Wednesday, November 4, 2009

Royalti jadi Wang Ehsan?

Kerajaan Kelantan sedang mengkaji kemungkinan membatalkan perjanjian menyerahkan hak cari gali kepada Petronas jika royalti petroleum tidak diberikan, kata exco ekonomi dan kewangannya.

Mengulas kenyataan perdana menteri untuk menyerahkan wang ehsan kepada Kelantan, Datuk Husam Musa berkata isu membatalkan perjanjian itu akan dikaji oleh panel peguam yang dilantik kerajaan negeri.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini sebagai reaksi segera negeri itu terhadap pengumuman Datuk Seri Najib Razak pagi ini di Parlimen.

Dalam satu kenyataannya, Husam turut mempertikaikan penggunaan istilah "wang ehsan" sebagai bentuk bayaran kepada Kelantan, sedangkan "bayaran royalti" digunakan untuk bayaran di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Nyata asas yang disebut oleh perdana menteri mengenai (kedudukan lokasi cari gali di luar pesisiran pantai sejauh) 3 batu nautikal adalah tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu," katanya lagi.

"Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan kerajaan dan rakyat Kelantan."

Sehubungan itu, kata Husam, kerajaan negeri mahu wang ehsan dibayar kepada kerajaan negeri dan sebuah badan penyelaras ditubuhkan yang turut dianggotai wakil kerajaan pusat untuk memantau penggunaan wang tersebut.

“Sekali lagi kami berharap perdana menteri berfikir semula dan mengambil kira tuntutan ini atas prinsip kesaksamaan, kedaulatan wilayah dan semangat federalisme yang utuh serta penghormatan perjanjian yang termaktub demi kesejahteraan dan keharmonian negara malaysia,” katanya.

Mengenai penubuhan panel guaman tersebut, Husam berkata, antara isu yang dicadang dipertimbangkan oleh panel guaman ini ialah:

1. Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada PETRONAS untuk mencarigali dan mengeluarkan sumber petroleum dan lautan negeri Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti minyak tidak dipatuhi.

2. Kemungkinan untuk kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA (Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand) dan CAA (Kawasan Pengurusan Komersial Malaysia-Vietnam) yang melibatkan entiti dan syarikat antabangsa.

“Walau bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan kemudian selepas pandangan dari panel guaman tersebut,” kata Husam.

Dalam kenyataan itu juga, beliau turut mempersoalkan mengapa 'wang ehsan' harus diurus oleh kerajaan pusat

“Pengumuman perdana menteri bahawa kelantan hanya layak menerima 'wang ehsan' dan bukannya royalti dan wang ini pula akan diuruskan oleh kerajaan pusat, adalah satu keputusan politik.

“Ia membelakangkan semangat federalisme, kedaultan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian dan menekankan kepentingan politik semata-mata,” katanya.

Di samping itu, kata Husam, keberkesanan pengurusan oleh kerajaan pusat juga boleh dipertikaikan.

“Sebagai bukti, dengan jumlah royalti yang besar untuk Terengganu bagi tempoh 20 tahun lalu, masih gagal membanteras kadar kemiskinan yang kekal tinggi di Terengganu,” katanya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, Husam berkata kerajaan negeri mengambil langkah proaktif itu untuk memastikan tuntutan wang royalti itu, berjaya.

"Kerajaan negeri tidak (dapat) menerima bayaran wang ihsan yang diumumkan hari ini bagi menggantikan bayaran wang royalti minyak kepada Kelantan," katanya dalam laporan Bernama.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menganggap pemberian wang ehsan itu satu langkah pertama hasil inisiatif kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak itu.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mengadakan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung tuntutan royalti itu.

Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengumuman
Najib bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan, bercanggah dengan akta 144 kemajuan petroleum 1974 yang memperuntukkan lima peratus mesti diberikan kepada negeri pengeluar minyak.

Salahuddin Ayub (PAS - Kubang Kerian ) berkata, pembayaran wang ehsan yang diputuskan itu jelas bertentangan dengan akta 144 kemajuan petroleum 144 dan merupakan satu pembohongan terhadap rakyat Kelantan.

"PAS kesal dan dukacita dengan jawapan perdana menteri tadi tentang pembayaran royalti minyak yang ditukar dengan wang ehsan. Jelas ianya penyelewengan fakta yang terkandung dalam akta 144 petroleum negara yang jelas memberikan lima peratus untuk negeri yang mengeluarkan minyak," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau juga berkata, rakyat Kelantan tidak mengharapkan wang ehsan sebaliknya mahu hak mereka ke atas royalti minyak dikembalikan.

"Rakyat Kelantan bukan peminta sedekah. Mereka memperjuangkan hak di atas semangat federalisme. Kita (ahli parlimen PAS) akan perjuangkan hak ini dan jelas jawapan perdana menteri tadi bertentangan dengan semangat federalisme, bertentangan dengan perlembagaan dan akta 144 petroleum yang disebut tadi," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Image Beliau di dewan rakyat pagi tadi meminta Najib menyatakan bilakah tuntutan royalti kerajaan kelantan akan dilangsaikan petronas.

Najib dalam jawapannya berkata Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan.

Najib juga berkata, kerajaan Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih.

Dr. Dzulkifly Ahmad (PAS � Kuala Selangor) pula mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Najib yang juga menteri kewangan kerana menyelewengkan fakta dengan mensyaratkan kedudukan telaga minyak mesti tiga batu nautika dari darat untuk mendapat royalti sedangkan dalam akta petroleum tidak disebutkan syarat itu.

"Jelas perdana menteri tadi melakukan penyelewengan fakta dengan menyebut tentang pensyaratan 3 batu nautika sementara akta 144 petroleum tidak dinyatakan syarat ituuntuk berikan royalty," tegasnya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena) pula menyifatkan Najib sebagai pengecut kerana tidak berani mengambil tindakan yang betentangan dengan tindakan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menarik kembali royalti minyak yang diberikan kepada rakyat Terengganu apabila PAS mengambil alih pemerintahan negeri itu.

"Saya melihat Datuk Seri NAjib begitu kerdil dan takut untuk mengambil tindakan yang sama dengan bekas perdana menteri dahulu, Tun Mahathir,"

"Tun Mahathir pernah tarik balik riyalti minyak Terengganu apabila PAS perintah negeri itu. Jadi tindakan yang sama dibuat apabila telaga minyak dan gas ditemui di Kelantan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menurut beliau juga, PAS akan mendapatkan bantuan daripada pakar undang-undang untuk mengambil tindakan kepada kerajaan persekutuan yang telah menafikan hak rakyat Kelantan.

"Kami akan bincang dalam parti untuk memberi nasihat kepada kerajaan Kelantan untuk dengan bantuan penasihat undang-undang untuk ambil tindakan perundangan sepertimana kerejaan Terengganu di bawah pimpinan PAS satu masa dahulu menyaman kerajaan pusat yang telah menafikan hak kerajaan negeri," katanya.

Khalid Samad (PAS � Shah Alam) pula menegaskan kerajaan pusat tidak berhak ke atas royalti minyak itu kerana laporan kewangan petronas mengakui negeri-negeri pengeluar minyak di Malaysia adalah Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

"Ia bercanggah dengan laporan kewangan petronas yang menyebut negeri-negeri pengeluar minyak di malaysia adalah Sabah, Sarawak Terengganu dan kelantan. Berdasarkan kepada laporan, ia mengakui ia milik kelantan. Maka royalti itu harus diserah kepada kerajaan yang dipilih rakyat,"

"Ianya bererti bahawa kerajaan pusat tidak ada hak untuk memegang wang rakyat Kelantan," tegasnya.

Siti Zailah Mohd Yusuf (PAS �Rantau Panjang) dalam pada itu meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat kenapa royalty yang telah sekian lama dituntut digantikan dengan pemberian wang ehsan.

Beliau turut mempersoal di bawah akta dan peruntukan manakah wang ehsan ini diberi.

"Kami mminta kerajaan jelaskan kenapa rakyat kelantan harus diberikan wang ehsan sedangkan mereka menuntut royalti minyak dikembalikan,"

"Dan kadar wang ehsan itu dikira berdasarkan akta mana?" Soalnya._

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts