Monday, May 17, 2010

Kemenangan Sibu "Manis tapi perlu berhati-hati", DSAI

SHAH ALAM, 17 Mei (Bernama) : Pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangkang akan lebih berhati-hati bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak walaupun telah memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Sibu pada Ahad.

Anwar, yang menyifatkan kemenangan di Sibu sebagai satu perkara yang 'manis' berkata pembangkang termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersikap optimistik tetapi masih berhati-hati untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam pilihan raya negeri berikutan ramai daripada wakil rakyat PKR meninggalkan parti.

"Kami optimistik sekarang tapi kami perlu realistik. Saya telah bercakap dengan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng dan (veteran parti ) Lim Kit Siang mengenai perkembangan yang berlaku, tapi ia masih terlalu awal untuk menyatakannya (peluang dalam pilihan raya negeri Sarawak)," katanya kepada pemberita selepas menerima delegasi 11 ahli perniagaan dari Indonesia kepada Pusat Pelaburan Negeri Selangor di i-City dekat sini.

Pada Ahad, calon DAP Wong Ho Leng memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Sibu dengan majoriti 398 undi.Wong memperoleh 18,845 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN) Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas Narawi Haron yang menerima 232 undi.

Penasihat PKR itu juga berhati-hati semasa menjawab soalan sama ada beliau menjangka kemenangan dalam pilihan raya kecil Sibu itu.

"Saya fikir BN, PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) SUPP tidak menjangka (keputusan pilihan raya)," katanya.

Katanya pembangkang sentiasa berdepan dengan tugas berat untuk memenangi mana-mana pilihan raya kecil sejak 1955.

Sementara itu, sambil mengakui bahawa tindakan Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong untuk keluar dari PKR baru-baru ini memberi kesan terhadap parti itu, Anwar berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan itu kerana ia telah dijangka sejak tiga bulan lalu.

Mengenai laporan bahawa beliau akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada 8 Jun ini berhubung dakwaannya konsep 1Malaysia diilhamkan Apco Worldwide, perunding Amerika Syarikat yang sama di belakang kempen One Israel, Anwar berkata beliau berjumpa dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menjadualkan semula tarikh itu kerana beliau sepatutnya berbahas mengenai Rancangan Malaysia Ke-10 pada tarikh itu.

Mengenai pertemuannya dengan delegasi Indonesia itu, Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berkata delegasi itu berminat untuk menjalin usahasama dengan kerajaan negeri Selangor bagi membuka kedai pakaian dan melabur dalam industri hijau, makanan dan pengangkutan - BERNAMA

1 comment:

  1. benci dgn orang yang cakap putar belit... pasrael sanggup menjual Allah.... demi kapentingan politik...

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts