Tuesday, May 1, 2012

Kesan Bersih 3.0 : Transformasi & imbuhan ekonomi UBN terhakis

Gelombang 'perang' berbalas komen dan reaksi melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) nampaknya berterusan! Ruang siber dan tradisional digunakan sepenuhnya sepanjang 24 jam lalu - membincangkan kewajaran perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara semalam dan siapa yang sepatutnya dipersalahkan ke atas insiden sejam terakhir.
Bersih 3.0 membuat rancangan untuk mengadakan perhimpunan antara jam 2 dan 4 petang. Keadaan bertambah kecoh dan bertukar ganas selepas jam 3 petang.
Dalam mesej Twitter pagi ini, pemimpin dari Pemuda Umno, Lokman Adam menulis: "Nasib baik kalian duduk di Malaysia, kalau kat tempat lain, seorang demi seorang akan hilang tanpa kesan kalau..."
Dalam ruang masa yang sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin menjawab satu komen dengan menulis: "Stadium tempat tengok bola bukan tempat protes." Shamsul Iskandar menjawab komen @ahmadilatif yang berkata, "Sam, kalau dari awal buat kat stadium kan senang. Ke, kau takut orang tak datang?"
 
Bersih 3.0 sudah berlalu. Apa kesannya ke atas arena politik negara? Bersih I diadakan beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Bersih II pada 9 Julai lalu, ketika ramai menyebut PRU13 akan diadakan dalam waktu terdekat, susulan pilihan raya negeri Sarawak.
 
Bersih 3.0 semalam diadakan di tengah-tengah spekulasi mengatakan PRU13 akan diadakan bila-bila masa.
 
Beberapa minggu lalu, di sebalik program turun padang Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi BN, yang begitu kerap diadakan, pemimpin-pemimpin perikatan itu telah menasihatkan parti komponen agar memasukkan 'gear lima' bagi memastikan pergerakan memecut.
 
Beberapa hari menjelang perhimpunan Bersih 3.0, penganalisis dan pemerhati politik membuat penilaian bahawa kebanjiran peserta di ibu negara juga akan menjadi faktor yang menentukan sama ada PRU13 yang disebut-sebut akan diadakan Jun ini atau minggu pertama Julai akan menjadi kenyataan.
 
Bagaimanapun, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tarikh pilihan raya Parlimen menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk menentukan.
 
Malam ini, Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT). Difahamkan, mesyuarat MT lazimnya akan diadakan Jumaat terakhir setiap bulan, tetapi ditangguhkan sehingga ke malam ini ekoran jadual ketat Najib.
 
Berkongsi maklumat, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian tidak menolak impak dalam menentukan tarikh PRU13 yang sesuai.
 
"Saya ada turun dan melihat apa yang berlaku di Kuala Lumpur semalam, melihat gelombang manusia, penyertaan dalam Bersih 3.0. Jumlah kehadiran adalah cukup besar," kata beliau yang turut melihat bahawa kepimpinan akan mengambil kira kesan dan impaknya dalam menghadapi PRU dalam waktu terdekat.
 
"Jadi, saya tidak terkejut jika PRU13 dilewatkan berbanding ramalan banyak pihak kebelakangan ini," katanya.
 
Seorang pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpendapat bahawa Najib tiada banyak dalam memanggil PRU13.
 
Mandat semasa Kerajaan Pusat akan berakhir April 2013.
 
Aspek yang menarik perhatian, menurut Ibrahim, ialah kehadiran golongan muda dalam perhimpunan semalam.
 
"Ini satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian oleh BN," katanya lagi.
 
Berdasarkan laporan Bernama semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sudah sampai masa golongan majoriti senyap melahirkan perasaan tidak senang hati mereka terhadap perbuatan menimbulkan huru-hara dan menzahirkan perasaan jijik mereka dengan perbuatan yang melanggar peraturan.
 
"Kita tak mahu perkara huru-hara, tidak ikut peraturan ini terus menjadi budaya minoriti yang vokal yang diketuai dan didalangi pembangkang." katanya yang juga Ketua Penerangan Umno.
 
Datuk Saifuddin Abdullah, pemimpin Umno yang dilihat moderat mengakui bilangan yang menyertai perhimpunan semalam agak besar berbanding perhimpunan Bersih sebelum ini.
 
Belum ada angka rasmi mengenai kehadiran.
 
"Selain jumlah yang agar ramai, kehadiran juga bercirikan pelbagai kaum dan lebih ramai kaum Cina mengambil bahagian... perkara ini perlu diteliti," katanya yang sealiran dengan pandangan Ibrahim kepada Sinar Harian Online.
 
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini seterusnya berkongsi pandangan bahawa kehadiran semalam juga menggambarkan pendirian merentasi ideologi politik.
 
Walaupun ada pihak yang mendakwa pemimpin-pemimpin PR 'mencuri' tumpuan, tetapi ramai datang bukan disebabkan ideologi politik pembangkang. Persepsi kebanyakan pihak peserta mahu menyampaikan mesej kepada pihak berkuasa.
 
"Saya rasa merentasi ideologi politik. Kita perlu menangani situasi ini dengan berhati-hati," kata beliau, yang juga anggota MT Umno, mengulas impaknya menjelang PRU13.
 
Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian tidak menolak perhimpunan semalam akan ada kesan dalam keputusan Najib memanggil PRU13.
 
"Sudah tentu, sudah tentu," katanya ketika dihubungi.
 
Pun begitu katanya, berdasarkan apa yang berlaku semalam, khususnya elemen keganasan, ia akan memberi kelebihan dari segi impak kepada BN.
 
"Bagi saya dari segi impak, kali ini lebih memihak kepada BN berbanding PR (Pakatan Rakyat)," katanya lagi.
 
Seorang penganalisis veteran yang enggan namanya dipetik berkata, jikapun Najib memutuskan untuk menangguhkan tarikh PRU13, ia tidak akan dikaitkan dengan impak perhimpunan Bersih 3.0.
 
"Jika mereka (BN) memutuskan untuk menangguhkan hanya kerana Bersih 3.0, ia akan memberi kesan psikologi di kalangan pengundi. Ia akan membawa isyarat negatif ke atas BN.
 
"Tetapi, pokoknya kita kena memberi perhatian bahawa jentera Umno dan komponen BN sebenarnya belum bersedia sepenuhnya. Ya, jentera memang sudah digerakkan, tetapi pergerakan jentera belum lancar dan halus lagi," katanya yang meramalkan September atau November 2012 kemungkinan menjadi pilihan Najib.
 
"Jadi, saya tidak akan terkejut jika PRU13 hanya akan berlangsung selepas sambutan Aidilfitri," katanya.
 
Seorang pegawai kanan misi diplomat asing di ibu negara juga mengakui ada kesannya.
 
"Segala apa yang dilakukan oleh Najib sejak lima bulan yang lalu, tranformasi politik dan imbuhan ekonomi kepada rakyat, nampak sudah terhakis kesan Bersih 3.0 dan cara ia ditangani.
 
"Awalnya, semua bergerak dengan baik. Saya rasa seolah-olah ada unsur sabotaj ke atas usaha Najib... ini jangkaan saya," katanya merujuk kepada 'mood' orang ramai sejak kebelakangan ini.
 
"Jadi, saya rasa Najib kena kembali kepada pusingan kedua membetulkan keadaan. Najib ada masa? Ini persoalan sekarang," katanya.
 
Bersetuju dengan pandangan itu, penganalisis veteran yang dihubungi Sinar Harian Online juga berkata, Najib perlu menggerakkan gelombang kedua usaha dan inisiatif untuk memperbaiki persekitaran yang sudah tercalar dan tercemar.
 
"Kita kena melakukan. Laporan PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen) sudah dibentangkan. Nampaknya mereka tidak kisah.
 
"Elemen marah juga ada, pada pandangan saya elemen marah ini tidak patut berlaku. Apa pun kita kena cari jalan untuk mengatasinya. Kita perlu teliti dan berhati-hati," kata Saifuddin.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts