Sunday, November 8, 2009
Saturday, November 7, 2009
Memperbetulkan presepsi terhadap PAS
Iklan
Sepanjang pembabitannya dalam politik negara sejak sebelum merdeka lagi, PAS dikenali oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, sebagai sebuah parti Islam.
PAS memaktubkan dalam Perlembagaannya, bahawa matlamat utamanya ialah untuk mewujudkan masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.
Sebagai sebuah parti Islam, PAS bertanggungjawab mempertahankan kesucian Islam, memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Bagi mencapai tujuan tersebut PAS menggariskan 11 usaha dalam Perlembagannya, yang antara lainnya, meletakkan prinsip Islam yang utama dalam berpolitik sebagai usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap aspek.
PAS bertanggungjawab menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, dengan membantu memperbaiki perencanaan politik, ekonomi dan sistem sosial.
Untuk mencapai matlamat dan usahanya, PAS harus bekerjasama dengan badan politik atau lain-lain persatuan bila mana ianya mustahak dan sesuai dengan perjuangannya.
Di atas prinsip-prinsip Islam inilah PAS terus kekal dalam politik negara. Dengan prinsip ini juga PAS mengalami jatuh bangun, kalah menang, memimpin kerajaan negeri atau menjadi pembangkang.
Menyusuri sejarah politik PAS, PAS pernah beberapa kali bertahaluf atau menjalinkan kerjasama politik, sama ada dengan parti yang memerintah atau gabungan parti pembangkang.
PAS pernah bergabung dengan Perikatan (Barisan Nasional) pada tahun 1974, sebelum ditendang keluar pada tahun 1978.
Akibatnya, Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak 1955, ditumbangkan pada 1979 dengan cara yang mengaibkan hasil kegelojohan pemimpin Umno-BN.
PAS juga mengalami krisis kepimpinan apabila Yang Dipertua Agungnya, Dato' Asri Muda bersama beberapa yang lain menyertai Umno pada tahun 1982.
Kepimpinan PAS kemudiannya, diambilalih oleh al-Marhum Ustaz Yusof Rawa. PAS menjalani fasa kesuraman dalam perjuangannya. Wakil Parlimennya hanya tinggal seorang iaitu Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, beserta beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-7 pada tahun 1986, PAS memulakan era politik baru dengan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang seperti Nasma, SDP, CCC dan lain-lain.
Namun kerjasama tersebut tidak mampu memberikan impak besar kepada perubahan iklim politik. Status-quo PAS dengan kerusi tunggal Parlimen dan beberapa kerusi Dun.
PAS mengalami sedikit perbalahan kecil di kalangan kepimpinan, sehingga Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Nakhaie Ahmad meletak jawatan dan menyertai Umno. Bagaimanapun pemergian Nakhaie, tidak langsung memberi apa-apa kesan terhadap PAS.
PAS mula mengalami perubahan selepas kepimpinannya bertukar tangan. Ustaz Yusof Rawa mengundurkan diri kerana keuzuran pada tahun 1987, maka kepimpinan diambil alih oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan gandingan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.
Dalam masa yang sama Umno juga menghadapi pelbagai krisis kepimpinan, Tengku Razaleigh Hamzah bertembung dengan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan sengit jawatan Presiden Umno.
Perpecahan dalaman Umno turut mengheret krisis kehakiman dalam negara yang menyaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dipecat.
Umno berpecah dan diharamkan. Mahathir menubuhkan Umno baru, manakala Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.
Pada tahun 1989, PAS diajak bekerjasama dengan Tengku Razaleigh. Bertitik tolak daripada beberapa pertemuan antara kedua-dua parti maka terbentuk satu persefahaman politik baru.
PAS bergabung dengan Angkatan Perpaduan Ummah yang membariskan, Berjasa dan Hamim, manakala disebelah pihak lain dibentuk Gagasan Rakyat yang menggabungkan DAP dan PSRM.
Semangat 46 menjadi orang tengah antara parti Angkatan Perpaduan Ummah dengan Gagasan Rakyat. Idea mewujudkan dua bentuk gabungan yang berbeza ialah dengan tujuan mengelakkan pertembungan antara PAS dan DAP yang bertentangan ideologi.
Bagaimanapun, sejarah politik tidak boleh menafikan kebijaksanaan Tengku Razaleigh yang mampu meredakan ketengangan politik antara PAS dengan DAP, dengan mencapai matlamat yang satu iaitu menumbangkan Umno-BN.
Gabungan parti-parti pembangkang ini memasuki gelangang PRU ke-8 dengan jayanya walaupun tidak cukup kuat untuk memberikan impak untuk menumbangkan BN di peringkat Pusat.
Hasil dari kerjasama ini, PAS dan Semangat 46 menyapu bersih seluruh kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan, beberapa kerusi Dun dan Parlimen di Terengganu. Hasil dari kerjasama ini juga PAS kembali menjadi parti yang dominan di Kelantan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada bulan Oktober 199), sehingga kini sudah 19 tahun PAS memerintah Kelantan.
Namun kerjasama dengan gabungan Angkatan Perpaduan Ummah tidak lama. Menjelang PRU ke-9 pada tahun 1995, Semangat 46 berpecah, beberapa orang pemimpinnya kembali kepangkuan Umno.
Gagasan Rakyat juga tidak kekal kerana DAP membuat keputusan tidak mahu bekerjasama dengan PAS yang komited dengan ideologi Islamnya.
Walaupun berlaku sedikit kesuraman dalam gabungan pembangkang, PAS berjaya mengekalkan kerajaan negeri Kelantan dan kerusi-kerusi Dun dan Parlimen di Terengganu dan Kedah.
Kepimpinan PAS terus utuh dan mantap. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz, PAS menikmati era kepimpinan ulama yang gemilang di kemuncaknya.
Pada ketika itu wujud desas desus yang kuat bahawa Tengku Razaleigh mahu membubarkan Semangat 46 dan kembali kepangkuan Umno. Namun PAS tetap setia dengan kerjasama sehingga saat-saat akhir.
Selepas Tengku Razaleigh memasuki Umno, pembangkang tidak lagi bersatu. PAS dan DAP serta parti-parti lain membuat haluan sendiri.
Bermula tahun 1997 Umno-BN kembali dengan bibit perpecahan dalaman yang hebat. Akibat daripada perpecahan yang sudah sampai kekemuncak, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, dipecat pada September 1998.
Perpecahan dalaman Umno amat hebat sehingga Mahathir tidak menjangka waktu itu pengaruh Anwar begitu kuat di kalangan rakyat. Tiap-tiap minggu rakyat berdemonstrasi di Kuala Lumpur membantah kezaliman Mahathir terhadap Anwar.
Peluang yang terbuka itu memungkinkan satu kerjasama dibentuk menjelang PRU ke-10 tahun 1999. Ustaz Fadzil lantas bekerjasama dengan Anwar. Parti Keadilan Nasional ditubuhkan.
Ustaz Fadzil menerajui NGO yang dinamakan Gerak. Gerak berjaya menggabungkan berpuluh-puluh NGO untuk bersatu menentang kezaliman Mahathir.
Dalam masa yang sama parti-parti pembangkang menubuhkan Barisan Alternatif (BA). Hasil gabungan PAS, Keadilan, DAP dan PRM.
Gabungan BA amat unik. Masing-masing mempunyai ideologi yang jauh berbeza, namun bekerjasama atas matlamat yang sama untuk menumbangkan BN.
Gabungan ini menghasilkan impak yang kuat. Pembangkang menang 45 kerusi Parlimen, mengekalkan Kelantan, merampas Terengganu dari BN dan menguasai separuh dari Kedah.
Walaupun masih tidak mampu menumbangkan BN keseluruhannya. Tetapi gabungan pembangkang ini, menunjukkan kesatuan yang hebat. Mereka berjaya mengetepikan ideologi, sebaliknya bekerjasama erat dalam pelbagai isu nasional.
Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. Di kemuncak kerjaya politiknya, Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor, yang juga Ahli Parlimen Pendang dan Ketua Pembangkang, dipanggil pulang mengadap-Nya pada 23 Jun 2002.
Kehilangan Ustaz Fadzil amat dirasai sebilangan besar rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli dan kepimpinan PAS.
Ustaz Fadzil pergi, kepimpinan PAS bersilih ganti. Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengambilalih kepimpinan. Beliau juga Ketua Pembangkang dan Menteri Besar Terengganu.
Pada PRU ke-11 tahun 2004. BA menghadapi kesuraman yang besar, Terengganu terlepas, manakala Kelantan hampir tumbang. BN menang besar selepas Mahathir digantikan oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kemenangan besar BN, bukan kerana BN kuat. Tetapi akibat daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2003 dan berlaku beberapa kekecohan khususnya di Selangor pada hari pengundian.
Kemenangan BN pada waktu itu dikaitkan dengan perubahan persepsi rakyat kepada Umno-BN, dan memberi peluang kepada orang baru seperti Abdullah untuk menerajui negara.
Ringkasnya, kemenangan besar BN tidak lama. Hagemoni mereka tersekat pada PRU ke-12 tahun 2008. Kepimpinan Abdullah gagal memperkukuhkan Umno-BN. Gabungan PAS, KeADILan dan DAP berjaya membuat 'comeback' yang cukup besar dalam politik negara.
Kuasa besar dua pertiga majoriti BN di Parlimen hilang. BN tewas di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan.
Lantas ketiga-tiga parti ini membentuk Pakatan Rakyat. Kerjasama Pakatan Rakyat lebih baik dengan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.
Umno-BN kehilangan arah. PM Abdullah menerima tekanan yang hebat. Genap setahun selepas PRU 2008, Abdullah terpaksa melepaskan jawatan kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.
Selepas setahun bergelut dengan pelbagai masalah dalaman, Umno-BN kini dilihat mula membuat reform dengan PM yang baru. Sementara Pakatan Rakyat kini dilanda pelbagai kemelut dalaman.
PAS punyai kemelut dalamannya sendiri. Begitu juga KeADILan dan DAP. Kemelut-kemelut ini jika dibiarkan berpanjangan, nescaya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.
Buat masa ini, penulis mahu memfokuskan tulisan ini kepada PAS sahaja.
Bagi kepimpinan, ahli dan penyokong PAS, mereka harus disedarkan bahawa dalam sejarah politik PAS yang disusur-galurkan dalam tulisan ini, walau apapun perseteruan atau berbezaan yang wujud di antara PAS, dengan rakan-rakan, PAS tidak pernah sama sekali mengkhianati tahaluf atau kerjasama politik yang dibina.
PAS juga harus sedar bahawa arus perubahan yang dilakukan PM Najib mungkin memberikan kesan dalam bentuk persepsi positif di kalangan rakyat.
PAS tidak seharusnya membenarkan sebarang persepsi negatif melandanya. Persepsi negatif ini hanya akan mengundang padah yang lebih buruk.
Jika PAS dan Pakatan Rakyat tersilap langkah, atau gagal menunjukkan kesepakatan yang baik, nescaya kesuraman besar yang berlaku pada PRU 2004, tidak mustahil boleh berulang pada PRU ke-13 nanti.
Fikirlah, jika rakyat boleh memberi peluang kepada Abdullah selepas persepsi buruk yang terpalit terhadap Mahathir, apakah rakyat tidak boleh memberi peluang sekali lagi kepada Umno-BN menerusi kepimpinan baru Najib?
Atau apakah PAS sanggup menunggu pusingan lain, iaitu barangkali pada PRU ke-14 atau PRU ke-15 untuk membuat 'come back' politik selepas dilanda kesuraman yang berterusan?
Sepanjang PAS membuat tahaluf atau kerjasama dengan pelbagai parti politik dan NGO, PAS sekali-kali tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan yang digariskan dalam Perlembagaannya. Yang berubah hanya pendekatan dan strategi.
Di atas prinsip inilah PAS dihormati, di atas kesetiaan dalam persahabatan inilah PAS dipercayai dan di atas kekuatan dan kemantapan kepimpinanlah PAS dilihat mampu menggantikan Umno sebagai parti terunggul Islam-Melayu suatu hari nanti.
Sepanjang 58 tahun penubuhan PAS (November 1951-kini), tidak ada seorangpun pemimpin yang boleh memecahbelahkan PAS. Tiada seorang pemimpinpun boleh mengheret PAS ke arah kemusnahan jika beliau keluar daripada parti.
PAS tidak boleh mengelak, kemungkinan wujud pemimpin yang mempunyai agenda peribadi. Namun, sehebatmanapun agenda peribadi seseorang pemimpin itu, nescaya dia tidak akan mampu merealisasikannya. Tiada seorangpun pemimpin yang boleh memaksa PAS menurut agenda peribadinya.
PAS bukan milik individu, PAS adalah milih jamaah keseluruhannya. Ke mana sahaja PAS pergi, sama ada bekerjasama atau berdikari sendirian, PAS tetap utuh sebagai satu pasukan dan dalam satu pasukan yang mantap.
Kemantapan PAS adalah hasil daripada tarbiah fikrah (pendidikan pemikiran) yang meletakkan Islam sebagai keutamaan perjuangan, lebih dari kepentingan diri sendiri.
Justeru untuk waktu ini, untuk menghadapi PRU ke-13 ini, PAS tidak harus menoleh kebelakang lagi. Kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat ialah kerjasama yang terbaik dalam sejarah politik negara.
PAS harus terus menjadi rakan kongsi yang strategik kepada Pakatan Rakyat. PAS harus yakin bahawa dengan kekuatan kepimpinan, kekuatan akar umbi, dengan rangkaian cawangan yang ada di setiap taman dan desa, bahawa suatu hari nanti PAS akan muncul sebagai parti yang dominan dan terunggul dalam persada politik negara.
Wednesday, November 4, 2009
MP PAS Kota Raja Bahas Bajet 2010
Posted on November 4, 2009 by editor
Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang (Peringkat Dasar), 3 November 2009
YB Dr Siti Mariah bt Mahmud membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 (Bajet 2010) di Dewan Rakyat pada 3 November 2009.
Difailkan dalam: ADR Kota Raja, Bajet 2010, Dewan Rakyat, Soalan Jawab Lisan | Leave a Comment »
Royalti jadi Wang Ehsan?
Mengulas kenyataan perdana menteri untuk menyerahkan wang ehsan kepada Kelantan, Datuk Husam Musa berkata isu membatalkan perjanjian itu akan dikaji oleh panel peguam yang dilantik kerajaan negeri.
Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini sebagai reaksi segera negeri itu terhadap pengumuman Datuk Seri Najib Razak pagi ini di Parlimen.
Dalam satu kenyataannya, Husam turut mempertikaikan penggunaan istilah "wang ehsan" sebagai bentuk bayaran kepada Kelantan, sedangkan "bayaran royalti" digunakan untuk bayaran di Terengganu, Sabah dan Sarawak.
"Nyata asas yang disebut oleh perdana menteri mengenai (kedudukan lokasi cari gali di luar pesisiran pantai sejauh) 3 batu nautikal adalah tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu," katanya lagi.
"Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan kerajaan dan rakyat Kelantan."
Sehubungan itu, kata Husam, kerajaan negeri mahu wang ehsan dibayar kepada kerajaan negeri dan sebuah badan penyelaras ditubuhkan yang turut dianggotai wakil kerajaan pusat untuk memantau penggunaan wang tersebut.
“Sekali lagi kami berharap perdana menteri berfikir semula dan mengambil kira tuntutan ini atas prinsip kesaksamaan, kedaulatan wilayah dan semangat federalisme yang utuh serta penghormatan perjanjian yang termaktub demi kesejahteraan dan keharmonian negara malaysia,” katanya.
Mengenai penubuhan panel guaman tersebut, Husam berkata, antara isu yang dicadang dipertimbangkan oleh panel guaman ini ialah:
1. Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada PETRONAS untuk mencarigali dan mengeluarkan sumber petroleum dan lautan negeri Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti minyak tidak dipatuhi.
2. Kemungkinan untuk kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA (Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand) dan CAA (Kawasan Pengurusan Komersial Malaysia-Vietnam) yang melibatkan entiti dan syarikat antabangsa.
“Walau bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan kemudian selepas pandangan dari panel guaman tersebut,” kata Husam.
Dalam kenyataan itu juga, beliau turut mempersoalkan mengapa 'wang ehsan' harus diurus oleh kerajaan pusat
“Pengumuman perdana menteri bahawa kelantan hanya layak menerima 'wang ehsan' dan bukannya royalti dan wang ini pula akan diuruskan oleh kerajaan pusat, adalah satu keputusan politik.
“Ia membelakangkan semangat federalisme, kedaultan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian dan menekankan kepentingan politik semata-mata,” katanya.
Di samping itu, kata Husam, keberkesanan pengurusan oleh kerajaan pusat juga boleh dipertikaikan.
“Sebagai bukti, dengan jumlah royalti yang besar untuk Terengganu bagi tempoh 20 tahun lalu, masih gagal membanteras kadar kemiskinan yang kekal tinggi di Terengganu,” katanya.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, Husam berkata kerajaan negeri mengambil langkah proaktif itu untuk memastikan tuntutan wang royalti itu, berjaya.
"Kerajaan negeri tidak (dapat) menerima bayaran wang ihsan yang diumumkan hari ini bagi menggantikan bayaran wang royalti minyak kepada Kelantan," katanya dalam laporan Bernama.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menganggap pemberian wang ehsan itu satu langkah pertama hasil inisiatif kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak itu.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mengadakan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung tuntutan royalti itu.
Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengumuman Najib bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan, bercanggah dengan akta 144 kemajuan petroleum 1974 yang memperuntukkan lima peratus mesti diberikan kepada negeri pengeluar minyak.
Salahuddin Ayub (PAS - Kubang Kerian ) berkata, pembayaran wang ehsan yang diputuskan itu jelas bertentangan dengan akta 144 kemajuan petroleum 144 dan merupakan satu pembohongan terhadap rakyat Kelantan.
"PAS kesal dan dukacita dengan jawapan perdana menteri tadi tentang pembayaran royalti minyak yang ditukar dengan wang ehsan. Jelas ianya penyelewengan fakta yang terkandung dalam akta 144 petroleum negara yang jelas memberikan lima peratus untuk negeri yang mengeluarkan minyak," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi.
Beliau juga berkata, rakyat Kelantan tidak mengharapkan wang ehsan sebaliknya mahu hak mereka ke atas royalti minyak dikembalikan.
"Rakyat Kelantan bukan peminta sedekah. Mereka memperjuangkan hak di atas semangat federalisme. Kita (ahli parlimen PAS) akan perjuangkan hak ini dan jelas jawapan perdana menteri tadi bertentangan dengan semangat federalisme, bertentangan dengan perlembagaan dan akta 144 petroleum yang disebut tadi," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.
Beliau di dewan rakyat pagi tadi meminta Najib menyatakan bilakah tuntutan royalti kerajaan kelantan akan dilangsaikan petronas.
Najib dalam jawapannya berkata Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan.
Najib juga berkata, kerajaan Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih.
Dr. Dzulkifly Ahmad (PAS � Kuala Selangor) pula mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Najib yang juga menteri kewangan kerana menyelewengkan fakta dengan mensyaratkan kedudukan telaga minyak mesti tiga batu nautika dari darat untuk mendapat royalti sedangkan dalam akta petroleum tidak disebutkan syarat itu.
"Jelas perdana menteri tadi melakukan penyelewengan fakta dengan menyebut tentang pensyaratan 3 batu nautika sementara akta 144 petroleum tidak dinyatakan syarat ituuntuk berikan royalty," tegasnya.
Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena) pula menyifatkan Najib sebagai pengecut kerana tidak berani mengambil tindakan yang betentangan dengan tindakan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menarik kembali royalti minyak yang diberikan kepada rakyat Terengganu apabila PAS mengambil alih pemerintahan negeri itu.
"Saya melihat Datuk Seri NAjib begitu kerdil dan takut untuk mengambil tindakan yang sama dengan bekas perdana menteri dahulu, Tun Mahathir,"
"Tun Mahathir pernah tarik balik riyalti minyak Terengganu apabila PAS perintah negeri itu. Jadi tindakan yang sama dibuat apabila telaga minyak dan gas ditemui di Kelantan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Menurut beliau juga, PAS akan mendapatkan bantuan daripada pakar undang-undang untuk mengambil tindakan kepada kerajaan persekutuan yang telah menafikan hak rakyat Kelantan.
"Kami akan bincang dalam parti untuk memberi nasihat kepada kerajaan Kelantan untuk dengan bantuan penasihat undang-undang untuk ambil tindakan perundangan sepertimana kerejaan Terengganu di bawah pimpinan PAS satu masa dahulu menyaman kerajaan pusat yang telah menafikan hak kerajaan negeri," katanya.
Khalid Samad (PAS � Shah Alam) pula menegaskan kerajaan pusat tidak berhak ke atas royalti minyak itu kerana laporan kewangan petronas mengakui negeri-negeri pengeluar minyak di Malaysia adalah Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.
"Ia bercanggah dengan laporan kewangan petronas yang menyebut negeri-negeri pengeluar minyak di malaysia adalah Sabah, Sarawak Terengganu dan kelantan. Berdasarkan kepada laporan, ia mengakui ia milik kelantan. Maka royalti itu harus diserah kepada kerajaan yang dipilih rakyat,"
"Ianya bererti bahawa kerajaan pusat tidak ada hak untuk memegang wang rakyat Kelantan," tegasnya.
Siti Zailah Mohd Yusuf (PAS �Rantau Panjang) dalam pada itu meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat kenapa royalty yang telah sekian lama dituntut digantikan dengan pemberian wang ehsan.
Beliau turut mempersoal di bawah akta dan peruntukan manakah wang ehsan ini diberi.
"Kami mminta kerajaan jelaskan kenapa rakyat kelantan harus diberikan wang ehsan sedangkan mereka menuntut royalti minyak dikembalikan,"
"Dan kadar wang ehsan itu dikira berdasarkan akta mana?" Soalnya._
Monday, November 2, 2009
Nik Aziz bidas tohmahan bacaan al-Quran hina Islam

Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkara itu digunakan Rasulullah SAW ketika mengutus surat kepada semua pemimpin kerajaan bukan Islam suatu ketika dahulu.
Katanya, surat yang diutus Rasulullah itu adalah untuk dibaca dan tidak pernah dianggap sebagai menghina Islam apabila ayat al-Quran berkenaan dibaca oleh pemimpin bukan Islam.
"Perjuangan Pas adalah berlandaskan ajaran Islam dan bukannya politik perkauman sebagaimana yang diamalkan UMNO selama ini. Oleh itu sewajarnyalah masyarakat bukan Islam terlebih dahulu belajar mengenali Islam supaya lebih memahami perjuangan," katanya ketika berucap di majlis penutup Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) di sini, malam kelmarin.
Hadir sama ialah Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustafa Kamil Ayub.
Berucap di majlis itu, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham menolak dakwaan bahawa Pas parti fundamentalis melampau.
Menurutnya, dakwaan itu adalah propaganda pihak lawan.
Katanya, beliau kagum dengan kepimpinan Pas dan sikap amanah parti itu dalam mempertahankan mandat rakyat.
"Saya berharap hubungan antara Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP di Perak terus kukuh, walaupun masing-masing mempunyai perbezaan dari segi ideologi," katanya.
Pada sidang media selepas konvensyen itu, Mohammad Nizar berkata, PR akan melaksanakan semua resolusi yang dirumuskan di konvensyen itu.
Antara resolusi itu ialah mengukuhkan kesepakatan dan perpaduan di kalangan parti komponen PR dan menghindari segala sangkaan buruk di antara mereka.
Beliau berkata, PR kini dalam proses mendaftarkan PR sebagai pertubuhan politik dan telah menyediakan memorandum berhubung perkara itu.
Recent Posts ; Parlimen Kota Raja
Recent Post
Popular Posts
-
SHAH ALAM: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menyifatkan Tun Dr Mahathir membuat silap percaturan apabila berkata 'berkaw...
-
Muqaddimah Perjuangan menegakkan Islam secara syumul di dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia amnya adalah merupakan ses...
-
Dewan Pemuda PAS Malaysia mengancam untuk mengadakan satu perhimpunan lebih besar sekiranya kerajaan masih tidak melakukan sebarang tindakan...
-
Oleh: Dr. Yaacob bin Haji Yusof Awang [ Dr. YaHYA] A. PENDAHULUAN Agama-agama di dunia dibahagikan kepada dua jenis dari sudut cara kewuju...
-
Perhatikan gambar betul ..... semua hangus dijilat api kecuali ......... Anda nilailah sendiri .... Allah sedang uji atau beri kafarah kepa...