Wednesday, July 3, 2013

Cadangan Xavier wajar

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong gesaan dan cadangan Dr Xavier Jayakumar agar kerajaan Selangor melarang meminum minuman keras di tempat awam. 

“Ia menyebabkan keharmonian masyarakat terganggu di samping botol-botol arak yang bertaburan dan pecah di kawasan orang ramai,” ujar Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor dalam kenyataan kepada Harakahdaily. 

Beliau mengulas cadangan Adun Sri Andalas itu agar Kerajaan Selangor memperkenalkan undang-undang baru bagi melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam seperti taman permainan, kawasan rekreasi dan padang bola. 

Dr Xavier Jayakumar turut mencadangkan agar kerajaan negeri melarang dan mengharamkan jualan arak murah yang boleh diperolehi dengan udah di kedai runcit, kedai perubatan Cina dan pasaraya di seluruh negeri.

“Saya merasa teruja bagaimana seorang yang bukan beragama Islam boleh mencadangkan sedemikian,” kata Riduan. 

Pastinya, kata beliau berita cadangan Dr Xavier tidak akan disiarkan di mana-mana media rasmi negara ataupun ianya disiarkan dengan perspektif yang negatif. 

“Inilah kelebihannya apabila Pakatan Rakyat menerajui kerajaan dengan pemimpinnya sentiasa berfikir masalah rakyat di bawah,” katanya lagi.

Katanya, Dr Xavier Jayakumar mengetahui bahawa meminum minuman keras adalah haram di sisi Islam. 

Namun demikian, jelas Riduan Islam tidak melarang penganut bukan Islam meminum minuman keras. 

Walaupun begitu, ujarnya implikasi arak kepada tubuh seperti yang diketahui boleh memudaratkan kesihatan, malah boleh menyebabkan berlakunya gejala sosial yang lebih parah serta jenayah yang tidak terkawal.

“Cadangan Dr Xavier juga wajar dipanjangkan kepada kerajaan Persekutuan agar penguatkuasaan tersebut dapat dilaksanakan ke semua daerah dan kawasan di seluruh negara,” katanya. 

Katanya, kerajaan perlu berikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis agar dapat menguatkuasakan larangan tersebut di tempat yang dimaksudkannya.

Larangan itu, ujar Riduan bukan bermaksud untuk mengharamkan terus minuman keras kepada penganut bukan Islam. 

Menurutnya, mereka masih boleh memilikinya, namun terhad hanya kepada rumah dan kediaman mereka. 

“Golongan bukan Islam tidak perlu khuatir dengan cadangan ini kerana ia tidak menjejaskan kehidupan mereka, malah mereka akan lebih selamat, masyarakat akan tenteram dan hidup dalam keadaan harmoni,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts