Tuesday, March 6, 2012

PAS tidak berganjak

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu pengundi-pengundi Melayu Islam memberi kepercayaan kepada parti itu untuk menggantikan Umno dengan konsep Islam menyelesaikan masalah masyarakat majmuk, menerusi gagasan Pakatan Rakyat.
Sambil menegaskan bahawa Pas tidak berganjak dalam perkara halal dan haram serta perkara wajib, dalam semua urusan peribadi dan cara hidup tanpa memaksa penganut agama lain, Abdul Hadi berkata, partinya mewajibkan sifat Islam itu bermula dengan peribadi pemimpin.
"Dalam hal ini sesiapa sahaja ahli Pas yang mengerjakan perkara haram dipecat daripada parti.
"Pas pernah memecat Ahli Parlimen yang menari dan sebagainya. Ada pun pihak lain terpulang kepada anutan yang tidak boleh diganggu-gugat dengan kawalan yang tidak merosakkan hubungan masyarakat majmuk," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Marang ini berkata, apabila memerintah kerajaan negeri dan Pas memimpinnya, maka pendekatan Islam mengikut bidang kuasa negeri dilaksanakan dengan batas hukum syarak.
Katanya, penganut-penganut agama lain wajib diberi hak yang adil tanpa fanatik perkauman.
"Umno pula tidak konsisten dan iltizam apabila menunjukkan Islam secara terpilih dan tidak ada peraturan boleh memecat ahli Umno yang mengerjakan maksiat kerana sifat kebangsaannya sahaja mengatasi sifat Islamnya," kata beliau lagi.
"Pelaksanaan Islamnya juga tidak istiqamah, contohnya dalam  kawalan terhadap arak dan judi pula secara berlesen yang tidak ada sempadan kukuh bagi penganut Islam, bukannya  kawalan secara hukum Islam yang sebenar sehingga penganut Islam dalam Umno tidak mampu menjadi model Islam dan Umno gagal mendidik Melayu Islam menjadi contoh yang baik," katanya.
Abdul Hadi juga berkata, Pas pernah bersama kerajaan campuran dengan Umno di awal tahun 70-an dan bersama menubuh BN dipertenghannya, dengan syarat Pas tetap dengan dasarnya, kemudiannya berlaku pertembungan kefahaman.

Kata Abdul Hadi lagi, Pas telah berjaya mengubah sentimen perkauman apabila berjaya memenangi hati penganut bukan Islam ketika menentang calon bukan Islam daripada BN.

"Contohnya Dr Mariah Mahmud mengalahkan calon MIC dengan mendapat sokongan dan kegembiraan kaum India bukan Islam dan kesedihan penyokong Umno Melayu yang dikatakan kuat semangat kebangsaannya tetapi bermatian mempertahankan MIC.
"Begitulah juga juga kemenangan Datuk Kamarul Bahrain di Teluk Kemang. DAP pula tetap bertahan di kawasan majoriti kaum bukan Islam tanpa berpindah," kata Abdul Hadi lagi.
Malah menurut beliau, Pas juga berjaya menunjukkan kerajaan bersih secara bersendirian dan bersama Pakatan Rakyat walaupun berdepan dengan layanan tidak menghormati sistem federalisme dan akhlak amalan demokrasi.
Katanya lagi, dua pendekatan yang berbeza cara dalam menangani masyarakat majmuk telah diberi selama lebih 50 tahun kepada Umno memimpin negara dengan gagasan BN, yang banyak kelemahan dan penyelewengan serta mencetuskan masalah rakyat berbagai kaum yang masih belum selesai dalam tempoh yang bagitu panjang, dan penganut Islam menjadi larut pegangan agamanya.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts