Sunday, February 19, 2012

PRU13 : Muslimat kemuka senarai calun

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) telah mengemukakan senarai nama calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kepada PAS Pusat.


Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, lebih 30 orang muslimat dari seluruh negara dicalonkan untuk bertanding bagi kerusi Dun dan Parlimen.

"Muslimat sudah bersedia (menghadapi PRU13) dan senarai nama calon telah siap diserahkan kepada pimpinan PAS Pusat. 

"Kita serahlah kepada pimpinan untuk memilih mana calon yang lebih layak dan sesuai mengikut kawasan untuk bertanding," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu turut membayangkan separuh daripada calon yang tersenarai terdiri daripada muka baru.

"Muslimat ada ramai calon yang berwibawa dan senarai yang kita kemukakan ini, muka baru dan muka lama bergabung. Ada calon berpengalaman, ada muslimat muda," katanya.

Menurutnya juga, persiapan calon di kalangan DMPP itu sebagai menyahut saranan Buku Jingga yang memperuntukkan 30 peratus perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.

"DMPP memandang positif kandungan Buku Jingga yang mengiktiraf golongan wanita dan kita berusaha mencapai sasaran 30 peratus itu," katanya.

Pada PRU12, seramai 13 muslimat bertanding iaitu lima di kerusi Dun manakala 8 di kerusi Parlimen.

Lima kerusi Dun dan tiga kerusi Parlimen berjaya dimenangi.

Kerusi Dun yang menang ialah N.06 Jitra, Kedah N.33 Merbau Pulas, Kedah N.24 Selat Klang, Selangor, Dun Tanjong Mas, dan Dun Kijang, Kelantan (menang tanpa bertanding).

Manakala kerusi Parlimen pula ialah P.23 Rantau Panjang, Kelantan P.119 Titiwangsa, Wilayah Persekutuan dan P.111 Kota Raja, Selangor.

Menyentuh mengenai persiapan menghadapi PRU yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang, Siti Zailah berkata, jentera muslimat sudah bergerak kerja mengikut bilik gerakan Unit Pusat Mengundi (UPU) selain turun ke kawasan yang disasarkan untuk bertanding.

"Muslimat memang sudah bersiap sedia dengan kekuatan yang ada dan kita juga telah menurunkan bakal-bakal calon ke kawasan yang dijangka bertanding supaya masyarakat setempat kenal mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts