Saya tak menjangka kempen utk pimpinan tertinggi DMP panas. Saya juga tak menjangka yang kami bertiga akan dicabar kerana baru satu penggal iaitu dua tahun diberi mandat.
Dua tahun yang kami pegang sibuk dengan persiapan PRU13. Walaubagaimanapun saya terima hakikat demokrasi dan parti mengizinkan berkempen kali ini.
Sebelum ini saya sendiri setia denga DMPP semenjak menjadi AJK DMPP dari tahun 2000. Saya setakat bertanding AJK walaupun saya pernah dicalonkan ke ketiga tiga jawatan tertinggi DMPP setiap kali musim pemilihan.
Saya menolak kerana saya merasakan ada orang lain yang lebih layak. Saya diajak masuk DMP untuk membantu muslimat dan tiada niat untuk menjadi pemimpin besar.
Kedua dua sahabat saya, YB Zailah dan YB Mumtaz telah masing2 memegang jawatan timbalan dan naib ketua sebelum ini. Cuma dalam pemilihan yang lepas YB Zailah dipilih menjadi ketua. Saya pula jadi Timbalan.
Saya menerima pencalonan dalam pemilihan lepas setelah menjadi wakil rakyat. Tujuannya adalah untuk bersama manaikkan martabat DMPP dan imej muslimat PAS di pesada politik Malaysia.
Membina imej adalah sebahagian dari strategi untuk mengarusperdanakan PAS itu sendiri. Sebelum 2004, PAS sering dituduh meminggirkan wanita dan tiada pimpinan wanita yang boleh dikedepankan.
Selepas 2004 apabila DMP berjaya menampilkan muslimat sebagai calon dan ada dikalangan muslimat ditakdirkan menang dan berperanan dalam kerajaan, muslimat boleh merasai usaha pengupayaan pimpinan muslimat terdahulu sudah berhasil.
Muslimat juga tidak lagi merasa rendah diri apabila ketiga jawatan tertinggi dipegang oleh YB. Kami bertiga bukan orang terhebat tetapi keperluan politik untuk kami menerajui DMP.
Muslimat perlu berganding bahu kerana tiada seorang pun pimpinan muslimat yang sempurna disegi kemampuan dan kelayakan. Kami cuba merealisasikan gandingan ini dengan mendelegasi tugas kpd mereka yang layak. Tidak mencantas sesiapa jika mereka sudi duduk dalam jawatankuasa muslimat.
Ada dari kalangan muslimat yang enggan menerima perlantikan kerana tidak boleh menerima kami bertiga sebagai pemimpin. Namun mereka menjadi ajk dalam lajnah2 yang mereka minati.
Kebebasan telah diberikan kepada semua lajnah untuk melaksankan visi dan misi DMP dan parti.
Malah lajnah terpenting, Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan tidak dipegang oleh Ketua atau Timbalan kerana kami mahu ianya dipegang oleh golongan aalimat atau asatizah yang ada pendidikan formal dalam bidang agama.
Lajnah ini diberi kebebasan penuh untuk menganjur sebarang aktiviti untuk memperkukuhkan jati diri muslimah dan terus istiqamah dengan perjuangan Islam.
Apa apa pencapaian DMP sehingga kini bukan hasil kerja seorang pimpinan muslimat tetapi hasil pemikiran, perbincangan dan keputusan jamaie. Kesemua pimpinan adalah mata rantai perjuangan, insyaallah sampai hari akhirat.
Idea asal mungkin dari salah seorang saf pimpinan muslimat, namun apabila diluluskan oleh saf pimpinan kita semua bertanggung jawab untuk melaksanakannya bersama.
Cuma bila mana tidak semua orang boleh terlibat dan mempunyai minat dankemampuan dalam semua perkara, maka berlakulah apa yang kita terpaksa terima ialah pengkhususan kerja.
Berlaku penambahbaikan semua gerak kerja semakin DMP semakin berusiandan matang. Ini adalah sunnatullah. Sekiranya semua saf pimpinan yang terpilih memahami peranan maka tidak timbul tidak puas hati bila pimpinan bertukar ganti.
Saya menulis ni bukan nak kempen cuma nak kongsi rasa.
Dr. Siti Mariah Mahmud
19hb Nov. 2013