Salam,
Saya minta maaf kerana memang sungguh sungguh lama tidak menulis (dari hati berkongsi pengalaman di blog ini. Sebenarnya terlalu banyak perkara yang berlaku dan terlalu pantas sehinggakan tidak sempat saya duduk menulis seperti yang saya kerap lakukan sebelum menjadi YB. Menulis bukanlah satu perkara yang mudah bagi saya. Tidak seperti ceramah... Pendek kata otak dan mulut saya lebih pantas darupada jari jemari saya. Bila menjadi wakil rakyat, perkara yang perlu dibuat lebih banyak daripada masa yang kita ada.
Akhirnya semasa "bercuti paksa" inilah dapat saya mengadap komputer sikit tanpa "gangguan". Kalau ikutkan hati, memang tidak mahu ambil cuti. Tubuh di Dublin, hati di Malaysia (in particular di Kota Raja!). Saya bernasib baik kerana kerjasama yang baik oleh pertugas parti dan mempunyai pegawai khas yang efisien. Program-program yang dirancang tetap berjalan. Tahniah kepada pasukan petugas sekretariat parlimen yang diketuai oleh Sdra Razif dan skuad Wanita Pakatan Kota Raja yang berjaya menganjur Seminar PMR yang mendapat sambutan yang sungguh hebat.
Lagi 6 bulan genaplah 2 tahun pasca PRU-12 dan saya memegang amanah YB. Di masa yang lepas, saya banyak menumpukan masa kepada khidmat masyarakat- membantu menyelesaikan masalah, melayan serta mendengar masalah rakyat. Dalam masa yang singkat ini juga, kita menyaksikan 7 PRK berlaku (3 parlimen, 4 DUN) yang juga menyibukkan semua wakil rakyat PR.
Sudah sampai masanya saya menumpukan lebih banyak masa mengkaji secara mendalam bagaimana perubahan yang dikehendaki rakyat dapat direalisasikan. Banyak perubahan tidak boleh dilakukan kerana undang-undang dan enakmen yang sedia ada tidak mengizinkan pembelaan dilakukan kepada rakyat. Kepada kebanyakan rakyat, bila kita berkuasa, kita boleh melakukan perubahan-perubahan yang dihajati.
Tidak semudah itu.... Itu sebabnya saya selalu menyebut satu ungkapan iaitu "political will" atau keberanian atau kemahuan politik. Selain dari "political will" ahli politik yang memegang tampuk kuasa, kita juga memerlukan kerjasama para teknokrat atau birokrat iaitu kakitangan kerajaan samada diperingkat negeri atau persekutuan.
Dalam masa kurang dua tahun ini kita telah melihat bagaimana kerajaan PR Selangor dan PR Perak mempunyai keberanian politik tetapi tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari kakitangan kerajaan di peringkat negeri atau PBT (bukan semuanya dan bukan disemua peringkat). Kakitangan kerajaan mengetahui lebih banyak maklumat dan memahami selok belok pemerintahan lebih mendalam dari ahli politik. Jika mereka mahu membantu mereka boleh menunjukkan jalan dan cara bagaimana menyelesaikan masalah namun jika mereka enggan bekerjasama mereka tidak akan memberi maklumat secara sukarela tetapi hanya setelah diminta berkali-kali dan jika ada keputusan mesyuarat, perlaksanaannya pula dilambat-lambatkan.
Kadang-kadang minit mesyuarat pun tidak dicatit dengan penuh. Ada perkara yang ditinggalkan samada dengan sengaja atau tidak sengaja. Maka banyak perkara yang perlu diatasi oleh wakil rakyat PR. Ada banyak perkara yang diluar kawalan wakil rakyat dan diluar bidang kuasa wakil rakyat.
Didalam usaha kerajaan-kerajaan negeri PR untuk meminimakan penyalahgunaan kuasa oleh ADUN dan AP, wakil rakyat sering diingatkan tentang pemisahan bidang kuasa di antara ADUN dan Kerajaan Tempatan. AP tiada bidang kuasa untuk campur tangan dalam bidang kuasa Ahli Majlis, begitu juga ADUN. Ahli Majlis adalah penjawat yang bebas dari kedua-dua kategori wakil rakyat ini. Dato' Bandar dan YDP Majlis pun mempunyai otonomi mereka sendiri. Pemberian kontrak pembersihan dan kutipan sampah juga diluar bidang kuasa kami. Belum lagi JKR dan JPS yang dibawah kuasa kerajaan Persekutuan. Bayangkan masalah semudah sampah yang tidak dikutip , rumput yang tidak dipotong ,parit tersumbat memerlukan beberapa institusi untuk menyelesaikannya!
Pendek kata, seluruh sistem perkhidmatan kepada rakyat perlu dikaji dan dirombak dan beberapa perubahan polisi serta pindaan undang-undang diperlukan. 52 tahun cara kerja yang ada sekarang tidak lagi boleh memenuhi kehendak rakyat dan tidak mampu memberi perkhidmatan yang efisien kepada rakyat. Rakyat perlu terus menyokong PR untuk merealisasikan Malaysia Baru. Perubahan yang bermakna memerlukan beberapa penggal untuk meninggalkan kesan yang diharapkan. Wakil-wakil rakyat PR juga perlu menunjukkan kesungguhan mengkaji dan berbincang menegenai langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mencapai aspirasi rakyat yang mengundi mereka.
DUBLIN 14TH AUGUST 2009
Salam YB,
ReplyDeleteDiharap sihat adanya diperantauan. Terimakasih atas posting ini.
Cdgn minta diperkemaskan & dinilai komitmen Sekretariat & Kws skrg-krgnya utk counter kelemahan yg dihighlight utk jangkamasa pendek.
Hajat dihati nak bantu segunung tp tugasan selautan menunggu....
Moga-moga YB Dr Lo' Lo' cepat sembuh, amin...
Benar dan begitulah yang dialami waktu PAS perintah Terengganu barangkali. Soal sampah,perparitan,penjaja jalanan,pokok kayu yang patah,para penguatkuasa tak kiralah dari agensi mana, ..... perkara yang kita anggap boleh diselesaikan diperingkat bawahan tak semudah yang kita harapkan.
ReplyDeleteDitambah lagi para ketua masyarakat yang dilantik kali pertama belajar mentadbir diri dan masyarakat.