Sunday, April 11, 2010

Fitnah YB

TAMAN SENTOSA - Pemuda Pas Kawasan Kota Raja bersama Sekretariat Parlimen Kota Raja masing-masing membuat laporan polis terhadap sebuah blog yang didakwa memfitnah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berhubung satu ceramah politik oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Jalan Kebun.

Ketua Pemuda Pas Kawasan Kota Raja, Zainal Said berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Seksyen 15 Shah Alam dan pihaknya memandang serius terhadap fitnah yang dilemparkan penulis blog berkenaan terhadap kepemimpinan dan Pas di sini.

Menurutnya, penulis blog berkenaan secara langsung memfitnah Dr Siti Mariah dengan menyatakan Ahli Parlimen itu menyogok wang kepada tuan rumah di mana ceramah itu diadakan dan pada masa yang sama turut mendakwa Nizar dihalang penduduk kampung daripada melakukan ceramah di kampung itu.

“Penulis blog berkenaan memfitnah dengan satu tuduhan yang cukup berat dengan mengaitkan Dr Siti Mariah berhubung pemberian wang kepada tuan rumah sedangkan perkara itu tidak berlaku.

“Malah pada malam ceramah, sambutan yang diterima di luar jangkaan walaupun terdapat provokasi yang ditimbulkan oleh pihak tertentu termasuk menggunakan pemuda bermotosikal bagi menggagalkan program yang diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja, di sini.

Hadir sama, Pembantu Khas Ahli Parlimen Kota Raja, Azmi Jusoh, Muslimat Pas Kota Raja dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Kawasan Kota Raja.

Sementara itu, Timbalan Yang Di Pertua Pas Kawasan Kota Raja, Nurhalim Sirome berkata, beliau tidak menolak kemungkinan penulis blog berkenaan didalangi pihak yang tidak matang dalam berpolitik

Sinar Harian

1 comment:

  1. Dr Halimah,
    Tempoh kempen telah tamat, berhentilah berkempen. Tumpukan usha dan minda anda untuk mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah rakyat dan mencari idea yang terbaik untuk membangunkan negara. Selamat berkhidmat untuk negara. Terima kasih.

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts