Monday, October 4, 2010

PENAGIHAN DADAH IALAH SATU PENYAKIT

Saya berkesempatan menghadiri satu syarahan "inaugral" Prof Dr Adeebah Kamarulzaman di Akademi Sains pada hujung minggu yang baru lepas. Prof Dr Adeeba adalah mantan Pengerusi Majlis AIDS Malaysia dan juga mengasaskan CERIA (Centre of Excellence for Research in AIDS) di Univ Malaya. Beliau sudah begitu lama bergiat di dalam pendidikan pencegahan AIDS dan sekarang begitu giat dalam mengkaji pendekatan berkesan di dalam pemulihan penagih dadah dan pesakit AIDS.

AIDS dan penagihan dadah begitu rapat. Pada satu masa dahulu, ramai diantara kita memikirkan yang orang-orang yang dapat AIDS hanya mereka yang melakukan hubungan sejenis (homoseks) Jadi bila mereka mendapat AIDS maka kita katakan "they desrve it" (atau dalam bahasa kita -padan muka) kerana mereka telah melakukan maksiat dan melanggar hukum Allah swt. Tapi ramai diantara kita tidak menyedari dan tidak tahu yang AIDS sekarang bukan lagi merebak kalangan homoseks tetapi kepada ahli keluarga penagih dadah yang tidak berdosa (isteri dan anak). Kajian menunjukkan hampir kesemua penagih dadah atau pengguna dadah secara injection (IDU-intravenous drug users) adalah pembawa HIV dan ramai akan mati akibat AIDS. Mereka tidak sepatutnya menderita dan mati kerana terdapat banyak bukti yang menunjukkan yang jangkitan HIV/AIDS boleh dicegah. Kos mencegah dan memulihkan penagih dadah (IDU) tinggi namun kos merawat pesakit HIV/AIDS, kos kehilangan nyawa dan produktiviti negara lebih tinggi lagi.

Masalah di dalam menangani penagih dadah dan jangkitan HIV/AIDS sebenarnya terletak kepada sikap dan persepsi masyarakat terhadap mereka. Penagih dadah dianggap pesalah dan walaupun kerajaan beria-ia benara ingin memulihkan mereka, kita gagal menangani masalah ini. Mungkin kalau di campur semua perbelanjaan negara untuk membenteras penagihan dadah selama lebih 3 dekad ini, jumlahnya pasti mencecah berbilion ringgit. Pusat SERENTI yang sepatutnya menjadi pusat pemulihan adalah penjara kepada penagih dadah dan setelah kononnya di bebaskan kebanyakan mereka kembali semula menagih atas dua sebab. Sebab pertama ialah kerana persepsi masyarakat kepada bekas penagih dadah sebagai orang jahat dan sampah masyarakat dan enggan memberi peluang kepada mereka untuk menjadi anggota masyarakat yang berguna. Namun masyarakat tidak boleh dipersalahkan kerana masalah ini sudah berlanjutan begitu lama dan stigma negatif penagih amat susah untuk dikikis. Kalau ditanya saya pun, saya tidak akan mahu terlibat dengan mereka dalam keadaan program pemulihan penagihan dadah yang ada sekarang yang tidak boleh menjamin mereka tidak akan kembali menagih. Sebab kedua ialah penagihan dadah sebenarnya sudah menjadi satu penyakit kerana penagihan yang lama telah menyebabkan beberapa perubahan fisiologi dan biokimia di otak. Jika mereka mahu meninggalkan dadah ianya menjadi amat rumit dan hampir mustahil. Maka jika semasa mereka gian atau sakit, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk membebaskan diri mereka dari gejala atau simptom yang begitu menyakitkan. Pengakuan penagih-penagih dadah jika mereka sedang sakit (gian) maka kalau diberi kata dua untuk memilih di antara dua perkara: ibu/isteri/anak dengan tiub dadah, maka mereka akan memilih dadah! Begitu perit penderitaan sakit mereka.

Bagi mereka yang mencemuh kelemahan keazaman penagih dadah yang tidak boleh menolak dadah, saya ingin memberi satu analogi. Jika anda tahu berapa susahnya seseorang yang obes untuk mencatu makanannya, begitulah yang dilalui oleh penagih dadah tetapi keamatannya yang lebih (lebih “intense”. Dia tahu dia tidak sihat tetapi dia tidak boleh mengawal dirinya. BMInya (Body Mass Indeks) melebihi 25%. Tapi berhadapan dengan makanan dia tidak dapat menahan dirinya. “Tak apa boleh diet kemudian” katanya. Lama kelamaan, BMInya menjadi 30%, masih lagi terus tidak mematuhi pantang larangnya sehinggalah BMInya mungkin 50%. Masa itu nak bergerak pun susah. Kalau yang ada kewangan mereka akan berjumpa dengan pakar pemakanan dan lain-lain pakar untuk melangsingkan badan. Ada program melangsingkan badan di mana pesakit obes ini perlu ke pusat-pusat tertentu untuk mengambil pemakanan khusus dan menjalani regim senaman serta motivasi yang bertubi-tubi untuk memastikan mereka istiqamah dengan program yang telah ditetapkan. Obesiti sekarang dianggap sebagai penyakit. Walaupun penyakit ini sebenarnya berasal dari diri mereka sendiri (kerana tidak boleh mengawal diri bila berhadapan dengan makanan) namun sebab-sebab lain seperti sikap pemakanan yang salah kerana salah asuhan ibu bapa dan sikap masyarakat yang kalau mereka menjamu (kita tidak makan maka tuan rumah akan berkecil hati! Maka ramai YB yang walaupun sudah sendat perut mereka terpaksa makan untuk mengambil hati pihak penganjur majlis. Cuba lihat tiada seorang pun YB yang berat badannya turun walaupun bekerja begitu kuat dan tidur tidak cukup..), orang-orang yang obes tidak dipinggirkan oleh masyarakat. Malah kalau kita melihat kanak-kanak yang obes, hati kita sangat bersimpati dengan mereka. Setakat itu sahaja analogi saya berhenti diantara penyakit obesiti (penagihan makanan)dengan penagihan dadah. Ada banyak faktor lain yang menyebabkan penagihan dadah begitu kompleks untuk ditangani.

Menurut Prof Dr Adeeba, kini pendekatan berkesan menangani penagihan dadah dan jangkitan HIV/AIDs sudah diketahui dan dilakukan secara terhad. Pembuktian keberkesanan nya semakin jelas. Namun penerimaan pendekatan ini (terapi kombinasi terdiri dari metadon(OST), program jarum bersih (NSP) serta rawatan virus (ART ) ini masih tidak menyeluruh kerana terdapat beberapa halangan seperti polisi kerajaan dan undang-undang. Namun, jika polisi dan undang-undang diubah sekalipun, pendekatan ini tidak akan berkesan sepenuhnya sekiranya sikap masyarakat tidak berubah kerana di penghujung pendekatan yang berkesan ialah penerimaan semula masyarakat terhadap bekas penagih dadah.

Sudah lama kita merasakan yang dimensi terapi kerohanian perlu diterap ke dalam program pemulihan penagih dadah dan Alhamdulillah pendekatan spiritual/kerohanian sudah dimulakan menurut Prof Aedeeba. ST (spiritual theray) mula dijadikan sebagai komponen rawatan tetapi masih di peringkat projek perintis di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan. Jadi pendekatan pemulihan sekarang ialah OST+NSP+ART+ST (spiritual terapi). Setakat ini belum ada kajian empirical tentang keberkesanan ST sahaja seperti yang dijalankan oleh pusat-pusat pemulihan secara spiritual yang dikendalikan oleh pengamal-pengamal perubatan Islam. Kita berdoa semoga pendekatan baru ini dapat diterima pihak-pihak berkuasa serta masyarakat.

Memandangkan pendekatan pemulihan baru ini memerlukan pusat-pusat rawatan yang menyeluruh diseluruh pelusok Negara, penglibatan masjid-masjid dan surau amat diperlukan memandangkan kebanyakan penagih beragama Islam dan berbangsa Melayu, masyarakat Islam tidak boleh lagi memandang sepi kepada masalah penagihan dadah ini dan membiarkan pihak kerajaan semata-mata menangani isu ini. Ini adalah masalah kesejahteraan ummah. Kita perlu mengubah cara menangani masalah. Kita telah melakukan perkara yang sama selama 3 dekad dan keputusan atau natijahnya masih tidak berubah. Adakah kita masih hendak mempertahankan pendekatan lama ini? Untuk mendapat natijah yang lebih baik kita perlu mengubah pendekatan yang berbeza. “We have nothing to lose” – kita tidak akan rugi dengan mencuba.

Marilah kita bermula dengan mengubah paradigma pemikiran kita yang PENAGIHAN DADAH IALAH SATU PENYAKIT. Tolong ulangkan dalam pemikiran anda dan sampaikan kepada 3 orang anggota masyarakat atau seramai mungkin kenalan anda setiap hari sehingga konsep ini bertapak dalam hati kita. Kemudian baru kita dapat menangani masalah ini secara jemaah.


1 comment:

  1. Saya gembira kerana YB kita sangat memahami masalah penagihan dan memberi analogi yang tepat untuk perbandingan penyakit penagihan dan penagihan dadah. Sesungguhnya, untuk kita mengubah persepsi masyarakat adalah penting bagi pemimpin masyarakat untuk lebih dahulu faham supaya tiada berlaku konflik di kemudian hari. Saya sebagai doktor bersetuju sangat yang penagihan adalah satu penyakit kronik yang memerlukan rawatan komprehensif merangkumi aspek biopsychosocial dan aspek spiritual. Pihak berwajib perlu menukar pendekatan baru yang melihat penagih dadah sebagai pesakit dan bukannya sebagai pesalah/penjenayah. Mereka ini perlu diberikan rawatan sebagi pesakit dan bukannya dihukum sebagai penjenayah.Hanya dengan cara ini kita dapat mengubah persepsi masyarakat dan menggalakkan si penagih datang mendapatkan rawatan samada di klinik/hospital juga rawatan therapeutic komuniti,rawatan spiritualiti di masjid, gereja, kuil, dll.Orang agama perlu memain peranan lebih aktif dan berganding bahu dengan pihak hospital/ kementerian kesihatan yang kini telah berjaya meningkatkan kualiti kehidupan penagih yang mendapatkan rawatan methadone di klinik-klinik. Dulu, kita banyak mendengar persepsi negatif tentang methadone,kini terbukti yang methadone sebenarnya rawtan yang terbaik buat masa ini setelah pihak kementerian kesihatan berjaya membuktikan cara rawatan ini amat berkesan berbanding cara terdahulu.Jadi, semua pihak perlu berganding bahu dan sama-sama berkerja bagi kepentingan dan masa hadapan negara yang kita cintai.

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts