Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, timbul keraguan apabila ramai pengundi (Parlimen Kota Raja) didakwa bertukar alamat gagal dikenal pasti dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) kerana tidak disertakan alamat lengkap.
“Apa jaminan agar perkara itu tidak berlaku di kawasan saya (Parlimen Kota Raja). Saya mahu SPR bertanggungjawab.
“Kalau Tan Sri Aziz (Pengerusi SPR) tidak boleh menentukan data online dan senarai di pejabat SPR adalah sama, beliau perlu letak jawatan.
“Daftar pemilih sekarang ini dilihat tidak bersih dan menimbulkan banyak keraguan. Mungkin ia bukan berpunca daripada SPR tetapi pastikan tiada campur tangan orang tertentu atau mana-mana parti politik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bantahan Rang Undang-Undang Daftar Pemilih suku tahun pertama 2011 ‘Pengundi Hantu’ di Pejabat SPR Selangor, semalam.
Siti Mariah berkata, hanya 169 bantahan nama bagi Parlimen Kota Raja ( DUN Sri Muda dan Sri Andalas) sempat dibuat semakan memandangkan banyak yang tidak mempunyai alamat lengkap.
Katanya, beliau berdepan situasi sama apabila apabila alamat mengundinya berbeza ketika disemak dalam senarai di pejabat SPR dan juga online, sedangkan beliau adalah calon yang menang dalam pilihan raya umum di kawasan tersebut.
“Nama saya sendiri tiada dalam sistem online malah tidak sama dengan di pejabat SPR. Bila tiada, saya panik sebab setahu saya pendaftaran sebelum ini telah diluluskan dan saya akan mengundi di Taman Sentosa DUN Andalas, dalam Parlimen saya.
“Saya berkarap SPR mengemaskini senarai nama dalam online dengan SPR, jika tidak ia akan menimbulkan kekeliruan.
“Kami mahukan senarai nama yang disertakan alamat penuh dan lengkap,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Pas Shah Alam, Azli Yusof (mewakili Yang Dipertuanya, Khalid Abdul Samad) juga kesal dengan kekeliruan maklumat berhubung senarai pengundi.
Beliau berkata, maklumat nama yang berbeza di alamat kediaman sama tetapi berbeza kawasan perumahan menyukarkan pihaknya membuat semakan.
“Bila kami periksa banyak nama yang tidak ada pada alamat yang tertera dalam senarai, ini menimbulkan kekeliruan. Dalam semakan yang kami jalankan sejumlah 275 bantahan nama yang dibuat.
“Tempoh semakan juga pendek, saya berharap SPR melanjutkannya kerana saya percaya masih ramai lagi pengundi di luar sana tidak membuat semakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah