Saturday, November 7, 2009

Memperbetulkan presepsi terhadap PAS

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) sudah berada dalam arena politik negara dalam suatu jangka masa yang lama iaitu lebih 55 tahun, sejak ia ditubuhkan pada 23 November 1951.
Iklan

Sepanjang pembabitannya dalam politik negara sejak sebelum merdeka lagi, PAS dikenali oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, sebagai sebuah parti Islam.

PAS memaktubkan dalam Perlembagaannya, bahawa matlamat utamanya ialah untuk mewujudkan masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

Sebagai sebuah parti Islam, PAS bertanggungjawab mempertahankan kesucian Islam, memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Bagi mencapai tujuan tersebut PAS menggariskan 11 usaha dalam Perlembagannya, yang antara lainnya, meletakkan prinsip Islam yang utama dalam berpolitik sebagai usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap aspek.

PAS bertanggungjawab menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, dengan membantu memperbaiki perencanaan politik, ekonomi dan sistem sosial.

Untuk mencapai matlamat dan usahanya, PAS harus bekerjasama dengan badan politik atau lain-lain persatuan bila mana ianya mustahak dan sesuai dengan perjuangannya.

Di atas prinsip-prinsip Islam inilah PAS terus kekal dalam politik negara. Dengan prinsip ini juga PAS mengalami jatuh bangun, kalah menang, memimpin kerajaan negeri atau menjadi pembangkang.

Menyusuri sejarah politik PAS, PAS pernah beberapa kali bertahaluf atau menjalinkan kerjasama politik, sama ada dengan parti yang memerintah atau gabungan parti pembangkang.

PAS pernah bergabung dengan Perikatan (Barisan Nasional) pada tahun 1974, sebelum ditendang keluar pada tahun 1978.

Akibatnya, Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak 1955, ditumbangkan pada 1979 dengan cara yang mengaibkan hasil kegelojohan pemimpin Umno-BN.

PAS juga mengalami krisis kepimpinan apabila Yang Dipertua Agungnya, Dato' Asri Muda bersama beberapa yang lain menyertai Umno pada tahun 1982.

Kepimpinan PAS kemudiannya, diambilalih oleh al-Marhum Ustaz Yusof Rawa. PAS menjalani fasa kesuraman dalam perjuangannya. Wakil Parlimennya hanya tinggal seorang iaitu Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, beserta beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-7 pada tahun 1986, PAS memulakan era politik baru dengan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang seperti Nasma, SDP, CCC dan lain-lain.

Namun kerjasama tersebut tidak mampu memberikan impak besar kepada perubahan iklim politik. Status-quo PAS dengan kerusi tunggal Parlimen dan beberapa kerusi Dun.

PAS mengalami sedikit perbalahan kecil di kalangan kepimpinan, sehingga Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Nakhaie Ahmad meletak jawatan dan menyertai Umno. Bagaimanapun pemergian Nakhaie, tidak langsung memberi apa-apa kesan terhadap PAS.

PAS mula mengalami perubahan selepas kepimpinannya bertukar tangan. Ustaz Yusof Rawa mengundurkan diri kerana keuzuran pada tahun 1987, maka kepimpinan diambil alih oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan gandingan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.

Dalam masa yang sama Umno juga menghadapi pelbagai krisis kepimpinan, Tengku Razaleigh Hamzah bertembung dengan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan sengit jawatan Presiden Umno.

Perpecahan dalaman Umno turut mengheret krisis kehakiman dalam negara yang menyaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dipecat.

Umno berpecah dan diharamkan. Mahathir menubuhkan Umno baru, manakala Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Pada tahun 1989, PAS diajak bekerjasama dengan Tengku Razaleigh. Bertitik tolak daripada beberapa pertemuan antara kedua-dua parti maka terbentuk satu persefahaman politik baru.

PAS bergabung dengan Angkatan Perpaduan Ummah yang membariskan, Berjasa dan Hamim, manakala disebelah pihak lain dibentuk Gagasan Rakyat yang menggabungkan DAP dan PSRM.

Semangat 46 menjadi orang tengah antara parti Angkatan Perpaduan Ummah dengan Gagasan Rakyat. Idea mewujudkan dua bentuk gabungan yang berbeza ialah dengan tujuan mengelakkan pertembungan antara PAS dan DAP yang bertentangan ideologi.

Bagaimanapun, sejarah politik tidak boleh menafikan kebijaksanaan Tengku Razaleigh yang mampu meredakan ketengangan politik antara PAS dengan DAP, dengan mencapai matlamat yang satu iaitu menumbangkan Umno-BN.

Gabungan parti-parti pembangkang ini memasuki gelangang PRU ke-8 dengan jayanya walaupun tidak cukup kuat untuk memberikan impak untuk menumbangkan BN di peringkat Pusat.

Hasil dari kerjasama ini, PAS dan Semangat 46 menyapu bersih seluruh kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan, beberapa kerusi Dun dan Parlimen di Terengganu. Hasil dari kerjasama ini juga PAS kembali menjadi parti yang dominan di Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada bulan Oktober 199), sehingga kini sudah 19 tahun PAS memerintah Kelantan.

Namun kerjasama dengan gabungan Angkatan Perpaduan Ummah tidak lama. Menjelang PRU ke-9 pada tahun 1995, Semangat 46 berpecah, beberapa orang pemimpinnya kembali kepangkuan Umno.

Gagasan Rakyat juga tidak kekal kerana DAP membuat keputusan tidak mahu bekerjasama dengan PAS yang komited dengan ideologi Islamnya.

Walaupun berlaku sedikit kesuraman dalam gabungan pembangkang, PAS berjaya mengekalkan kerajaan negeri Kelantan dan kerusi-kerusi Dun dan Parlimen di Terengganu dan Kedah.

Kepimpinan PAS terus utuh dan mantap. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz, PAS menikmati era kepimpinan ulama yang gemilang di kemuncaknya.

Pada ketika itu wujud desas desus yang kuat bahawa Tengku Razaleigh mahu membubarkan Semangat 46 dan kembali kepangkuan Umno. Namun PAS tetap setia dengan kerjasama sehingga saat-saat akhir.

Selepas Tengku Razaleigh memasuki Umno, pembangkang tidak lagi bersatu. PAS dan DAP serta parti-parti lain membuat haluan sendiri.

Bermula tahun 1997 Umno-BN kembali dengan bibit perpecahan dalaman yang hebat. Akibat daripada perpecahan yang sudah sampai kekemuncak, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, dipecat pada September 1998.

Perpecahan dalaman Umno amat hebat sehingga Mahathir tidak menjangka waktu itu pengaruh Anwar begitu kuat di kalangan rakyat. Tiap-tiap minggu rakyat berdemonstrasi di Kuala Lumpur membantah kezaliman Mahathir terhadap Anwar.

Peluang yang terbuka itu memungkinkan satu kerjasama dibentuk menjelang PRU ke-10 tahun 1999. Ustaz Fadzil lantas bekerjasama dengan Anwar. Parti Keadilan Nasional ditubuhkan.

Ustaz Fadzil menerajui NGO yang dinamakan Gerak. Gerak berjaya menggabungkan berpuluh-puluh NGO untuk bersatu menentang kezaliman Mahathir.

Dalam masa yang sama parti-parti pembangkang menubuhkan Barisan Alternatif (BA). Hasil gabungan PAS, Keadilan, DAP dan PRM.

Gabungan BA amat unik. Masing-masing mempunyai ideologi yang jauh berbeza, namun bekerjasama atas matlamat yang sama untuk menumbangkan BN.

Gabungan ini menghasilkan impak yang kuat. Pembangkang menang 45 kerusi Parlimen, mengekalkan Kelantan, merampas Terengganu dari BN dan menguasai separuh dari Kedah.

Walaupun masih tidak mampu menumbangkan BN keseluruhannya. Tetapi gabungan pembangkang ini, menunjukkan kesatuan yang hebat. Mereka berjaya mengetepikan ideologi, sebaliknya bekerjasama erat dalam pelbagai isu nasional.

Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. Di kemuncak kerjaya politiknya, Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor, yang juga Ahli Parlimen Pendang dan Ketua Pembangkang, dipanggil pulang mengadap-Nya pada 23 Jun 2002.

Kehilangan Ustaz Fadzil amat dirasai sebilangan besar rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli dan kepimpinan PAS.

Ustaz Fadzil pergi, kepimpinan PAS bersilih ganti. Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengambilalih kepimpinan. Beliau juga Ketua Pembangkang dan Menteri Besar Terengganu.

Pada PRU ke-11 tahun 2004. BA menghadapi kesuraman yang besar, Terengganu terlepas, manakala Kelantan hampir tumbang. BN menang besar selepas Mahathir digantikan oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kemenangan besar BN, bukan kerana BN kuat. Tetapi akibat daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2003 dan berlaku beberapa kekecohan khususnya di Selangor pada hari pengundian.

Kemenangan BN pada waktu itu dikaitkan dengan perubahan persepsi rakyat kepada Umno-BN, dan memberi peluang kepada orang baru seperti Abdullah untuk menerajui negara.

Ringkasnya, kemenangan besar BN tidak lama. Hagemoni mereka tersekat pada PRU ke-12 tahun 2008. Kepimpinan Abdullah gagal memperkukuhkan Umno-BN. Gabungan PAS, KeADILan dan DAP berjaya membuat 'comeback' yang cukup besar dalam politik negara.

Kuasa besar dua pertiga majoriti BN di Parlimen hilang. BN tewas di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Lantas ketiga-tiga parti ini membentuk Pakatan Rakyat. Kerjasama Pakatan Rakyat lebih baik dengan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Umno-BN kehilangan arah. PM Abdullah menerima tekanan yang hebat. Genap setahun selepas PRU 2008, Abdullah terpaksa melepaskan jawatan kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Selepas setahun bergelut dengan pelbagai masalah dalaman, Umno-BN kini dilihat mula membuat reform dengan PM yang baru. Sementara Pakatan Rakyat kini dilanda pelbagai kemelut dalaman.

PAS punyai kemelut dalamannya sendiri. Begitu juga KeADILan dan DAP. Kemelut-kemelut ini jika dibiarkan berpanjangan, nescaya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Buat masa ini, penulis mahu memfokuskan tulisan ini kepada PAS sahaja.

Bagi kepimpinan, ahli dan penyokong PAS, mereka harus disedarkan bahawa dalam sejarah politik PAS yang disusur-galurkan dalam tulisan ini, walau apapun perseteruan atau berbezaan yang wujud di antara PAS, dengan rakan-rakan, PAS tidak pernah sama sekali mengkhianati tahaluf atau kerjasama politik yang dibina.

PAS juga harus sedar bahawa arus perubahan yang dilakukan PM Najib mungkin memberikan kesan dalam bentuk persepsi positif di kalangan rakyat.

PAS tidak seharusnya membenarkan sebarang persepsi negatif melandanya. Persepsi negatif ini hanya akan mengundang padah yang lebih buruk.

Jika PAS dan Pakatan Rakyat tersilap langkah, atau gagal menunjukkan kesepakatan yang baik, nescaya kesuraman besar yang berlaku pada PRU 2004, tidak mustahil boleh berulang pada PRU ke-13 nanti.

Fikirlah, jika rakyat boleh memberi peluang kepada Abdullah selepas persepsi buruk yang terpalit terhadap Mahathir, apakah rakyat tidak boleh memberi peluang sekali lagi kepada Umno-BN menerusi kepimpinan baru Najib?

Atau apakah PAS sanggup menunggu pusingan lain, iaitu barangkali pada PRU ke-14 atau PRU ke-15 untuk membuat 'come back' politik selepas dilanda kesuraman yang berterusan?

Sepanjang PAS membuat tahaluf atau kerjasama dengan pelbagai parti politik dan NGO, PAS sekali-kali tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan yang digariskan dalam Perlembagaannya. Yang berubah hanya pendekatan dan strategi.

Di atas prinsip inilah PAS dihormati, di atas kesetiaan dalam persahabatan inilah PAS dipercayai dan di atas kekuatan dan kemantapan kepimpinanlah PAS dilihat mampu menggantikan Umno sebagai parti terunggul Islam-Melayu suatu hari nanti.

Sepanjang 58 tahun penubuhan PAS (November 1951-kini), tidak ada seorangpun pemimpin yang boleh memecahbelahkan PAS. Tiada seorang pemimpinpun boleh mengheret PAS ke arah kemusnahan jika beliau keluar daripada parti.

PAS tidak boleh mengelak, kemungkinan wujud pemimpin yang mempunyai agenda peribadi. Namun, sehebatmanapun agenda peribadi seseorang pemimpin itu, nescaya dia tidak akan mampu merealisasikannya. Tiada seorangpun pemimpin yang boleh memaksa PAS menurut agenda peribadinya.

PAS bukan milik individu, PAS adalah milih jamaah keseluruhannya. Ke mana sahaja PAS pergi, sama ada bekerjasama atau berdikari sendirian, PAS tetap utuh sebagai satu pasukan dan dalam satu pasukan yang mantap.

Kemantapan PAS adalah hasil daripada tarbiah fikrah (pendidikan pemikiran) yang meletakkan Islam sebagai keutamaan perjuangan, lebih dari kepentingan diri sendiri.

Justeru untuk waktu ini, untuk menghadapi PRU ke-13 ini, PAS tidak harus menoleh kebelakang lagi. Kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat ialah kerjasama yang terbaik dalam sejarah politik negara.

PAS harus terus menjadi rakan kongsi yang strategik kepada Pakatan Rakyat. PAS harus yakin bahawa dengan kekuatan kepimpinan, kekuatan akar umbi, dengan rangkaian cawangan yang ada di setiap taman dan desa, bahawa suatu hari nanti PAS akan muncul sebagai parti yang dominan dan terunggul dalam persada politik negara.

1 comment:

  1. Penulisan yang baik dalam menghuraikan sejarah dan kesan perjuangan PAS dalam negara Malaysia.

    Benar jika dikatakan prestasi PAS sentiasa suram selepas kemenangan besar kerana pemimpin gagal menghalusi dan menyediakan strategi yang jelas untuk ahli-ahli.

    Kita tidak mahu perubahan yang kosmetik semata2 untuk menang pilihanraya yang 'circle'nya amat pendek iaitu 5 tahun. Namun PAS wajar mempunyai perancangan jangka panjang yang dapat dinilai pencapaiaanya dalam rangkan waktu tertentu.

    PAS FOR ALL- adalah istilah yang tepat untuk menjelaskan perancangan strategik PAS. Namun, pasca PRU12 melihat pemimpin PAS bagaikan hilang haluan dek arus sokongan rakyat yang memuncak. Sesetengah pemimpin PAS ingin mengambil jalan mudah untuk melaksanakan inisiatif perpaduan dengan UBN. Sepatutnya, diwaktu ini - pemimpin PAS terus memperkasakan agenda PAS For ALL. PAS for All Malaysia Muslim and Non-Muslim. PAS adalah rumah yang boleh didiami oleh semua orang. Setiap rakyat akan mendapat kebahagiaan, perlindungan dan keadilan.

    Seminar sehari yang dianjurkan adalah terlalu lambat dan menampakkan kelemahan pimpinan PAS. PAS mempunyai Research Team yang mantap namun pemimpin PAS membuat kenyataan tidak bersandarkan fakta. Pemimpin PAS tidak wajar lesu dalam menghasilkan idea-idea bernas untuk membawa negara ke peringkat tinggi.

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts