menang belum tentu, kalah dalam tangan. Kalau kami kalah kami tidak menangis, tetapi kami terus berjuang selama 50 tahun tanpa kecewa. [Tepuk]Tuan Yang di-Pertua, kawasan yang saya tandingi Melayu Islam, bukanlah majoriti hanya 47%. PAS sekarang ini alhamdulillah bukan setakat menang di kawasan Kota Raja ini, tetapi kami menang di kawasan BN dominan area dengan majoriti 20,000. Satu majoriti yang kedua tertinggi dalam BN dominan area. Saya tidak hendak mendabik dada, tetapi saya ingin mengatakan bahawa ini adalah satu amanah yang amat berat bagi kami untuk tanggung. Namun kami lihat kesungguhan rakyat dan keyakinan rakyat setelah melihat PAS memerintah Kelantan selama 18 tahun tidak ada satu pun kuil dan rumah ibadat yang diruntuhkan. [Tepuk]Mereka melihat di mana Kerajaan Kelantan, Menteri Besarnya Yang Amat Berhormat Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diiktiraf oleh GERAK sebagai Menteri Besar yang paling bersih.

Yang Berhormat sekalian, saya ingin bergerak kepada tajuk yang lain. Saya ingin menyambut kepada apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Tenggara tadi kerana sebagai wanita kami mesti memperjuangkan pemartabatan wanita. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya ingin menarik perhatian Dewan ini kepada segolongan wanita yang apabila mereka ditanya apa pekerjaan mereka, maka mereka akan menjawab dengan suara dan nada yang perlahan, saya suri rumah sahaja atau saya tidak kerja, malah kita tahu padahalnya mereka ini adalah suri rumah yang tidak pernah kering tangan yang bekerja 24 jam dengan kerja-kerja yang mereka lakukan ini yang kita anggap mulia. Setiap kali, setahun sekali kita menganugerahkan, di antara mereka mungkin beberapa orang sebagai ibu-ibu mithali, "women of the year" dan sebagainya, tetapi kebanyakan wanita suri rumah tidak diberi penghargaan yang sepatutnya, hanya lip service. Belum ada lagi kita lihat seorang atau sejenis pekerjaan yang ditanggung oleh suri rumah yang semua sedia maklum dia boleh melakukan dua atau tiga kerja pada masa yang sama. Para ibu dan suri rumah ini sering disebut sebagai penyumbang kepada produktiviti negara, kerana merekalah yang membesarkan modal-modal insan yang selalu kita katakan mesti kita perkasakan demi untuk memajukan dan membangunkan negara ini. Sumbangan mereka dikatakan tidak boleh diukur atau "intangible", maka tidak cukup bagi kita hanya memberi sanjungan "lip service" dan penghormatan setahun sekali, tetapi mestilah menunjukkan pengiktirafan dan penghormatan kepada mereka dengan lebih konkrit.

Saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya mencadangkan kepada kerajaan dan membuat perancangan dan strategi, bagaimanakah kita boleh membalas budi modal-modal insan ini yang duduk di rumah, yang selama ini dipandang sebelah mata. Mungkinkah kita boleh mewujudkan satu skim ala KWSP dan PERKESO untuk mereka, di mana sebahagian atau sejumlah kecil wang disumbangkan sama ada oleh suami mereka atau oleh pihak kerajaan sebagai penghargaan ke atas pengorbanan mereka membesarkan dan mendidik anak-anak, dan wang ini seperti juga kakitangan-kakitangan kerajaan ataupun orang yang bekerja sebagai employee, dengan izin boleh mereka gunakan apabila mereka pencen dan sebagainya. Pencen maknanya sampai umur 56, tidak ada suri rumah yang pencen Yang Berhormat sekalian.

Kalau inilah penghargaan yang kita berikan kepada kaum wanita yang bergelar suri rumah, saya meminta seluruh Dewan ini supaya apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat datang dengan cadangannya, maka kita semua memberi sokongan yang jitu dan para suami janganlah rasa takut kerana apabila kita menyumbang kepada isteri yang kita iktiraf sebagai orang yang berjasa mendidik anak-anak kita, kita telah melakukan satu kebajikan yang amat besar kepada mereka. Jadi, janganlah kita pandang sinis kepada suri rumah ini.

Kita bercakap mengenai bahawa kita adalah satu masyakat yang prihatin, masyarakat yang ingin menunjukkan kasih sayang kepada orang-orang yang kurang bernasib baik. Ahli-ahli Yang Berhormat, sedarkah kita apabila kita menganiayai suami-suami segolongan daripada mereka dengan menahan mereka di bawah ISA tanpa tuduhan. Mereka tertanya-tanya, apakah kesalahan suami mereka yang mereka kenali sebagai suami yang penyayang dan bapa yang bertanggungjawab? Mereka ditinggalkan tanpa suami untuk menjaga dan melindungi mereka, dan mereka dibiarkan terkapai-kapai di dalam masyarakat. Keluarga ISA, isteri-isteri ISA dan anak-anak mereka dipinggirkan oleh kerajaan. Sekurang-sekurangnya sebagai satu tanda kasihan ataupun prihatinnya kita kepada mereka, kerana kerajaan mengatakan mereka kononnya selalunya ada bukti-bukti yang mengatakan orang-orang yang ditahan di bawah ISA ini telah membahayakan keselamatan negara dengan mengatakan ada bukti, tetapi tidak dibawa ke mahkamah. Ini adalah satu penganiayaan. Jadi sebagai satu cara kita makeup dengan izin, di atas kelemahan ini maka saya harap sekali lagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memberi perhatian kepada isteri dan anak-anak mangsa tahanan ISA ini. Janganlah mereka dipinggirkan kerana kesusahan dan penderitaan yang mereka alami sekarang akan meninggalkan luka dan pahit di hati mereka dan akhirnya mereka juga akan membesar, memusuhi atau membenci kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bergerak kepada satu lagi topik iaitu isu bahasa. Saya bekas tenaga pengajar UKM. Pada 18 Mei, UKM akan menyambut sempena 38 tahun penubuhannya. Universiti Kebangsaan Malaysia telah banyak berjasa kepada negara. Di antara matlamat penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri. Selama 13 tahun saya di sana, saya melihat sendiri dan terlibat dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Tidak ada satu subjek atau satu kursus pun yang tidak dapat diajar di dalam bahasa Melayu. Kita ada istilah bahasa untuk semua kursus dan setiap kursus mampu diajar hampir 100% di dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan yang telah diterima oleh semua bangsa di dalam negara kita sebagai bahasa Malaysia. Akan tetapi langkah kerajaan kita meletakkan program pengajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris, kononnya bahasa Inggeris itu adalah satu bahasa yang penting untuk ilmu dalam dunia yang bersifat global ini. Saya tidak menafikan kepentingannya, namun apabila kita menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik, ini bermakna apabila penuntut-penuntut sampai ke peringkat universiti mereka sudah tak ada lagi kemampuan untuk belajar, dan mungkin kemudian Universiti Kebangsaan Malaysia tidak lagi boleh mengajar di dalam Bahasa Melayu. Maka kita dengan sendirinya, UMNO dengan sendirinya seperti apa yang telah mereka lakukan kepada tulisan jawi, telah membunuh tulisan jawi dan kini kita dalam proses untuk membunuh bahasa Melayu itu…. [Tepuk]

Yang Berhormat sekalian, kita tidak menafikan bahasa Inggeris itu bahasa yang penting. Saya sendiri sebelum menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia berfikir di dalam bahasa Inggeris kerana saya datang daripada aliran Inggeris, tetapi oleh kerana rasa di dalam hati patriotisme yang kita ada, saya sanggup mempelajari semula semua istilah perubatan di dalam bahasa Melayu dan saya mampu melakukannya. Jadi saya harap, janganlah kita memberi apa yang dikatakan dengan izin, double whammy atau double jeopardy kepada anak-anak kita yang boleh memahami sains dan matematik lebih baik dengan bahasa ibunda. Kajian telah menunjukkan bahawa untuk kita belajar mata pelajaran yang abstrak seperti matematik dan sains, adalah lebih baik kita belajar dengan bahasa ibunda dan bukan bahasa asing, kerana anak-anak kita terpaksa daripada Darjah 1, pertama untuk memahami, kedua menterjemahkan pula bahasa itu di dalam otaknya untuk memahami apa yang diperkatakan di dalam kedua-dua mata pelajaran ini. Maka kita telah memberi kesukaran yang amat sangat kepada mereka, tambahan di luar bandar ibu bapa tidak mampu untuk menolong mereka dalam sains dan matematik, apa lagi di dalam bahasa Inggeris.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kalau kita katakan, bahawa kita perlukan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar untuk mata pelajaran matematik dan sains, supaya sains dan teknologi kita capai kepada satu tahap yang tinggi, maka saya ingin bertanya, adakah negara-negara maju lain seperti Germany, Perancis, Jepun, Korea dan banyak lagi negara-negara lain - China, Taiwan mengajar matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris? Tidak! Kalau kelemahan bahasa Inggeris itu adalah disebabkan oleh kelemahan metodologi pengajarannya, maka perbaikilah metodologinya. Sekiranya kelemahan dalam bahasa Inggeris itu tidak cukup gurunya, maka tambahlah gurunya. Bukan kita mendaulatkan atau membesarkan bahasa Inggeris dan kemudian membunuh bahasa Melayu. Kalau kita tidak melakukan sesuatu dari sekarang, maka dalam 10 tahun lagi anak-anak Melayu, anak-anak Cina, anak-anak India, anak-anak Kadazan tidak akan mengetahui istilah-istilah sains, matematik, fizik dan sebagainya di dalam bahasa Melayu. Jadi saya mohon Kementerian Pelajaran membuat perubahannya sekarang. Janganlah mengambil 50 tahun seperti yang kita lihat, apa yang berlaku dengan tulisan jawi. Walau banyak mana pun kita bagi naskhah Utusan Melayu (Utusan Zaman) dengan percuma, kita tidak dapat menghidupkan kembali tulisan jawi itu sendiri….

Tuan Yang di-Pertua, satu isu lagi adalah, saya nak sebut sedikit mengenai doktor-doktor ataupun perkhidmatan kesihatan. Walaupun pun, saya mendapat jawapan daripada Kementerian Kesihatan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menswastakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan, namun tindak-tanduk kerajaan sedikit demi sedikit yang kita tahu telah menswastakan pembekalan ubat-ubatan. Telah menswastakan perkhidmatan kejuruteraan. Telah menswastakan khidmat ambulan dan telah menswastakan kebanyakan perkhidmatan-perkhidmatan hospital. Dan terakhir sekali ialah menswastakan sebahagian daripada perkhidmatan doktor pakar itu sendiri. Kita telah bermula di Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya. Jadi kalau kita bayangkan doktor-doktor pakar ini, siapa jadi doktor dia tahu. Kalau dia jadi pakar dia bukan sahaja merawat pesakit, dia juga mengajar doktor-doktor pelatih, dia juga mengajar penuntut-penuntut perubatan. Bila masanya dia hendak melihat pesakit-pesakit swasta ini? Jawabnya, selepas waktu kerja. Dan kita tahu apabila seseorang itu mula bekerja daripada pukul 8.00 pagi hingga pukul 4.30 petang, disambung sampai pukul 7.00 malam, maka dia mesti mengekalkan endurance, stamina dia. Maka, apa akan berlaku? Dia akan slow down, dia akan perlahan di dalam aktivitinya daripada pukul 8.00 pagi hingga pukul 4.30 petang. Tanyalah di sini semua. Itulah sebabnya kita lihat kadang-kadang, pekerja-pekerja kilang ataupun pekerja-pekerja kerajaan juga sedikit masa dahulu buat kerja lambat semasa waktu pejabat kerana hendak ambil overtime kerana overtimenya ada bayaran….Jadi inilah sinonim atau analogi yang ingin saya berikan.

Sekarang ini, saya kena sebut ini, dengan penswastaan ataupun kita mengatakan dengan promosi kerajaan untuk mewujudkan pelancongan kesihatan maka brain drain ataupun dengan izin, doktor-doktor pakar ini akan berhijrah kepada pihak swasta kerana ganjaran di sana lebih baik. Sebenarnya kami telah mengemukakan , Gerakan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan telah menyampaikan memorandum kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum pilihan raya lagi, minta perkara ini dibincangkan sehalus-halusnya, selumat lumatnya, tetapi Perdana Menteri yang selalu berkata, “Saya sedia mendengar, telinga saya besar”, tidak sekalipun mahu berjumpa gabungan NGO ini yang mempunyai 60 NGO yang bergabung. Kalau inilah yang ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kami menangis dahulu bagi pihak tuan-tuan dan puan-puan.

Sebenarnya banyak lagi, saya harap kawan saya akan sambung. Wabillahi taufik,wassalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.

Tuesday, May 20, 2008

Lawatan kerumah keluarga orang kurang upaya

Keluarga ini belum pernah mendapat bantuan orang kurang upaya sejak 25tahun yang lalu.

Kunjungan Dr Maria adalah untuk membantu keluarga ini bagi mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Monday, May 19, 2008

Dr Siti Mariah gesa dikaji semula istilah perhimpunan haram

Dr Siti Mariah gesa dikaji semula istilah perhimpunan haram

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh)- Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) meminta Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula penggunaan istilah ‘perhimpunan haram’ kerana perhimpunan yang dilakukan oleh rakyat adalah bagi menyatakan perasaan tidak puas hati secara aman yang dijamin oleh Perlembagaan.

Katanya, setiap kali Pakatan Rakyat memohon permit untuk berhimpun daripada polis, permit tersebut tidak diberikan. Beliau berkata demikian ketika meminta penjelasan dalam ucapan penggulungan Kementerian Dalam Negeri yang dijawab oleh Menterinya, Dato’ Seri Syed Hamid Albar.

“Jika di London, boleh berarak sejuta orang dengan aman dan pihak polis mengawal keselamatan. Kenapa tidak di Malaysia polis bertindak menjaga keamanan? Kami biasanya keluar hanya untuk menyatakan pandangan kami

Sementara itu Syed Hamid menyatakan sungguhpun pihak polis menyatakan perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram, tetapi perhimpunan tersebut tetap diteruskan.
“Walaupun kita menyatakan tidak boleh diadakan ‘perhimpunan haram’ , tetapi berapa banyak perhimpunan haram yang dibuat oleh pembangkang? Kata hendak buat perjumpaan dekat Kelab Sultan Sulaiman untuk 300 ahli sahaja tetapi sekali datang beribu.

“Kita tidak mengambil tindakan dan membiarkan mereka bercakap. Begitu juga dengan perhimpunan di Ipoh bersama Menteri Besar, kita juga memberi kelulusan” katanya.

Kata-kata Syed Hamid itu menyebabkan beberapa orang Ahli Parlimen bangkit bersuara.
N.Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang tiba-tiba bangkit menyebut ” Raja Petra… ” segera dipintas oleh Syed Hamid.

Katanya, berkenaan dengan tangkapan yang berlaku ke atas penulis blog, Raja Petra Kamaruddin, jelasnya polis terpaksa mengambil tindakan apabila terdapat laporan kesalahan yang berlaku.

Katanya polis diberikan kuasa untuk menyiasat kerana beliau dituduh dibawah siasatan seksyen 41C Akta Hasutan.

“Beliau diberi pilihan untuk menginkat wang jaminan tetapi enggan berbuat demikian, jadi memilih untuk dipenjarakan di Penjara Sungai Buluh. Tetapi akhirnya memilih untuk membayar. Baguslah tu, beliau mengikut undang-undang,” katanya. - mr

Thursday, May 15, 2008

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts