Thursday, January 20, 2011

“TENTERA JIHAD” YANG PENGECUT

Sekali lagi sahabat saya Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching mendapat perhatian masyarakat Malaysia apabila menerima ugutan bunuh daripada pihak yang menggelarkan diri mereka “Tentera Jihad”. 

Beliau didakwa oleh pihak tertentu bersifat tidak sopan dan tidak menghormati institusi masjid apabila telah dua kali “mengguriskan” perasaan orang Islam apabila memasuki surau dengan tidak menutup aurat sepenuhnya dan juga kerana turut bersenam di perkarangan masjid dengan pakaian yang “ketat”.

Saya kehairanan bila ada pihak yang begitu sensitif apabila YB Teoh Nie Ching masuk surau dengan tidak memakai tudung. Beliau pada ketika itu telah memakai sepasang baju kebaya yang pada pandangan saya sopan buat seorang bukan Melayu dan bukan Islam. 

Saya pernah bertemu di dalam surau dan masjid, banyak kali, remaja dan wanita Melayu masuk masjid dengan memakai seluar dan baju ketat atau jarang serta dalam keadaan “free hair” (tidak bertudung). 

Saya tidak pula pernah mendengar pula mana-mana ulama menegur wanita-wanita Islam ini secara lantang. Walaupun mata saya sering memerhati mereka ini dari ekor mata, saya merasakan walaupun mereka berpakaian begitu mereka masih mahu datang ke masjid untuk menunaikan solat. 

Alhamdulillah. Saya bersangka baik yang mereka mungkin singgah untuk solat dalam perjalanan dari tempat lain dan tidak berniat untuk menghina institusi masjid dengan berpakaian sedemikian. Sepatutnya mereka faham dan tahu hukum hakam yang asas dalam Islam. 

Mana ‘tentera jihad’ tidak menegur wanita Islam yang masuk ke masjid tanpa menutup aurat.? 

Ramai wanita islam termasuk isteri-isteri Pembesar Negara yang masuk ke masjid tanpa menutup aurat sepenuhnya apabila jambul rambut mereka sering tersepai keluar. Kenapa “tentera jihad” diam seribu bahasa.?

Kalau kita lihat gambar senaman di perkarangan masjid yang menjadi kontoversi, Nie Ching berpakaian seluar track suit dan bukan “leotard” yang memang seperti memakai setokin atau “leggings”. 

Ramai peserta wanita yang lain juga berpakaian ‘track suit’. Adakah kita mahu dia berpakaian seluar longgar seperti seluar salwar kamis wanita Punjabi semasa beraerobik atau pakai seluar tidur? 

Adakah kita ada dua nilai untuk pakaian sukan: kalau di perkarangan masjid perlu pakaian longgar dan jika ditempat lain pula (di padang atau stadium) boleh berpakaian ketat dan melanggar syarak?. 

Di mana “tentera jihad” apabila ahli sukan wanita beragama Islam memakai pakaian ketat semasa bersukan?

“Tentera jihad” karut yang hanya berani meletakkan bangkai ayam dan surat ugutan dalam gelap. Sepatutnya umat Islam berasa bangga seorang pemimpin bukan Islam sanggup mendekati umat islam (atas apa sebab sekali pun) dan mengambil peluang mempamerkan keindahan akhlak orang Islam.

Saya tidak fikir perbuatan mengugut YB Teoh dilakukan oleh orang mukmin dan soleh tetapi oleh mereka-mereka yang mengaku Islam tetapi tidak faham apa itu Islam. 

Mereka mungkin beragama Islam tetapi tidak menghayati Islam. Islam dibibir sahaja. Islam luaran. Islam tempelan. Mereka ini ingin menimbulkan rasa permusuhan orang bukan Islam terhadap penganut Islam. 

Mereka cemburu apabila melihat kini pemimpin DAP sudah mula berjinak untuk mendengar dan cuba memahami Islam. 

Bagi orang-orang PAS, bukan kerja kita memberi petunjuk dan hidayah kepada orang bukan Islam. Itu hak Allah swt siapa yang hendak di beri hidayah olehNYA. Tugas kita hanya untuk menyampaikan Islam. 

Kalau dulu mereka benci dan bermusuh tapi kini mereka mungkin bersimpati dan mahu mendengar pandangan kita. Kita perlu kefahaman pemimpin DAP terhadap hukum hakam Islam supaya satu hari nanti mereka tidak menentang jika pun mereka tidak menyokong PAS apabila kita mahu melaksanakan undang-undang Islam ke atas orang Islam.

Saya mengutuk keras tindakan mengugut YB Teoh Nie Ching dan berharap pihak polis dapat menyelesaikan misteri “tentera jihad” ini. 

YB Teoh, saya memohon ma’af bagi pihak orang Islam (yang sealiran dengan cara fikir saya) dan berharap YB tidak menyimpan buruk sangka terhadap orang Islam. Saya mahu YB tahu bukan ini caranya kami berjihad. Malangnya tindakan “tentera jihad” ini telah memalukan kami umat Islam yang istiqamah berjuang untuk memertabatkan Islam. Malah menjadi tanggungjawab umat Islam turut melindungi YB, jika perlu, walaupun YB tidak seagama dengan kami.

5 comments:

  1. jika benar bagai dikata beliau tentera jihad,,,jangan menyorok,keluar bersemuka dan nyatakan ketidak puasan hati,,bukan dengan surat ancaman menggunakan tentera jihad sebagai identiti,,,berfikir sebelum bertindak jangan diperguna untuk manfaat mana mana pihak.

    ReplyDelete
  2. Sepatutnya jihad mereka ini terhadap orang yang mengaku Islam tetapi bersekongkol dengan mereka yang memusuhi Islam, bukan dengan kafir yg tak faham Islam.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum...

    jalan menuju matlamat, akan sentiasa diacah duri, jerat dan rintangan.

    be strong! never give up hope. :)

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum...

    Saya begitu tertarik dengan penulisan YB kali ini. Saya juga amat bersetuju dengan hujah yang YB sampaikan.

    Saya sendiri selaku pemimpin mahasiswa di sebuah ipta memang kehairanan apabila isu pemakaian dan tazkirah ini diperbesarkan bagai satu malapetaka yang berlaku di Malaysia.

    Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab perlulah bersama-sama menegur dan menarik orang bukan Islam ke tempat sedemikian sekurang-kurangnya mendoakan agar Allah memberi "NUR" cahaya kepada dia.

    Apa-apa pun saya sekali menyukai penulisan YB kali ini. Insyaallah...

    ReplyDelete
  5. Assalam YB Dr..

    Yang menggantung ayam disembeli tu bukannya 'tentera jihad' tapi 'tentera dajjal' yang jahilnya 'Muraqqab'!..

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts