Friday, November 28, 2008

Keperibadian Muslim

شَخْصِيَّةُ الدُّعَاةِ(Keperibadian Muslim)
Al-Qur'an dan Al-sunnah merupakan dua pusaka peninggalan Rasulullah SAW yang seharusnya menjadi rujukan setiap muslim dalam pelbagai aspek kehidupan. Di antara aspek pentarbiyahan yang amat penting adalah proses pembentukan syakhsiyyah muslim. Syakhsiyyah muslim yang dikehendaki Al-Qur'an dan Al-Sunnah adalah syakhsiyyah yang soleh di mana sikap, ucapan dan tindakan mereka bertepatan dengan kehendak Allah SWT dan Rasulullah SAW.Tanggapan masyarakat tentang syakhsiyyah muslim adalah berbeza-beza. Bahkan ramai yang berfahaman sempit sehingga seolah-olah syakhsiyyah muslim itu hanya dapat dilihat pada mereka yang melaksanakan Islam dari aspek ibadah khususiyyah semata-mata. Sedangkan ibadah hanyalah satu aspek sahaja dan masih banyak lagi aspek lain yang harus menjadi tumpuan dan pemerhatian.Secara umumnya syakhsiyyah yang paling minima bagi seseorang muslim ialah meninggalkan perkara atau perbuatan yang diharamkan dan melaksanakan perkara atau perbuatan yang diwajibkan oleh Allah SWT. Syakhsiyyah akan lebih sempurna apabila seseorang muslim itu beramal dengan amalan-amalan yang disunatkan di samping berusaha membuang segala keaiban yang ada pada diri mereka.Ulama telahpun merumuskan persoalan syakhsiyyah ini berdasarkan Al Qur'an dan Al-Sunnah kepada beberapa ciri yang akan disebutkan di bawah. Secara ringkasnya terdapat sepuluh ciri khas yang melayakkan diri seseorang muslim itu memiliki syakhsiyyah islamiyyah.

1. سَلِيْمَةُ الْعَقِيْدَةِ (Aqidah yang bersih)
Dengan aqidah yang bersih, seorang muslim akan memiliki ikatan yang kuat kepada Allah SWT. Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seorang muslim tidak akan menimpang dari jalan kebenaran, justeru itu menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang ertinya: "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, semua bagi Allah tuhan semesta alam" (QS. 6:162). Kerana aqidah yang salim merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam awal da'wah Rasulullah kepada para sahabat di Mekkah, Rasulullah SAW mengutamakan pembinaan aqidah, iman dan tauhid.
2. صَحِيْحَةُ الْعِبَادَةِ (ibadah yang benar)
Shahihul ibadah merupakan salah satu perintah Rasulullah SAW yang penting. Ibadah yang benar dan sah adalah ibdah yang dilakukan berdasarkan pertunjuk wahyu dan ajaran Nabi SAW. Dalam satu hadithnya, beliau bersabda: "Solatlah kamu sebagaimana melihat aku solat". Dari ungkapan ini maka dapat disimpulkan bahawa di dalam melaksanakan setiap peribadatan haruslah merujuk kepada sunnah Rasul SAW yang bererti tidak boleh ada unsur penambahan atau pengurangan.
3. مَتِيْنُ الْخُلُقِ (akhlak yang kukuh)
Matinul khuluq merupakan sikap dan perilaku yang harus dimiliki oleh setiap muslim, baik dalam hubungannya kepada Allah mahupun dengan makhluk-makhluk-Nya. Dengan akhlak yang mulia, manusia akan bahagia dalam hidupnya, baik di dunia mahupun di akhirat. Oleh kerana begitu penting memiliki akhlak yang mulia bagi umat manusia, maka Rasulullah SAW diutus untuk memperbaiki akhlak dan beliau sendiri telah menunjukkan kepada kita akhlaknya yang agung sehingga diabadikan oleh Allah SWT di dalam Al Qur'an. Allah berfirman yang ertinya: "Dan sesungguhnya kamu benar-benar memiliki akhlak yang agung" (QS. 68:4).
4. قَوِيُّ الْجِسْمِ (kekuatan jasmani)
Kekuatan jasmani bererti, seorang muslim yang memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimum dengan fizikal yang kuat. Solat, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang harus dilaksanakan dengan fizikal yang sihat dan kuat. Apatah lagi berjihad di jalan Allah dan bentuk-bentuk perjuangan lainnya. Oleh kerana itu, bagi seseorang muslim kesihatan jasmani seharusnya dipelihara dan pencegahan dari sebarang penyakit adalah lebih utama daripada mengubatinya. Meskipun demikian penyakit adalah sesuatu yang tidak mustahil mengenai sesiapun, namun usaha pencegahan harus dibuat. Tentang kekuatan jasmani ini Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: "Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada mukmin yang lemah (HR. Muslim)
5. مُثَقَّفُ الْفِكْرِ(intelek dalam berfikir)
Gambaran tentang ciri ini dapat dilihat melalui diri Rasulullah SAW. Sebab itulah baginda terkenal dengan sifat Fatonah (Cerdas/ Bijaksana). Al Qur'an juga banyak mengungkapkan ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berfikir, misalnya firman Allah yang ertinya: "Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: " pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya". Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: "Yang lebih dari keperluan". Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir" (QS 2:219) Islam menganjurkan, setiap perbuatan yang hendak dilakukan mestilah didahului dengan berfikir. Maka bagi mencapai tahap kemampuan daya pemikiran, seorang muslim harus memiliki keilmuan yang luas selain bekalan pengalaman di samping mempunyai wawasan yang jauh di dalam melaksanakan tanggungjawabnya lebih-lebih lagi kepada para da’i di dalam kerja-kerja dakwahnya.Alangkah bahayanya suatu perbuatan yang dilakukan tanpa didahului oleh pertimbangan akal dan pemikiran. Oleh kerana itu Allah membezakan darjat seseorang itu berdasarkan keilmuan yang dimilikinya dan bukanlah kerana yang lain sebagaimana firman Nya yang bermaksud: Katakanlah: "Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?"', sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran". (QS 39:9)
6. مُجَاهَدَةٌ لِنَفْسِهِ (berjuang melawan hawa nafsu)
Bermujahadah di dalam melawan kehendak nafsu merupakan jalan mendapatkan kesucian jiwa kerana dengannya tidak akan mudah tunduk kepada kecenderungan nafsu yang menginginkan kesenangan, kemewahan dan keseronokan. Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat memerlukan kesungguhan. Kesungguhan itu akan lahir sekiranya seseorang itu berjuang di dalam melawan hawa nafsunya. Hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia harus ditundukkan agar mematuhi ajaran Islam. Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: "Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran Islam)" (HR. Hakim)
7. حَارِسٌ عَلَى وَقْتِهِ (pandai menjaga waktu)
Masa adalah sesuatu yang amat penting di sepanjang kehidupan sebagai seorang muslim dan mukmin, lebih lebih lagi seorang da’I yang melaksanakan tugas-tugas dakwahnya. ‘Masa’ mendapat perhatian yang besar dari Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT banyak bersumpah di dalam Al Qur'an dengan menyebut nama waktu seperti wal fajri, wad dhuha, wal asri, wallaili dan seterusnya. Allah SWT memberikan masa kepada manusia dalam jumlah yang sama, iaitu 24 jam sehari semalam. Dari jumlah masa 24 jam itu, ada manusia yang beruntung dan tak sedikit manusia pula yang rugi. Kerana itu tepatlah ungkapan kata-kata yang menyatakan: "Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan masa". Masa merupakan sesuatu yang cepat berlalu dan tidak akan pernah kembali lagi.Oleh sebab itu setiap muslim dituntut menguruskan masanya dengan baik sehingga masa yang berlalu diperuntukkan kepada perkara-perkara yang memberi manfaat dan bukan yang sia-sia. Nabi SAW melalui hadithnya menyebutkan tentang lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa hidup sebelum mati, sihat sebelum datang sakit, muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk dan kaya sebelum miskin.
8. مُنَظَّمٌ فِي شُؤُوْنِهِ (teratur dalam suatu urusan)
Munazhzhaman fi syuunihi termasuk syakhsiyyah seorang muslim yang ditekankan oleh Al Qur'an mahupun Al-sunnah. Oleh kerana itu dalam hukum Islam, baik yang berkaitan dengan masalah ubudiyyah maupun mu’amalah harus diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik. Ketika suatu urusan ditangani secara bersama-sama, maka diharuskan bekerjasama dengan baik sehingga Allah menjadi cinta kepadanya. Dengan kata lain, suatu urusan mesti dilaksanakan secara professional, bersungguh-sungguh, bersemangat, berkorban, istiqamah dan berdasarkan ilmu pengetahuan
9. قَادِرٌ عَلَى الْكَسْبِ (memiliki kemampuan usaha sendiri)
Qodirun alal kasbi merupakan ciri lain yang harus ada pada diri seorang muslim. Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya mampu dilaksanakan sekiranya seseorang itu memiliki ciri-ciri ini. Sebagai contohnya, dari aspek kekuatan ekonomi. Seringkali berlaku seseorang da’I mengorbankan prinsip yang dipegangnya hanya semata-mata kerana tidak memiliki kekuatan dan kelebihan dari segi ekonomi. Sehubungan dengan ciri inilah seorang da’i amat dituntut memiliki kemahiran apa saja yang baik. Kemahirannya dijadikan sebab untuk mendapat rezeki dari Allah SWT. Rezeki yang telah Allah sediakan harus diambil dan untuk mengambilnya memerlukan skill atau kemahiran. 10. نَافِعٌ لِغَيْرِهِ (bermanfaat bagi orang lain)
Manfaat yang dimaksudkan adalah sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada dakwah, islam dan perjuangan islam selain manusia lain yang juga merasai kehadiran seseorang muslim itu membawa manfaat kepada mereka.Ini bererti seorang muslim itu harus selalu berfikir, mempersiapkan dirinya dengan sedaya upaya mungkin untuk memastikan dirinya bermanfaat justeru mengambil peranan yang baik dalam lingkungan masyarakatnya. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain" (HR. Qudhy dari Jabir).Demikian secara umum keperibadian seorang muslim yang disebutkan dalam Al Qur'an dan sunnah.Wallahualam

kota raja.

1 comment:

  1. dr apa agenda pembangunan kawasan alam megah. tak der ke nak datang melawat ke sini...creat lah aktiviti kemasyarakatan. baru sekali jumpa kat dewan seksyen 27 28. lepas tu sonyap.

    dulu puak bn umno camtu...kali nih parti dr harap tak lah yer.

    salam
    azahari

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts