PKR perpendirian bahawa isu membabitkan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai perkara kecil, yang tidak akan mendatangkan apa-apa keburukan kepada Pakatan Rakyat (PR).
Naib Presidennya, Fuziah Salleh berkata, isu antara kedua-dua pemimpin itu bukan perkara yang besar, sebaliknya media yang telah menggembar-gemburkan supaya nampak rumit dan menimbulkan pelbagai spekulasi liar terutama oleh Umno-Barisan Nasional (BN).
Beliau yakin perkara membabitkan Karpal dan Nasharudin akan berakhir tanpa sebarang tindakan mahkamah kerana ia hanya tindakan spontan Pengerusi DAP tersebut apabila dilabel anti-Islam oleh bekas Timbalan Presiden Pas.
"Kita tak nampak isu antara Karpal dan Nasharudin itu akan berlarutan sehingga ada tindakan mahkamah. Isu itu hanya diperbesarkan oleh pihak media.
"Saya yakin kenyataan Karpal baru-baru ini hanyalah kenyataan spontan apabila mendapat tahu ada yang mengandainya sebegitu," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.
Pada Jumaat lalu, Karpal memberitahu bahawa beliau telah mengambil keputusan untuk memulakan prosiding fitnah terhadap Nasharudin berhubung kenyataan yang melabelnya sebagai anti-Islam.
Sehubungan itu, Sabtu lalu, Nasharudin berkata beliau bersedia untuk bertemu di mahkamah jika Karpal mahu memfailkan kes fitnah ke atasnya berhubung satu kenyataan berkenaan dengan isu hudud dan negara Islam.
Justeru, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, bagaimanapun isu yang melibatkan sensitiviti seperti keagamaan telah dibincangkan oleh semua pemimpin PR supaya lebih berwaspada dalam membahasnya untuk mengelakkan kesan yang tidak diingini.
"Kita memang ada memberi nasihat dan membincangkan soal yang melibatkan sensitiviti masyarakat ini supaya tidak terlalu diperbahaskan sesuka hati.
"Tapi jangan anggap perkara ini boleh melemahkan PR. BN sendiri ada perbalahan antara pemimpinnya dan yang pasti lagi teruk daripada PR," katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada PKR akan bertindak sebagai orang tengah dalam isu Karpal-Nasharudin, Fuziah berkata, "isu ini kecil, tak perlu dibesar-besarkan."
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah