Friday, February 6, 2009

Tiada Katak dalam PAS

Trend lompat parti tidak mungkin berlaku di kalangan pemimpin Pas kerana pemimpinnya dilihat lebih mementingkan perjuangan serta taat setia kepada parti. Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Sallehin Mukhyi berkata, sehingga ke hari ini, tiada rekod menunjukkan pemimpin di kalangan parti berkenaan terlibat dalam ‘situasi’ tersebut.

“Bukan kita mahu tunjukkan kesombongan kita tetapi jelas, pemimpin kita tidak pernah terlibat dalam masalah lompat parti seperti yang berlaku dalam parti lain. Contohnya di Kelantan, walaupun ada wakil rakyat kita ditawarkan dengan ‘tawaran’ yang agak lumayan tetapi mereka tetap berada dalam Pas,” katanya semalam. Menurutnya, pembinaan ‘doktrin’ di kalangan pemimpin serta ahli dalam parti berkenaan merupakan salah satu kekuatan bagi menjamin perkara itu tidak berlaku dalam Pas.

“Apa yang jelas, kita ditekankan kepada prinsip taat setia, adil serta amanah dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita (pemimpin). Malah, kita telah ditarbiahkan (dididik) serta dititikberatkan mengenai kefahaman kuat kepada Islam kerana asas utama perjuangan kita adalah Islam. “Jadi, mustahil untuk kita berpaling kepada perjuangan kita dan insya-Allah kita akan terus bersama-sama Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali mengenai trend lompat parti di kalangan wakil rakyat akhir-akhir ini. Katanya, Pas tidak pernah terlibat dalam kes melompat parti, keluar parti mahupun menghilangkan diri seperti dalam kes baru-baru ini kerana pemimpin Pas mempunyai tahap disiplin yang tinggi termasuk kesetiaan mereka terhadap perjuangan dan pemimpin mereka. Mengulas mengenainya, Sallehin berkata, pemilihan wakil rakyat Pas berdasarkan tapisan di peringkat akar umbi dan bukan seperti yang berlaku dalam pemilihan parti lain. “Malah, jika sekiranya ada pemimpin yang melakukan perbuatan di luar batasan agama, kita ada panel khas untuk menentukan sama ada mereka (pemimpin) masih layak berada di dalam Pas atau tidak,” katanya. Oleh itu, katanya, adalah wajar diwujudkan undang-undang anti-lompat demi kepentingan rakyat dan pengundi. “Ada bagusnya juga kerana demokrasi dalam negara terjaga dan terjamin serta rakyat tidak akan rasa tertipu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Dr Halimah Ali berkata, prinsip perjuangan Pas berlandaskan Islam dan setiap pemimpin perlu faham konsep perjuangan tersebut. “Setiap wakil rakyat dalam Pas sudah faham apa itu Pas dan kita dipilih dari akar umbi melalui majlis syura. Jadi, insya-Allah kebarangkalian perkara itu (lompat parti) tidak akan berlaku dalam parti ini,” katanya. Ditanya mengenai tindakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang melompat parti, Dr Halimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan berkata, tindakan itu memperlihatkan keampuhan kredibiliti pemimpin berkenaan. “Rakyat mengundi seseorang pemimpin bukan sahaja kerana kredibiliti individunya tetapi kerana parti politik yang diwakilinya. Justeru, undang-undang anti-lompat parti mampu memastikan kepentingan rakyat dan pengundi dipelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, tiada sebarang jaminan perkara tersebut tidak akan berlaku dalam parti berkenaan. “Itu semua kerja Allah. Jadi kita tidak perlu bersikap angkuh kerana tidak mustahil ia akan berlaku di kalangan pemimpin Pas. Kita berjuang bukan untuk dunia tetapi akhirat. Jadi, kita bertanggungjawab ke atas amanah yang diberikan. “Soal lompat parti mungkin tidak akan berlaku sekarang (dalam Pas) tetapi kita perlu ambil pengajaran apa yang berlaku hari ini,” katanya.

2 comments:

  1. mungkinkah ada agenda lain dalam PR yang PAS terlepas pandang?

    ReplyDelete
  2. PAS elok bersendirian dari terus bersama DAP atau PKR..

    Itu lebih afdhal dan awla..

    Lebih baik PAS dari PKR DAP menjadi dominan dalan pakatan.

    kecuali PAS sanggup juga menghakis hak hak istimewa Melayu Raja pasti tidak ada baiknya lagi.

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts