Sunday, January 16, 2011

30 pindaan sebelum PRU 13

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengkaji sistem undi proksi bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. 

Ia sebahagian daripada pindaan-pindaan yang dipertimbangkan untuk dibawa suruhanjaya itu, dipercayai akan diguna pakai jika diluluskan semasa pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut bakal diadakan akhir tahun ini.

Sebelum ini, spekulasi menyebut pilihan raya umum tergempar akan dipanggil pada separuh pertama tahun ini.

Kini ramalan terbaru mengatakan ia kemungkinan akan 'dianjak' sehingga suku akhir 2011 berdasarkan hasil pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), 8 Januari lalu.

“Kita punya sasaran (guna pakai pindaan ini) ketika pilihan raya umum ke-13 . . . insya-Allah, kita punya sasaran kita hendak bawa (luluskan) pindaan ini pada tahun ini, awal tahun ini, ia dibawa kepada Kabinet dan Parlimen.

“Harap-harap ia boleh dibawa ke sidang Parlimen Mac ini, jika tidak pada (sidang bulan) Jun,” kata beliau.

Beliau memberitahu, pindaan yang disyorkan mereka tidak dapat digunakan ketika pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Mandat semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir Julai ini.

Di bawah syor SPR itu, sistem proksi dilihat mirip hak mengundi yang diamalkan di sektor korporat yang membolehkan seseorang mengundi dalam mesyuarat agung tahunan bagi pihak orang lain.

“Kita sedang kaji undi proksi, khusus bagi mereka yang tidak dapat hadir pada hari pengundian,” kata beliau ketika ditemu bual oleh The Malaysian Insider di pejabatnya di sini.

Sistem undi proksi berbeza daripada undi pos yang digunakan sekarang.

Sambil mengakui ia bukan mudah untuk dilakukan, Abdul Aziz berkata, jika sistem itu diluluskan ia akan dijalankan dengan ketat supaya tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Ada cara, ada caranya . . . ia mesti ada cara sendiri,” kata beliau sambil menambah, beberapa negara lain dan pihak berkuasa tempatan mereka sudah mengamalkan sistem tersebut.
Misalnya laman web pilihan raya Toronto menyebut, pengundi-pengundi yang tidak dapat hadir pada hari pengundian boleh memohon mendapatkan kemudahan hak undi berproksi.

Di bawah sistem pengundian Toronto itu, undi proksi membolehkan pemilih lain yang tinggal di kawasan atau bahagian yang sama mengundi bagi pihak mereka yang hendak memberi hak mereka kepada orang lain.

Di Toronto, seseorang pengundi proksi tidak boleh mengundi bagi pihak lebih dua pemilih berdaftar dan permohonan perlu dibuat sehari sebelum hari pengundian.

Kali terakhir SPR mengadakan pindaan undang-undang pilihan raya secara komprehensif adalah pada tahun 2002.

Ketika ditanya sama ada pindaan kali ini akan membabitkan pindaan secara komprehensif sebagaimana dilakukan lapan tahun lalu, Abdul Aziz berkata, “berharap begitu, tapi pindaan besar tapi bukan komprehensif.”

Menurut beliau pindaan kali ini melibatkan sekitar 30 perkara dengan sebahagian besarnya sudah pun diteliti dan kemungkinan akan diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri, dijangka bulan depan.

Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut pindaan-pindaan yang dipertimbangkan atas alasan ia masih diteliti.

“Tak boleh cakaplah apa yang kita nak pinda, tak bolehlah beri contoh, macam saya kata tadi, kalau permainan (hari pilihan raya) tak mula lagi, pengadil tak boleh tiup wisel (tidak boleh mula kawal kempen pilihan raya),” katanya lagi.

“Pindaan banyak, macam-macam akta dan peraturan . . . tapi apa kita hendak pinda maaflah (tidak boleh beritahu sekarang),” kata Abdul Aziz.

Katanya, pindaan terbaru ini bertujuan memudahkan urusan pengendalian pilihan raya dapat dijalankan dengan cekap dan telus.

Bagaimanapun berdasarkan gambaran sebelum ini pindaan itu termasuk soal menguruskan proses penamaan calon di mana jumlah hari atau tempoh sesi penamaan calon mungkin dipanjangkan dan perubahan pada sistem undi pos.

Sebelum ini pernah ada cadangan supaya had perbelanjaan pilihan raya, bentuk kempen termasuk menggunakan teknologi dan dana parti-parti politik turut diambil kira oleh SPR dalam pindaan masa depan.

Proses pendaftaran pemilih baru dan tukar alamat tempat mengundi juga dipercayai sedang dikaji.

Kini pendaftaran pemilih dijalankan sepanjang tahun dengan diwartawakan setiap suku tahun.

Abdul Aziz berkata, pindaan kali ini termasuk juga menggantikan istilah-istilah yang tidak sesuai dengan perkembangan semasa yang turut mengambil kira perkembangan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

“Misalnya, kami sedang mengkaji kesesuaian perkataan membuang undi . . . perkataan 'membuang undi' tidak sesuai, ia bermaksud membuang kertas undi bagi sesetengah orang.

“Ini antara perkataan yang ada dalam undang-undang kita, ini kena dikaji dan dipinda dengan perkataan lebih sesuai,” kata beliau.

Kini, dalam mengendalikan pilihan raya SPR bergantung pada Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (1981) dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) (2003).

SANTAI PAGI DALAM KAWASAN



Salam semua

Pagi ni YB sempat bertemu rakyat di Taman Rakyat Klang.

Sempat mengambil beberapa aduan infra yang tidak memuaskan dan sempat bertanya khabar.Ramai yang tak sangka YB berada disitu dan dapat bermesra dengan pegunjung yang melakukan aerobik dan senaman bersam keluarga.

YB Dr Xavier selaku Adun Andalas juga turun bersama dalam program pagi ini.

Kaunter semakan undi dan pendaftaran pemilih baru turut dibuka oleh ARO Pn Azimah Muda bagi memberi peluang mendaftar.

Saya cukup puas hati melihat 2 YB ada depan mata pagi ini ...macam mimpi saja...kata salah seorang pengunjung.....

Selesai dari program ini YB Bergegas menziarahi 2 kematian di Kampung Jawa sebelum berangkat ke Tenang.

Ramai yang tegur sempat ye YB datang Ziarah....Pagi ni saya berada dalam kawasan jadi saya datang la...

Kesedihan keluarga terubat dengan pelukan YB sambil mengucapkan Takziah....

Possted By Mohd Azmi Bin Jusoh.Pegawai Khas Kpd YB DR Siti Mariah

Monday, January 10, 2011

INTERLOK: SAYA TIDAK HADIR DI UPACARA PEMBAKARAN NOVEL

Saya sudah mula menerima sms yang di ajukan (forwardkan) kepada saya oleh sahabat-sahabat. SMS yang mereka terima daripada NGO dan nama besar dalam dunia penilisan - Pak Samad dan Dinsman.

Sms yang di ajukan oleh Yb Teresa Kok: Why Dr Maria involved bakar buku Interlock? Dia tak faham seni ke3?tq

Sms dari Pak Samad : Saya baru baca berita tentang sokongan YB Dr Mariah Mahmud (PAS) terhadap MIC mengkritik Abdullah Hussein dan “Interlok”nya, malah menyaksikan pembakaran novel dan gambar Abdullah Hussein. Saya putuskan tidak hadir dimajlis PAS di tenang….. Pak Samad

Sms dari Dinsman: Mngapa dr Mariah ikut sokong bakar novel Interlok? Tentu dia x faham apa masalah sbnar. Tlg lihat knyataan penuh Paksi mngnai isu ini dlm Malaysiakini 5 jan.

Mingguan Malaysia melaporkan di muka surat 4: Novel Interlok dibakar . Saya quote di antara laporan yang keluar ialah “ Turut hadir pada demonstrasi itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M Manoharan.

Ketika bercakap kepada pemberita, Mariah berkata, pihaknya mengaku Interlok adalah karya yang hebat tetapi terdapat frasa yang begitu sensitif di kalangan masyarakat India di Negara ini.

“Bagi saya, sebagai orang yang ada pendidikan tinggi tidak terasa apa-apa tetapi di kalangan orang biasa, dia baca rasa tersinggung dan terguris. Kalau begitu perasaan orang India kita perlu menghormati mereka, apa yang mereka minta ialah ia tidak dijadikan buku teks, ia boleh dijual sebagai novel tetapi tidak dibaca di sekolah kerana boleh membentuk pemikiran para pelajar,” katanya.

Katanya, orang India di Negara ini sekarang bertungkus lumus untuk tidak membesarkan isu kasta dan jika boleh, mereka mahu membesarkan anak-anak tanpa mengenal kasta.

“Sistem kasta adalah sejarah yang terlampau menghimpit orang India, jadi kita kena hormati mereka. Terpulanglah kepada pengarang (Interlok) kalau beliau sanggup mengubah frasa terbabit, itu haknya tetapi menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran untuk menghormati kaum India” katanya.

Untuk berlaku adil kepada Mingguan Malaysia, 90% laporan tepat kerana tidak mungkin pemberita melaporkan semua yang saya katakan dan tidak melaporkan yang saya meninggalkan demonstrasi itu sebelum upacara pembakaran buku dan gambar penulis Interlok.

Penjelasan saya

Saya diberitahu mengenai rancangan demonstrasi dan upacara pembakaran 2 jam sebelum itu. Saya tidak tahu siapa yang menganjurkan tetapi ahli-ahli DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS) dan pengundi-pengundi India Kota Raja dan dari kawasan Klang turut terlibat. Kebimbangan takut tercetus pergaduhan tidak boleh dinafikan kerana yang terlibat semua kaum India. Ahli DHPP minta saya hadir bersama dan sebagai wakil rakyat yang mereka pilih, wajar saya hadir menunjukkan kebersamaan saya ketika mereka memerlukan pemimpin mereka. Saya tidak semestinya bersetuju dengan mereka tetapi kehadiran saya boleh menyejukkan kemarahan mereka. Kebetulan penulisnya ialah seorang Melayu sebangsa dengan saya. Ketidakhadiran saya mungkin akan disalah tafsir sebagai menyebelahi penulis Melayu dan saya tidak berempati dengan mereka.

Apabila sampai ke tempat demonstrasi, saya terlebih awal memberitahu dan memohon maaf kepada mereka kerana belum sempat membaca buku Interlok. Sukar untuk saya komen sesuatu yang saya tidak tahu. Lalu saya ditunjukkan buku tersebut dan sempat membaca beberapa bahagian yang disanggah dan dikatakan menghina mereka. YB Manoharan (ADUN Kota Shah Alam) kemudian menjelaskan apa kandungan buku kerana dia telah membaca buku tersebut sebanyak 2 kali. Katanya buku itu mengatakan yang tiga suku kaum India terbesar di Malaysia (Telegu, Malayalam dan satu lagi) adalah dari kasta paria dan banyak lagi yang mereka luahkan kepada saya. Saya sedar ini persepsi mereka dan mereka berhak dengan cara pemikiran mereka. Saya berempati dengan mereka. Hampir 3 tahun saya menjadi wakil mereka dan saya rasa saya faham cara pemikiran, masalah dan kehendak mereka.

Mereka marah kerana Interlok dijadikan buku teks dan anak-anak kaum India akan terpaksa membaca buku tersebut untuk menjawab soalan peperiksaan. Mereka tidak mahu sejarah kasta dihidupkan di dalam minda anak-anak India. Mereka mahu melupakannya dan mahu membesarkan anak-anak tanpa kasta. Dengan meletakkan novel tersebut sebagai buku teks, sudah pasti anak-anak mereka yang mungkin selama ini tidak tahu sangat mengenainya akan mula bertanya dan perkara dihidupkan semula dalam masyarakat mereka. Mereka tidak suka istilah pendatang dan beberapa istilah lain yang mereka kira menidakkan keMalaysiaan mereka. Mereka dilahirkan di sini. Mereka mahu menguburkan sejarah silam dan usaha ini berlaku secara evolusi, tetapi Interlok dikatakan mengungkit perkara ini dan luka lama akan berdarah kembali.

Saya ingat pesanan untuk kerukunan rumahtangga, di antara perkara yang menjadi pantang larang dalam menjaga hubungan suami isteri ialah mengungkit sejarah dan keturunan. Ungkit sahaja sejarah lama atau menghina keturunan pasti menyakitkan hati pasangan dan akan berlaku perang besar yang boleh berakhir dengan cerai berai.

Kenyataan saya kepada media dan kepada kaum India yang berada di tempat demonstrasi:

1. Saya menyanjungi karya penulis dan sasterawan Negara, Abdullah Hussein, walaupun saya belum membacanya (kalau tidak, mana mungkin beliau dianugerah dengan pengiktirafan sasterawan Negara!). Tentulah ia sebuah karya seni yang hebat untuk mendapat pengiktirafan ini.

2. Kebebasan berkarya dan bersuara perlu kita hormati (dan dijamin perlembagaan).

3. Saya juga berempati dan memahami kenapa orang India marah dan membantah novel tersebut dijadikan buku teks. Mereka berhak untuk menolak perkara-perkara yang mereka tanggapi negatif di dalam pendidikan anak mereka. Sebahagian kaum India mahu beberapa frasa dan bahagian tertentu dibuang dari novel tersebut sementara ada yang berpendapat novel tersebut tidak wajar menjadi teks.

4. Saya tidak bersetuju buku tersebut diharamkan (berbeza dengan pendapat YB Manoharan yang mahu buku tersebut diharamkan) atas prinsip kebebasan berkarya dan bersuara.

5. Saya mempersoalkan motif Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan novel tersebut ke sekolah. Saya yakin beliau tahu sangat isi novel dan potensi konflik yang akan timbul. Saya percaya dan yakin bahawa ada motif politik yang tersirat. Mesej yang hendak dihantar kepada murid-murid India ialah “ketahui lah asal usul anda” apabila membaca buku itu. Semenjak peristiwa Hindraf turun ke jalan pada bulan November 2007, kaum India menjadi begitu sedar tentang layanan yang mereka terima sebelum itu dan mereka sangat sensitif sebarang perkara yang ditanggapi menghina mereka. Kenapa novel ini dan tidak novel lain ketika hubungan kaum berada ditahap yang rendah akibat tindakan mereka yang melaungkan ketuanan Melayu.?

6. Menjadi hak penulis jika beliau mahu menyunting novel tersebut untuk mengurangkan rasa tidak senang dan marah kaum India. Terpulang kepada beliau. Jika beliau enggan, menjadi tanggung jawab kementerian pelajaran untuk menarik balik novel tersebut sebagai buku teks. (Tapi Kementerian Pelajaran telah berbelanja jutaan ringgit untuk mencetak dan telah mengagihkan novel tersebut dan penulis juga telah menerima royaltinya. Mungkinkah novel tersebut ditarik balik? Banyak kepentingan yang perlu difikirkan. Namun adakah perasaan kaum India menjadi salah satu kepentingannya? Persoalannya wahai menteri, “Are the feelings of the Indians equally important to come into the equation for the minister’s decision making and for the various defenders of the novel?)

Mungkin satu hari nanti apabila kaum India sudah merasa “safe and secure as Malaysians” dan mereka diterima sebagai rakyat Malaysia tanpa syarat (unconditional acceptance) - yakni mereka sudah diterima sepenuhnya oleh sesetengah pihak sebagai sebahagian dari rakyat Malaysia, asal usul datuk nenek mereka tidak diungkitkan lagi serta mereka dilayan adil, kesetiaan mereka juga tidak lagi dipertikaikan dan apabila mereka menuntut hak mereka bukan lagi menuntut atas sifat kaum tetapi sebagai rakyat Malaysia – pada ketika itu mungkin apabila mereka membaca INTERLOK mereka tidak akan merasa tersinggung dan terhina lagi….and they may even laugh about it… because they come a long way to be where they are… dan tanggung jawab kita sebagai rakyat Malaysia membantu mereka mencapai tahap itu.

Interlok telah berjaya dijadikan “wedge” di antara pejuang sastera dan pejuang rakyat marhaen dengan rakyat yang cuba mereka bela. Hebat Mahyuddin Yassin!. Fikir-fikirkan lah. Tidak salah jika saya katakan sesuatu yang berlaku di Negara ini yang didalangi oleh pemimpin BN/UMNO ada motif tersirat. Ianya tidak berlaku secara kebetulan.

Saya meninggalkan demonstrasi selepas membuat kenyataan akhbar dan tidak berada di situ apabila buku dan gambar Abdullah Hussein dibakar.

Sunday, January 9, 2011

Terjah

Dalam kesibukan masa YB Dr Siti Mariah sempat terjah peniaga dan pekedai di Pekan Sri Muda petang semalam.

Rombongan yang diiringi oleh Ahli Majlis MBSA, Sdr Azmi Pegawai Khas YB, AJK Kawasan Kota Raja, PAS Cawangan Sri Muda, DHPP dan PKR Sri Muda termasuk Pegawai Pejabat ADUN Sri Muda telah pergi dari satu kedai kesatu kedai sekitar Sri Muda untuk mengambil tahu masaalah mereka.

Alhamdulillah respon yang diterima sangat baik dan setiap pengaduan akan cuba diatasi melalui Ahli Majlis dan yang paling menarik ialah janji mereka untuk terus menyokong PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang.

Mereka berjanji untuk terus memberi sokongan yang tidak bebelah bagi khususnya kepada PAS yang mereka anggap sebuah parti yang telus dan suci. Mereka juga gembira untuk terus berada dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.




















Saturday, January 8, 2011

Zakat kepada Non Muslim

Soalan: Prof Madya Dr Asri, saya ingin bertanya mengenai bolehkah orang bukan Islam mendapat peruntukan zakat. Saya difahamkan ada pendapat yang menyatakan golongan muallaf yang berhak dapat zakat itu, ada pendapat kata termasuk yang bukan muslim. Begitu juga fakir miskin. Tapi ada yang beritahu tidak boleh. Sehingga timbul isu politik. Saya rasa di Malaysia ini kita patut faham Islam dengan lebih luas. Harap tuan dapat berikan pencerahan kepada kami.
 Nuruddin, Selangor.
Jawapan Prof Madya Dr MAZA: Terima kasih saudara yang bertanya. Usaha saudara dan rakan-rakan untuk memahami Islam dengan lebih luas adalah sesuatu yang terpuji. Apatah lagi dalam isu-isu muamalat yang membabit interaksi antara agama yang memberi impak kepada perkembangan Islam. Untuk menjawab persoalan saudara, di sini saya sebutkan beberapa perkara;
1. Masalah bolehkah bahagian sadaqah wajib atau yang dinamakan zakat diberikan kepada bukan muslim adalah masalah khilafiyyah (perbezaan pendapat) dalam kalangan fuqaha (sarjana fekah). Al-Imam al-Syafi’i r.h (w. 204H) berpendapat tidak boleh. Pendapat yang sama dikeluarkan oleh fuqaha lain. Pendapat ini beliau sebutkan dalam karyanya yang terkenal al-Umm, katanya:
“Golongan muallaf (mereka yang dijinakkan jantung hati) ialah sesiapa yang masuk ke dalam Islam. Tidak diberikan sadaqah (zakat) kepada musyrik untuk menjinakkannya dengan Islam. Jika ada yang berkata: Ketika peperangan Hunain Nabi telah berikannya kepada sebahagian muallaf dari kalangan musyrikin. (Jawapannya) itu adalah pemberian dari harta fai (harta rampasan), atau dari harta Nabi s.a.w sendiri. Bukan dari harta zakat”. (al-Umm, 2/338. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).
2. Pendapat al-Imam al-Syafi’i r.h tersebut telah menjadi pegangan dalam Mazhab al-Syafi’i. Maka, kita dapati tokoh-tokoh dalam mazhab al-Syafi’i akan menegaskan hal yang sama. Ini seperti al-Imam al-Syirazi dalamal-Muhazzab, al-Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’ dan lain-lain. Berdasarkan asas ‘kekufuran’ itu menghalang bukan muslim menerima peruntukan zakat, maka –dalam Mazhab al-Syafi’i mereka tidak boleh menerimanya samada atas tiket kefakiran ataupun muallaf.
3. Adapun jika kita melihat pendapat yang lain, sebahagian para fuqaha menyatakan mereka boleh menerima zakat atas peruntukan ‘al-muallafah qulubuhum’ iaitu yang dijinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Ini seperti yang dinaskan oleh al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 60. Peruntukan ini merangkumi mereka yang masih kafir dan yang telah menjadi muslim. Kata al-Imam Ibn Qudamah (w. 620):
“Muallaf itu dua bahagian: kuffar dan muslimin yang mana mereka itu pemimpin yang ditaati dalam kaum dan keluarga mereka. Bahagian kuffar ini pula ada dua kelompok: pertama; orang yang diharapkan dia menganut Islam, maka diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada Islam, lalu dia menjadi muslim…kelompok kedua; orang yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian kepadanya akan menghalang kejahatannya dan mereka yang bersamanya..” (Ibn Qudamah, al-Mughni 9/317. Kaheran: Hijr).
zakat1.jpg
4. Inilah pendapat yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat penghujahannya) oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan dalam al-Mufassal, juga Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar dalam kertas Ta’lif al-Qulub ‘ala al-Islam bi Amwal al-Sadaqah dan lain-lain. Maka, berdasarkan pendapat ini boleh diberikan zakat bahagian muallaf kepada bukan muslim yang berpengaruh dalam kaum atau masyarakat mereka yang diharapkan pemberian itu menggalakkan dia atau pengikutnya menerima Islam, atau mengurangkan sikap permusuhan dengan Islam. Pendapat ini disokong oleh pelbagai riwayat yang mana Nabi s.a.w memberikan kepada pemimpin-pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan bin Umayyah. Sehingga Sofwan pernah berkata:
“Demi Allah! Rasulullah s.a.w memberikan kepadaku begitu banyak. Dahulunya, dia adalah orang yang paling aku benci. Dia terus memberi kepadaku sehingga dia menjadi orang yang paling aku sayangi” (Riwayat Muslim).
5. Walaupun Mazhab al-Syafi’i dan selainnya menyatakan bahawa nas Surah al-Taubah itu bermaksud mereka yang sudah menganut Islam dan kisah Nabi s.a.w memberikan harta kepada pembesar-pembesar Arab yang masih kafir itu diambil dari peruntukan selain zakat, namun di sana ada ayat al-Quran lain yang menunjukkan bahawa Nabi memberikan sadaqah (zakat) kepada bukan muslim. Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 58-59: (maksudnya)
“dan antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (mengikut kehendak mereka) mereka suka, dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. Dan (alanglah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka dan berkata: “cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; Sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”.
Kata Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar:
“Nas ini amat jelas bahawa golongan ini yang mendapat sadaqat (zakat), pemberian tersebut adalah untuk menjinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Pastinya belum menganut Islam jantung hati yang orang mencela Rasulullah s.a.w mengenai zakat”. (ibid).
Ertinya, mereka itu belum menganut Islam, jika tidak, mana mungkin mereka mencela Rasulullah s.a.w kerana itu perbuatan yang kufur. Justeru, ayat ini memberi maksud Rasulullah s.a.w memberikan zakat kepada bukan muslim untuk dijinakkan jantung hati mereka pada zaman baginda.
6. Bagi saya, pendapat yang membolehkan zakat bahagian muallaf diberikan kepada bukan muslim dengan tujuan dakwah adalah lebih kukuh dan sangat relevan untuk masa kini. Hari ini Islam disalahfahami dan dituduh sebagai agama yang negatif. Pemberian zakat kepada muallaf yang sudah muslim dan belum muslim dapat membantu memelihara keindahan Islam. Jika kita bimbang aktiviti dakwah agama lain yang menggunakan sumbangan kewangan dan bantuan, mengapa tidak kita mengamalkan pendapat para ulama yang membolehkan pemberian zakat muallaf kepada mereka yang bukan muslim untuk menarik minat mereka kepada Islam?!
7. Selain dari peruntukan zakat kepada bukan muslim atas nama muallaf, para ulama juga berbeza pendapat tentang peruntukan zakat fakir miskin kepada bukan muslim. Jumhur (majoriti) berpendapat tidak boleh. Namun, Dr Yusuf al-Qaradawi mentarjihkan bahawa ia dibolehkan (lihat: Fiqh al-Zakat, 2/707) . Antara dalil dalam hal ini, Saidina ‘Umar ketika membaca firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 60 itu: (maksudnya)
“Sesungguhnya sadaqat (zakat) itu untuk golongan fakir…”, beliau berkata: “Di zamanku ini mereka itu adalah Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian)” (Riwayat Ibn Abi Syaibah).
8. Para sarjana fekah bersepakat bahawa peruntukan zakat tidak boleh diberikan kepada kuffar yang memerangi Islam atau golongan kafir harbi. Ini berasaskan firman Allah: (maksudnya):
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah 8-9).
Namun bagi yang tidak memerangi Islam; samada mereka warga negara umat Islam, atau yang ada perjanjian keamanan dengan kerajaan umat Islam, atau anak-anak dan kaum wanita kafir harbi yang bapa mereka memerangi tetapi mereka tidak terlibat, boleh diberikan peruntukan zakat muallaf atau fakir miskin ini.
9. Institusi zakat sebenarnya, jika berperanan dengan betul akan membangun umat Islam, dakwah Islam dan membina imej yang baik untuk masyarakat Islam. Jika zakat diuruskan dengan baik, banyak yang dapat dilakukan. Hanya kepada Allah tempat kita mengadu!

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts