Bila saya baca pertuduhan terhadap Tun Dr Ling Liong Sik bahawa dia telah menipu Kabinet mengenai harga tanah dari Kuala Dimensi Sdn Bhd untuk projek PKFZ, saya tidak tahu sama ada patut menangis atau ketawa.
Ini mungkin kali pertama di dunia di mana seorang bekas menteri - seorang individu yang berjawatan tinggi di dalam pentadbiran kerajaan - telah dikenakan tuduhan sedemikian. Tetapi di Malaysia, semua boleh.
Mengikut pertuduhan, tanah seluas 1,000 ekar itu bernilai RM25 satu kaki persegi. Tetapi pendakwa akan membuktikan yang Tun Ling tidak memberitahu Kabinet Malaysia bahawa harga itu termasuklah kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setiap tahun untuk tempoh pembayaran ansuran selama 15 tahun berdasarkan kaedah deferred payment (bayaran tertangguh).
Kononnya, Tun Ling telah menipu Kabinet, kerana perjanjian yang telah difahamkan adalah bahawa RM25 skp itu termasuklah faedah yang dikenakan. Namun, Ling telah meminta kelulusan Kabinet untuk membeli tanah itu pada kadar RM25 skp DAN juga membayar faedah 7.5 peratus yang dipersetujui.
Sebenarnya, Tun Ling tahu bagaimana mengatasi pertuduhan ini dengan mudah sekali. Sebab itulah dia nampak tersenyum dan relaks sahaja.
Saya berasa sedih kerana skandal melibatkan wang rakyat ribu juta ini dimain-mainkan oleh kerajaan.
Saya ingin menujukan beberapa soalan mudah untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka menteri yang senior, dan malah, Najib berpangkat timbalan menteri pada masa itu.
Jadi, jawab lah.
Pertama: Projek ini diluluskan di bawah pentadbiran Tun Mahathir pada tahun 2002 atas kepercayaan yang ianya boleh untung besar tanpa duit kerajaan (self financing) dan tidak memerlukan perbelanjaan Kerajaan. Senario yang kini wujud adalah satu bebanan kepada rakyat yang dianggarkan mencecah RM12 ribu juta - bagaimanakah situasi sebegini berlaku?
Kedua: Kabinet pada awalnya meminta tanah 1,000 ekar itu diambil alih melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 pada kos RM10.16 skp. Adakah patut tanah itu dibeli dengan harga RM25 skp jauh dari harga pasaran, termasuklah caveat dan cagaran?
Ketiga: Surat Sokongan (letters of support) oleh Tun Ling dan bekas timbalan presiden MCA Chan Kong Choy untuk kontraktor KDSB yang dikeluarkan tanpa kebenaran ataupun kelulusan Kementerian Kewangan. Bahkan Peguam Negara juga tidak terlepas butiran ini. Mengapakah Kabinet telah memberi kelulusan secara retrospektif terhadap perkara ini dan meluluskan kos dan perbelanjaan projek tersebut yang kini melambung kepada RM4.6 ribu juta?
Kalaulah sudah dihalalkan segala kepincangan, legal violations, cost overruns dan memberikan kelulusan untuk projek tersebut, mengapakah harga sebenar tanah tersebut masih tidak diketahui?
Mustahil Kabinet tidak tahu yang pembayaran tanah itu adalah secara beransur (deferred payment) selama 15 tahun. Takkan menteri-menteri yang pintar tak sedar bahawa bila ada deferred payment, faedah tentu akan dikenakan?
Mustahil harga tanah sebenar tidak boleh dinilai, dan mustahil laporan Valuation Department tidak dikembarkan dalam Kertas Kabinet PKFZ!
Pada pendapat saya, Tun Ling boleh tidur selesa dan tidak perlu kecewa walaupun Chan Kong Choy tidak dituduh.
Tun Ling pun tidak sihat, jadi mesti banyak berehat; tetapi peguam peguam beliau sudah tentu bersedia.
Agaknya, ini akan jadi seperti kes Perwaja lagi wahai rakyat!... sumber : zaiduntukrakyat
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah