Friday, November 16, 2012

PAS sudah sedia ambil alih Putrajaya bersama Pakatan

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mempertegaskan bahawa parti sudah bersedia untuk memerintah negara bersama rakan gabungan Pakatan Rakyat bagi memikul dan melaksanakan amanah berdasarkan resolusi permuafakatan gabungan itu.

"Maka PAS mengadakan Tahaluf Siyasi, dalam persefahaman Pakatan Rakyat yang menegakkan konsep dalam persamaan dan tidak  memaksa dalam perbezaan.

"Iltizam politik menerusi Tahaluf Siyasi ini menuntut kita terus bekerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, secara kolektif  dalam mengurus pentadbiran negeri dan negara," katanya.

Pada masa yang sama, Abdul Hadi turut menyeru setiap ahli PAS yang berada dalam lingkungan pentadbiran dan pemerintahan  kerajaan, perlu memahami  fiqh aulawiyat (fikah keutamaan),  maqasid syariah, serta  bertegas dalam perkara dasar selari dengan Perlembagaan PAS.

"Tahaluf Siyasi ini juga tidak seharusnya mengaburkan kefahaman   ahli PAS terhadap konsep Fiqh at-Taat terhadap parti kita sendiri," katanya dalam ucaptama Muktamar PAS ke58 di Kota Bharu pagi ini.Abdul Hadi menegaskan bahawa parti itu "percaya dan yakin bahawa peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat akan berlaku dengan lancar dan aman sekiranya rakyat memberikan amanahnya kepada Pakatan Rakyat.  

"Kepada rakyat keseluruhannya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik. Maka  sekiranya kita gagal melaksanakan amanah  itu,  rakyat  bolehlah menghukum kami dalam pilihanraya yang seterusnya," katanya.

Abdul Hadi berkata PAS memberikan suatu jaminan bahawa jentera kerajaan Pusat atau Negeri yang terdiri dari pegawai berbagai peringkat, tidak akan dizalimi atau dibalas dendam kerana mereka yang akan melaksanakan dasar kerajaan semasa yang dipilih oleh rakyat.

"Hubungan yang baik dengan institusi Raja berpelembagaan akan dipertahankan, sebagaimana komitmen bersama Pakatan Rakyat yang kita ikrarkan," katanya.

Menurutnya, sekiranya gabungan itu diberikan amanah, maka parti itu akan mengusulkan  supaya dimansuhan akta yang dianggap zalim, mengembalikan kewibawaan institusi penting dalam negara, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan  Raya (SPR), instituti pendakwaan dan kehakiman, Parlimen Malaysia, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.   

"Perjalanan  pilihanraya  yang  lebih  adil  dan bebas  akan terus diperjuangkan oleh PAS, walaupun setelah  kita sampai ke Putrajaya nanti kerana inilah ciri sebuah negara demokrasi yang sihat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts