Wednesday, February 11, 2009

Kenapa BN perlu takut kuasa pengundi


Momentum bagi memperkenalkan satu rang undang-undang dan Akta yang memaksa ADUN dan MP yang berpaling tadah meletak jawatan meningkat dalam beberapa hari ini berikutan tindakan seorang ADUN BN yang menyeberangi parti menyertai PKR. Mengepalai gerakan itu ialah Joseph Pairin Kitingan, ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) yang partinya itu adalah anggota komponen BN.

Gesaannya menjadi lebih keras apabila kerajaan Perak pimpinan Mohammad Nizar tumbang angkara perbuatan ADUN meloncat parti atau keluar parti. DAP dan Pas turut sama menyuarakan sokongan kepada akta antilompat tetapi mahukan mereka yang meletak jawatan dibenarkan bertanding kembali. Akta sebegini, jika mahu diluluskan oleh Parlimen perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga kerana Perlembagaan Persekutuan terpaksa dipinda terlebih dahulu.

Sikap diambil oleh Joseph Pairin ini mudah difahami kerana beliaulah orang terpukul hebat oleh tindakan ADUN-ADUN yang melompat parti. Pada 1994, kerajaannya tumbang dan beliau dinafikan dari menjadi Ketua Menteri sungguhpun sebelum itu telah memenangi pilihan raya negeri Sabah. Kerajaannya yang sebelum itu berkuasa selama empat penggal, kali ini tumbang hanya selepas dua minggu berkuasa.

Ia tumbang melalui perancangan BN. Beberapa ADUN PBS menyertai parti komponen BN dan beberapa yang lain membentuk parti politik sendiri dan kemudiannya parti tersebut menyertai BN sebagai komponennya. Cara bagaimana PBS ditendang dari tampuk kekuasaan dan dipaksa menjadi pembangkang berupa sesuatu yang tidak pernah terjadi di Malaysia.

Kaedah seperti itu yang tidak pernah terjadi, tetapi menumbangkan sebuah kerajaan yang sah dipilih rakyat pernah terjadi sebelumnya. Pilihan raya pertama di negara kita selepas mencapai kemerdekaan terjadi pada 1959. Melalui pilihan raya itu Pas tanpa disangka-sangka telah berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu.

Pilihan raya umum pertama 1955 menyaksikan Perikatan menyapu bersih kesemua 52 kerusi yang dipertandingkan bagi Dewan Perundangan Tanah Melayu kecuali satu, di Perak (Kerian) yang dimenangi Pas. Pas yang memenangi 13 kerusi di DUN Terengganu menubuhkan kerajaan. Parti Negara memenangi 3, dan Perikatan (sebelum dikenali sebagai BN) 8 kerusi. Peristiwa lompat melompat terjadi di sana menyebabkan keadaan politik berkecamuk. Mula-mula seorang anggota Parti Negara menyertai Pas dan dilantik menganggotai Exco negeri. Kemudian dua orang anggota Pas melompat masuk UMNO. Kemasukan beberapa orang ADUN Pas dan Parti Negera ke dalam UMNO menyebabkan undi tidak percaya kepada kerajaan yang dikemukakan pada 1961 menyebabkan kerajaan itu tersungkur.

Dalam keadaan mana-mana kerajaan mengasaskan kekuatannya kepada undi mudah, nasib kerajaan itu sentiasa berada seperti telur di hujung tanduk. Apa yang terjadi di Terengganu itu ada iras dengan keadaan yang wujud di Perak sekarang. Keputusan dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya pada Selasa kelmarin untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil di Behrang dan Changkat Jering di Perak akan menyebabkan kedudukan kuasa kerajaan negeri itu yang ada sekarang juga dalam keadaan penuh genting.

Lanjutan dari tindakan SPR itu, tiga orang ADUN PR bertindak meninggalkan parti kerana sudah tidak takutkan lagi tentang kesahihan kerusi mereka. Ia sudah berupaya untuk tidak menghargai undi yang dibuat oleh rakyat. Sementara itu seorang ADUN dari Bota pula berpatah balik ke parti asalnya. Keluar dari parti lama dengan senyum dan masuk balik juga dengan senyum melebar. Perasaan pengundi langsung tidak dihiraunya. Dengan keputusan yang dibuat oleh SPR itu, tiga orang ADUN yang mencetuskan kontroversi dan krisis perlembagaan di Perak telah membuat keputusan untuk menyertai BN. Surat ‘peletakan jawatan’ yang mereka dikatakan kemuka kepada SPR dianggap tidak laku dan ini mendorong mereka untuk melompat memasuki UMNO. Dengan tindakan itu, kedudukan DUN Perak berubah drastik di mana PR akan menguasai 28 kerusi sementara BN menguasai 28 dan bebas 3 – sesuatu yang membawa tumbangnya kerajaan PR.

Kerajaan itu tumbang seperti yang terjadi di Terengganu kira-kira 49 tahun dahulu. Dalam keadaan ADUN mudah melompat dari dahan ke dahan lain mencari buah yang lebih ranum, sesuatu kerajaan tidak boleh berada dalam tenang. Bayangkan kerajaan pusat yang dikuasai oleh BN dengan majoriti enam puluh buah kerusi pun masih tergugat, bagaimana pula kedudukan kerajaan-kerajaan negeri yang majoriti tidaklah besar. Kerajaan itu adalah Kedah dan Negeri Sembilan.

BN terpaksa menghantar sebahagian besar MPnya ke Taiwan yang tindakannya dipercayai untuk menghalang sesetengah dari kalangan itu meolompat parti. Keadaan ini menggambarkan bahawa ramai di antara para wakil rakyat di Malaysia, perasaan segan silu dan bertanggungjawab serta berwibawa itu langsung tidak ada. Keutamaan mereka ialah kuasa dan harta. Apa yang dialami oleh Kelantan di mana walaupun memiliki majoriti satu kerusi, ia masih mempertahankan kewujudan kerajaan itu. Ia adalah satu yang amat luar biasa. Sukar mencari wakil-wakil rakyat yang dapat mempertahankan prinsip dan perjuangan parti apabila diasak dengan godaan-godaan dalam pelbagai bentuk.

Ramai akan gagal mempertahankan keutuhan moral jika disuapkan dengan umpan-umpan yang menggiurkan. Bagaimana kita boleh huraikan sesorang meninggalkan perjuangan parti yang didokongnya bertahun-tahun dan kadangkala sanggup menghadapi risiko hebat, dalam sekelip mata? Beberapa bulan dulu, malah bertahun-tahun dahuludia bermati-matian mempertahankannya. Ada udang di sebalik batu?

Mereka yang dipilih oleh rakyat berdasarkan prinsip parti yang dia wakili hendaklah berkhidmat kepada rakyat sesuai dengan mandat yang diberikan. Mana-mana wakil rakyat yang membenarkan dirinya ‘dibeli’ hendaklah kembali kepada rakyat dan membiarkan rakyat menentukan kedudukannya. Tanpa rang undang-undang atau akta yang bertujuan membanteras lompat parti yangmenghina mandat rakyat, perbuatan melompat parti ini sukar dibendung.

Sesebuah parti yang diberi kuasa oleh rakyat mentadbir negeri atau negara tidak mampu untuk mempertahankan amanah itu jika terdapatnya di antara anggota penggubal undang-undangnya mereka yang mementingkan kedudkan dan kepentingan diri. Kedudukan bertmabah rumit jika ia parti berkenaan berdepan dengan parti musuh yang memiliki banyak wang serta sanggup melakukan rasuah. Wakil-wakil rakyat mudah dibeli. Kerajaan negeri Kelantan misalnya pernah menggubal undang-undang yang menyebut bahawa mana-mana ADUN yang melompat parti dengan sendirinya kedudukan orang itu sebagai ADUN gugur. Namun rang undang-undang yang diluluskan itu nyata tidak selaras dengan semangat Perlembagaan Malaysia yang dipinda oleh BN di bawah pimpinan Dr Mahathir.

Dua dekad yang lalu, Shahrir Samad meletak jawatan dan bertanding kembali sebagai bebas di Johor Bahru. Sebelum itu dia menang kerusi ini atas nama BN. Apabila dia tidak menganggotai UMNO (Baru) dia bertindak mengosongkan kerusinya dan memohon kembali mandat dari rakyat. Kekalahan yang dialamai UMNO (Baru) dalam pilihan raya itu telah mendorong Mahathir untuk menggubal undang melarang perbuatan mengosongkan kerusi itu dilakukan oleh MP dan sebagai dendanya MP yang mengosong kerusi itu tidak dibenarkan bertanding selama 5 tahun. Untuk itu Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada 1990.

Pindaan Perlembagaan yang dilakukan oleh MP-MP BN ini terlampau pelik. Sepatutnya, orang yang melompat parti diminta mengosongkan kerusi dan kembali kepada rakyat mendapatkan mandat, ia melarang mereka yang berprinsip untuk meletak jawatan. Bagaimanapun, ia dapat difahami kerana BN sebagai parti ‘raksasa’ ketika itu beranggapan bahawa ia adalah sentiasa berada di pihak yang mempunyai adavantage. Tentu tidak ada YB mereka yang akan melompat parti dan kemungkian adanya pula YB pembangkang yang mahu menyertai mereka adalah besar! Sekarang BN sudah tidak memiliki kuasa dua pertiga.

BN tidak lagi terdaya meminda mana-mana peruntukan Perlembagaan mengikut seleranya. Kalaupun ia mahu melaksanakan Akta melarang MP melompat parti, ia terpakasa melakukannya dengan mendapatkan bantuan MP parti pembangkang. BN sekarang mungkin mahu melaksanakan Akta itu memandangkan momentum perpindahan parti dari BN ke parti pembangkang boleh bergerak. Pas dan DAP sudah pun membayangkan untuk memberi sokongan kepada BN.

BN hendaklah mengambil peluang dari tawaran yang dibuat ini bagi mempastikan bahawa tidak lagi berlakukanya kes penggubal undang-undang (MP atau ADUN) mengkhianati kepercayaan dan mandat rakyat. Mereka perlu kembali kepada rakyat untuk mendapat pengesahan kepada tindakan mereka.

Sesiapa yang benar tidak perlu takut kepada kuasa pengundi. Ramai dari wakil rakyat itu sedia maklum akan hukuman dikenakan rakyat berkaitan tindakan hina mereka tetapi pertimbangan mereka ialah faedah serta merta. Mereka tidak berani meletak jawatan, berdepan dengan rakyat sekali lagi dan jika terpilih jua boleh mendabik dada bahawa ‘akulah wakil rakyat sejati’ dan bukannya wakil kumpulan katak. Sesiapa yang benar tidak perlu takut kepada kuasa pengundi.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts