Friday, July 2, 2010

Sikap anak muda kita terhadap Kempen Daftar Pemilih

Pelbagai reaksi diperolehi apabila beberapa orang belia disoal tentang kepentingan mendaftar sebagai pengundi bagi membolehkan mereka mengundi semasa pilihan raya.

Ada yang memberi reaksi positif malah tidak kurang yang bersifat negatif dengan mengaitkannya dengan suasana politik semasa yang menyebabkan mereka tidak berminat untuk mendaftar dan seterusnya mengundi.

"Saya tidak berminat untuk mendaftar kerana tiada pendedahan tentang calon (pilihan raya) yang akan bertanding. Saya juga kurang arif tentang apa yang mereka janjikan kepada rakyat jika mereka terpilih," kata seorang pekerja kilang Adnan Mat Johari, 22.

Nada yang serupa diluahkan oleh seorang penganggur Daniel T. Puaneswaran, 25.

"Selagi manifesto yang dibentangkan parti-parti semasa berkempen tidak dilaksanakan sepenuhnya, saya enggan mendaftar sebagai pengundi.

"Bakal pemimpin seharusnya memikirkan kepentingan rakyat dan berhenti bertelagah sesama sendiri," katanya.

Seorang jurugambar bebas, Haslinda Ahmad Ramli, 29, pula berpendapat semua parti politik harus berkongsi idea untuk kebaikan rakyat.

"Setiap parti mempunyai fokus yang berlainan. Tetapi keadaan akan bertambah baik jika mereka menghormati idea masing-masing dan bukannya menuding jari sesama sendiri apabila berlaku ketidaksefahaman," katanya yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Lain pula dengan Lillian Ng, 28, seorang peniaga yang berkata beliau tidak mendaftar kerana tidak tahu di mana boleh berbuat demikian.

"Saya langsung tidak tahu di mana saya boleh pergi mendaftar. Tetapi saya bercadang mendaftar sedikit masa lagi apabila dapat maklumat dalam laman web SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mengenai tempat untuk mendaftar," katanya yang tidak arif bahawa beliau juga boleh mendaftar di Pejabat Pos dan secara online.

Namun dengan nada positif, Nora Aimi Sulaiman, 24, pelajar jurusan perniagaan di institusi pengajian tinggi swasta berkata, beliau bercadang untuk mendaftar dalam masa terdekat kerana berpendapat setiap undi merupakan suara rakyat.

"Rakyat suarakan hajat mereka dengan membuang undi semasa pilihan raya. Setiap undi penting dan diambil kira supaya calon yang terpilih dapat memperjuangkan nasib rakyat," katanya... Bernama

1 comment:

  1. Semua pihak mesti turun padang untuk menyedarkan generasi muda kita terutama kaum melayu akan kepentingan mendaftar sebagai pengundi.

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts