SHAH ALAM, 2 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) sedang mensasarkan satu negeri satu Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu Parlimen bagi calon wanita.
Pengarah pilihan raya DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, cabaran bagi mereka adalah memadankan calon wanita dengan kerusi Dun atau Parlimen yang sesuai.
Menurutnya, PAS tidak mempunyai masalah kekurangan calon tetapi perlu melihat beberapa faktor sebelum diletakkan di sesuatu kerusi terutamanya dari segi anak tempatan atau tidak.
"Kita minta setiap negeri menyediakan dan mengemukakan calon wanita untuk Dun dan Parlimen.
"Cabaran sekarang ini untuk mencari calon yang boleh menang untuk diletakkan di Dun atau Parlimen. Dalam perkiraan politik tak guna kita letak calon wanita tapi tak boleh menang.
"Kena ada kerusi dan calon yang sesuai dan sokongan yang jitu daripada jentera juga," katanya pada sidang media tengahari tadi.
PAS bagaimanapun katanya tidak meletakkan kuota 30 peratus untuk calon wanita.
"Kita tak letak kuota 30 peratus. Kalau ada ramai muslimat dan banyak tempatnya kita akan letak ramai. Kita tak mahu terlalu mendadak.
"2004 kita letak 13 calon muslimat hanya seorang sahaja yang menang iaitu di Tanjung Mas," katanya.
Menyentuh mengenai kriteria calon wanita yang akan dipilih pula, Timbalan DMPP, Siti Zailah Mohd Yusuf dengan mengambil contoh di Kelantan berkata, calon anak tempatan lebih diutamakan.
"Saya ambil contoh di Kelantan, sebelum menjadi calon, seseorang itu perlu mendapat keizinan suami atau ibu bapa bagi yang belum berkahwin dan mempunyai kemampuan bukan sahaja dari segi akademik tapi juga dari segi berhadapan dengan masyarakat dan mengemukakan masalah mereka di Dun atau Parlimen.
"Biasanya calon tempatan lebih diterima. Contoh di Kelantan anak tempatan lebih diterima dan bilangan ahli keluarga yang ramai menjadi keutamaan kerana ia akan mempengaruhi undi," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.
Faktor umur pula tidak menjadi masalah samaada golongan muda ataupun muka-muka lama.
Untuk rekod, PAS mempunyai seorang senator, tiga ahli Dewan Rakyat dan tiga Adun ketika ini.
Turut bersama dalam sidang media tersebut Ketua DMPP, Nuridah Salleh, naib ketua, Senator Mumtaz Md Nawi dan ketua penerangan Salbiah Wahab.
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah