Sunday, May 6, 2012

Bila Umno jadi pembangkang

Kali ini saya teruskan lagi tentang perlunya kerajaan diubah, dianjak dan di alih, kalau boleh sebelum pilihanraya umum. Sambutan himpunan Bersih menunjukkan sokongan kepada perubahan dan rakyat tidak lagi mahu menerima pujukan kerajaan dan pimpinan hari ini agar mereka diberikan sekali lagi sambungan untuk memerintah negara kita yang kaya raya tetapi disalah tadbir ini.
Apa pun kata pihak media massa arus perdana jumlah peserta himpunan Bersih 3.0 tetap jauh melebihi 200,000 orang. Siapa pun boleh nafikan angka ini, tetapi itulah angka yang sebenarnya. Tetapi angka itu tidak penting. Yang penting dalam pilihanraya kali ini BN akan sampai penghujung hayatnya untuk mentadbir negara kita setelah memerintah begitu lama yang membuatkan pemimpin-pemimpin mereka menjadi seperti orang yang kufur nikmat.
Mahu tidak mahu kita mesti terima hakikat yang Bersih 3.0 telah berjaya besar yang tidak disangka-sangka. Pihak BN boleh berkata mengikut apa yang mereka mahu dengar tetapi hakikatnya rakyat telah membuat keputusan yang ‘conclusive’; iaitu, untuk menggantikan BN, justru rakyat akan ditadbir oleh kerajaan baru. Seperti yang saya sebut dalam posting saya beberapa hari yang lalu sokongan terhadap Bersih 3.0 Sabtu lepas memberikan ‘signal’ yang rakyat akan diperintah oleh pihak ‘alternative’.
Sesungguhnya, apa pun yang dilakukan oleh Najib dan barisan pimpinan negara, majoriti rakyat Malaysia sudah kehilangan keyakinan terhadap BN. Persepsi majoriti rakyat terhadap BN sudah sampai keperingkat optima dan tidak ada jalan lagi untuk BN diyakini oleh rakyat yang ramai ini. Semalam saya berada di Terengganu dan sebahagian yang mendengar ceramah yang saya sampaikan itu adalah dari mereka yang baru pulang dari Kota Baru kerana mereka diberikan bas dan berbagai-bagai kemudahan untuk menyambut PM Najib di sana.
Rakyat tahu yang pimpinan hari ini tidak akan mampu melakukan perubahan yang baik kerana kecelaruan yang dialami oleh rakyat adalah hasil dari sikap kufur nikmat yang keterlaluan jelasnya. Secara saikologinya rakyat sesungguhnya sedang menukar ‘mindset’ mereka untuk bersedia menerima perubahan kepada kerajaan baru negara.
Perubahan kerajaan dalam sistem demokrasi adalah ‘normal’. Hanya dinegara ini sahaja pertukaran kerajaan akan di alami oleh rakyat buat kali pertamanya selepas pilihanraya yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. Jika sudah biasa dengan pertukaran kerajaan dan pentadbiran bertukar ganti maka dengan ‘natural’nya akan berlaku sistem dua parti dinegara ini.
Penjawat awam juga tidak perlu runsing kerana jika BN kalah dalam PRU kali ini, penjawat awamnya adalah pegawai-pegawai dan kakitangan yang sama. Malahan Polis yang membedil rakyat dengan gas pemedih mata itu pun akan kekal. Oleh itu pihak polis dan penjawat awam tidak perlu resah gelisah dengan pemindahan kuasa dari BN kepada PR.
Saya menyebut ini kerana saya hendak memberi tahu semua pihak yang ‘there is life after the demise of Umno’. Tidak lama lagi kita akan mendapat bukti yang jika Umno diketepikan rakyat akan berpeluang dan mempunyai harapan yang perubahan kepada kehidupan mereka yang lebih terjamin akan dibuktikan. Masa itu nanti baru lah rakyat tahu yang mereka tidak akan terjejas kehidupan walaupun Umno akan tidak lagi berkuasa.
Peluang untuk Umno kekal dalam kuasa adalah tipis walaupun bukan mustahil. Umno selama ini hidup di atas kebijaksanaan mereka membohongi rakyat dengan retorik lapuknya. Maklum sajalah berbohong itu merupakan satu perkara yang telah menjadi makanan kepada Umno dan BN.
Umno sekarang sedang dalam kekalahan walaupun mereka berpengalaman dalam mengelirukan rakyat. Perang saikologi yang dilakukan oleh media massa seperti TV3 tidak pergi kemana kerana rakyat begitu jemu mendengarnya. Malahan TV3 pun sudah tidak lagi mujarab untuk mengubah hati rakyat yang telah tercalar oleh tingkah laku Umno dan BN sejak beberapa ketika dahulu.
Segala institusi demokrasi yang telah diporak perandakan oleh pemimpin Umno sejak hampir tiga dekad dahulu akan pasti dipulihkan imejnya selepas Umno tidak lagi berkuasa di Putrajaya. Polis yang menendang dan memukul peserta Bersih baru-baru ini akan sampai masanya untuk mengetahui yang mereka juga akan terus berkhidmat dan masa itu nanti barulah mereka (polis) yang sesiapa pun memerintah kedudukan mereka tidak akan terjejas.
PDRM sebaliknya akan merasakan yang mereka tidak didendami walaupun mereka pernah berlaku zalim kepada rakyat yang membayar gaji mereka dan bayaran pencen mereka. Sementara keadaan itu berlaku PDRM janganlah bersikap angkuh jika ada lagi himpunan rakyat serperti Bersih 4.0 misalnya. Tidak perlulah menyelitkan agen ‘provocateur’ dalam perhimpunan Bersih jika ia berlaku lagi.
TV3 juga akan tetap kekal dan tidak payah lagi membodek kerajaan baru nanti. Pengurusan Media Prima tidak payah hendak bertanya kepada pihak berkuasa macam mana hendak spin berita-berita tentang Umno yang akan menjadi parti pembangkang Mereka dari sekarang boleh lah berlatih untuk menjadi pengamal media massa secara professional, dan tidak payah mengampu lagi.
Semasa itu nanti kita berharap pendokong Umno tidak lagi mencarut dan membabikan pihak lain atau menjatuhkan hukum murtad kepada pihak lain. Berbuat baiklah sambil kita bersama-sama memperbetulkan diri dan melakukan intropeksi yang secukupnya. Saya bukan hanya menyeru orang lain untuk berubah kepada kebaikkan ini. Saya juga menyeru kepada diri saya sendiri untuk melakukan perkara yang sama.
Yang terpenting sekarang ini melakukan perubahan adalah satu perkara yang sangat mendesak kerana jika tidak dilakukan sekarang tidak tahulah apa yang akan terjadi kepada rakyat dan negara kita ini pada masa-masa yang akan datang. — aspanaliasnet.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts