Friday, June 3, 2011

Semua Jentera Parti setiap peringkat siap sedia hadapai Pilihanraya

GOMBAK: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan jentera pilihan raya di semua peringkat parti termasuk di peringkat cawangan bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Walaupun tarikh pilihan raya belum diketahui, saya mengarahkan seluruh jentera PAS untuk bersiap sedia dengan membuka bilik gerakan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar bertema ‘Membangun Negara Berkebajikan’ bagi merasmikan Muktamar
Tahunan PAS ke 57 di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, Taman Melewar, di sini pagi tadi.
Abdul Hadi berkata, adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk menyelamatkan negara ini daripada terus di cengkam oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) yang zalim, kejam dan sarat dengan penyelewengan dan rasuah.
PAS juga katanya, akan membantu dan mempertahankan Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dari jatuh ke tangan Umno-BN dengan seluruh kudrat yang ada.
“Biarlah keringat kita membasahi bumi tempat berpijak. Biarlah tenaga kita bergelora dengan semangat yang tinggi, kita akan mempertahankan kemenangan yang kita kecapi,” ujar beliau sambil disambut dengan sorakan dan laungan Allahu Akbar.
Mengenai matlamat penubuhan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini, beliau menerangkan bahawa belum tiba masanya untuk menubuhkan negara Islam kerana rakyat belum memahaminya.
Sebaliknya katanya dalam menuju kepada pelaksanaan negara Islam, parti memperjuangkan konsep negara berkebajikan.
“Tidak guna memperjuangkan slogan negara Islam jika kita tidak boleh melaksanakannya buat masa ini,“ katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar.
Beliau juga menolak cita-cita untuk menyatupadukan orang-orang Melayu yang diuar-uarkan oleh Umno tetapi sanggup bekerjasama dalam bidang lain untuk kepentingan bersama.
“PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk kepentingan bersama dan kesejahteraan rakyat seperti mempastikan pilihan raya yang bersih dan adil,” terang beliau.
Hadir sama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, penasihat DAP Lim Kit Siang dan pemimpin pembangkang lain serta perwakilan dari luar negeri.

1 comment:

  1. Ar Rayah World News
    Ciri-Ciri Negara Islam Yang Praktis
    http://ibnuyassir.blogspot.com/2011/06/ciri-ciri-negara-islam-yang-praktis.html

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts