Wednesday, May 26, 2010

PAS Sedia Letak Calun Bukan Islam

Pas bersedia meletakkan ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang baru diiktiraf secara rasmi minggu lalu sebagai calon untuk mewakili Pas dalam pilihan raya Sarawak.

Bagaimanapun, ia bergantung pada calon pihak lawan meletakkan calon bukan Islam di kawasan yang ditandingi , kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Ali.

Menurutnya, Pas melalui perlembagaan yang akan dipinda akan memberi peluang kepada bukan Islam menjadi calon bukan sahaja di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

“Pada pilihan raya umum 2008 lalu, ahli Kelab Penyokong Pas yang bertanding tidak boleh menggunakan lambang bas dan bertanding atas tiket bebas.

“Selepas ini, melalui perlembagaan yang dipinda, mereka boleh bertanding dan menggunakan bendera Pas ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pencalonan ahli bukan Islam bergantung pada keperluan dan agihan kerusi antara parti dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana tidak mahu sebarang pertembungan.

Hadi berkata, PR tidak mahu sebarang pertembungan dan lebih suka pertandingan dua penjuru dengan Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Ketua DHPP, Hu Pang Chaw mengalu-alukan peluang yang diberikan Pas dan ini membawa mesej yang jelas bahawa perjuangan pari itu tidak meminggirkan orang bukan Islam.

Menurutnya, ia merupakan penghormatan kepada masyarakat bukan Islam dan memperlihatkan Pas tidak mengamalkan politik perkauman

Pang Chaw berkata, DHPP akan mengadakan mesyuarat pertama Jun ini bagi menubuhkan DHPP di setiap kawasan dalam menambah sokongan bukan Islam.

“DHPP menyasarkan 50 peratus penambahan ahli DHPP sehingga hujung tahun ini. Kini keahliannya berjumlah 20,000 orang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts