Monday, August 8, 2011

myPR & Sidang tergempar Dewan Rakyat


Datuk Seri Nazri Aziz berkata keputusan untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan isu berkaitan pengurusan pilihan raya — didakwa pemastautin tetap diberikan hak untuk mengundi — akan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Najib Razak.
image
Bercakap pada sidang media selepas menerima surat rasmi daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang diketuai Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Nazri berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri petang ini di Putrajaya.
“Saya telah dihubungi Yang Berhormat Salahuddin Ayub tentang perkara ini dan saya difahamkan satu memorandum mahu diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan saya bersetuju untuk menerima bagi pihak Perdana Menteri.
“Petang ini, saya akan hadir di satu majlis berbuka puasa bersama perdana menteri, insya-Allah saya akan sampaikan memorandum ini kepada perdana menteri petang ini,” katanya.
Ditanya sama ada sidang tergempar Parlimen perlu diadakan bagi membahaskan perkara itu, Nazri (gambar), Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagaimanapun berkata, ia akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Najib.
“Apa pun saya akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri dahulu dan setelah berbincang dengan Perdana Menteri, baru kita akan berikan respons.
“Saya tidak boleh mendahului Perdana Menteri dalam hal ini,” katanya.
Beliau juga tidak memberikan sebarang jawapan mengenai desakan Pakatan Rakyat agar sidang tergempar Parlimen itu diadakan dalam tempoh tujuh hari, sebaliknya Nazri berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu.
Semalam Salahuddin berkata, Pakatan Rakyat memberi tempoh tujuh hari kepada Najib untuk memanggil sidang tergempar Parlimen.
Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Turut hadir dalam majlis penyerahan hari ini ialah seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Dr Hatta Ramli, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Khalid Samad dan Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff.
Nazri juga menambah bukan menjadi satu halangan untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen semasa bulan Ramadan kerana perkara itu pernah berlaku sebelum ini.
“Kita pernah adakan sidang Parlimen pada bulan Ramadan, kalau tidak silap awal tahun 2000 kemudian dicadangkan supaya bersidang selepas bulan Ramadan.
“Kalau dibuat pada bulan Ramadan tiada masalah, sebab bulan puasa bukan halangan untuk kita,” katanya.
Terlebih dahulu, Salahuddin dalam sidang media berkata pihaknya serius untuk menyelesaikan perkara itu yang disifatkan sebagai pengkhianatan kepada negara.
“Kami mahu sidang tergempar Parlimen diadakan dalam tempoh tujuh hari, kita tidak boleh tunggu untuk sidang seterusnya pada Oktober.
“Kami ada bukti bahawa perkara ini berlaku dan kami mahu perdana menteri bertanggungjawab dan komited untuk membersihkan daftar pemilih,” katanya.
Sementara itu, Mahfuz menambah, pemberian status kewarganegaraan kepada pemastautin tetap dalam tempoh yang singkat akan mengancam kedudukan Majlis Raja-raja dan Perlembagaan Persekutuan.
“Ia juga melibatkan hal keselamatan negara, bagaimana warga asing boleh diberikan taraf kewarganegaraan dalam tempoh yang singkat? Bukan boleh beri kepada semua orang, mereka tidak membantu memajukan negara.
“Ia akan mengancam kedudukan Majlis Raja-raja… mereka juga tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts