PAS amat kesal dengan langkah Lembaga Penapis Filem (LPF) kerana melepaskan tanggungjawabnya kepada pihak penerbit dan pengarah sepenuhnya dalam urusan penapisan filem di negara ini.
Tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bukan sekadar memperlihatkan sikap lembaga itu yang ingin lari dari melaksanakan tugas pentingnya, tetapi diyakini akan mendatangkan kesan lebih buruk terhadap masyarakat.
Menurutnya, tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan dengan baik, tetapi langkah terbaru LPF untuk tidak lagi melakukan kerja-kerja itu mulai tahun depan jelas menunjukkan badan tersebut atau pihak kerajaan hanya memandang mudah perkara itu.
Katanya, langkah terbaru LPF itu pasti menimbulkan kehairanan kepada pelbagai pihak kerana ia seolah-olah menunjukkan pihak kerajaan tidak peka dengan tanggungjawabnya sendiri.
"Dengan melepaskan tanggungjawab itu dibimbangi akan lebih memburukkan keadaan apabila filem-filem yang mengandungi adegan-adegan yang sepatutnya dipotong turut ditonton oleh orang ramai," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.
Meletakkan tanggungjawab menapis hanya kepada pihak penerbit filem dan pengarah, menurutnya, pasti akan menimbulkan pelbagai risiko bagi perlaksanaan tanggungjawab moral kerana mereka mempunyai tanggapan tersendiri terhadap sesebuah filem yang dihasilkan oleh mereka.
Begitu juga dengan adegan-adegan yang terdapat di dalam filem yang mereka hasilkan itu kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri meskipun tidak disenangi pihak lain.
"Disebabkan perkara itu, dapatkah pihak penerbit dan pengarah itu sendiri yang diharapkan memainkan peranan itu dengan baik, apatah lagi jika mereka itu bukan beragama Islam?" katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.
Beliau yakin tindakan LPF itu bukan akan membantu mengatasi masalah gejala sosial di negara ini, malah akan mempertingkatkannya, ekoran filem-filem yang akan ditayangkan di negara ini nanti lebih banyak mempunyai adegan yang berunsur negatif.
"Ini tidak terkecuali sama ada filem-filem tempatan dan dari luar negara yang dibawa masuk ke negara ini kerana bagi filem-filem dari luar negara, tanggungjawab itu juga akan diserahkan kepada mereka yang membawa masuk filem-filem itu sendiri," ujarnya.
Jika sebelum ini di bawah tanggungjawab agensi itu sendiri pernah berlaku adegan-adegan yang sepatutnya dipotong tidak juga dipotong sehingga turut ditayangkan kepada umum, kejadian seperti itu diyakini lebih berleluasa setelah LPF mengambil langkah itu.
Pada hal di bawah tanggungjawab LPF, kejadian itu diyakini berlaku kerana masalah-masalah tertentu yang mungkin tidak disengajakan atau terlepas pandang.
"Dengan langkah baru LPF itu nanti, jika berlaku pasti bukan lagi masalah terlepas pandang, tetapi disengajakan oleh pihak penerbit dan pengarah ekoran perbezaan anutan agama, budaya dan tahap tanggungjawab moral di kalangan mereka," tambahnya.
Untuk mengimbangi langkah itu, pihak LPF digesa mengeluarkan garis panduan yang jelas kepada pihak penerbit, pengarah dan mereka yang terbabit dalam urusan membawa masuk filem-filem dari luar negara ke negara ini.
Katanya, menerusi garis panduan itu, pihak LPF mestilah menyatakan dengan jelas tentang filem-filem dan adegan-adegan yang tidak boleh ditayangkan di negara ini agar masing-masing dapat mengelakkan dari memasukkan unsur-unsur negatif ke dalam filem masing-masing.
Beliau turut menyarankan LPF agar menguatkuasakan undang-undang berhubung perkara itu untuk dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhinya agar mereka tidak memandang ringan terhadap tanggungjawab moral.
"Hanya dengan itu yang dapat diharapkan agar filem-filem yang dihasilkan dan ditayangkan di negara ini bebas dari unsur-unsur negatif termasuk unsur lucah, mempersendakan Islam, jenayah dan sebagainya," ujar beliau
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah