Thursday, April 9, 2009

Rancang tingkat ekonomi kaum India

KOTA RAJA - Masalah keciciran kaum India dalam bidang ekonomi perlu diberi perhatian dan setiap pihak harus memainkan peranan secara efektif bagi mengatasi masalah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, antara masalah yang sering dialami ialah ketiadaan maklumat yang tepat dan betul sehingga menyebabkan golongan berkenaan sering ketinggalan dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, terdapat banyak peluang perniagaan yang disediakan oleh kerajaan negeri kepada kaum India, tetapi kurangnya pendedahan dan ilmu menyebabkan mereka terpinggir serta agak ketinggalan. “Komunikasi yang lemah membabitkan peniaga dengan agensi kerajaan dan tidak tahu saluran yang perlu digunakan bagi menjana perniagaan merupakan antara masalah yang dikenal pasti menjadi punca masyarakat India agak kurang maju dalam bidang keusahawanan.

“Perkara ini akan kita atasi melalui gerak kerja yang bersepadu membabitkan kerajaan negeri dan agensi yang terlibat bagi membantu mereka meningkatkan daya saing dalam dunia perniagaan kelak,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Keusahawanan anjuran Persatuan Peniaga India dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), di sini.

Katanya, banyak peluang perniagaan dan bantuan disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan, tetapi ramai kaum India tidak merebut peluang berkenaan. “Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan negeri merancang beberapa siri seminar di peringkat negeri dan daerah untuk memberikan pendedahan kepada mereka cara mendapatkan pekerjaan dan mencipta peluang perniagaan.

“Malah dengan menyertai program sebegini, masyarakat India secara tidak langsung memperoleh maklumat dan pengetahuan berguna bagi menjayakan bidang perniagaan yang diceburi,” katanya.

1 comment:

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts