Sunday, June 30, 2013

Jika 16-16, SPR yang salah

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut ini Dewan Undangan Negeri Terengganu (Dun) berkedudukan 16-16 sehingga menyulitkan kedudukan kerajaan negeri itu.

Tuan Ibrahim berkata, SPR sendiri yang mengatur kawasan pilihan raya secara genap sehingga memungkinkan kedudukan menjadi seri antara kerajaan dan pembangkang.

“Takdirnya kedudukan menjadi 16-16 selepas PRK nanti, kita salahkan kegagalan SPR kerana mengatur kerusi secara genap.

Sepatutnya jumlah kawasan pilihan raya mestilah angka ganjil, baru boleh dapatkan kemenangan,” kata beliau lagi.

Saturday, June 29, 2013

Kuala Besut jadi talian hayat

Kekosongan kerusi Dun Kuala Besut berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar  dilihat memberi talian hayat kepada Pas untuk menawan semula Terengganu selepas tewas pada PRU13.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, Pas berpeluang menawan Dun Kuala Besut, namun bergantung kepada calon diletakkan nanti.

Katanya, Pas perlu letak calon ‘heavyweight’ kerana Dun Kuala Besut kubu kuat Umno dan pastinya BN akan meletakkan calon berwibawa.

“Pergolakan dalam Umno juga mampu beri kelebihan kepada Pas.

"Kita lihat pergolakan ini antara penyebab pada pilihan raya lalu Pas mampu menawan banyak kerusi hingga menyebabkan kedudukan Umno terancam,” katanya.

Selain itu, katanya, sikap pengundi Terengganu yang sering menukar sokongan juga dilihat akan memberi kelebihan kepada Pas dan perkara ini terbukti pada pilihan raya lalu.

Katanya, senario politik di Terengganu juga dapat memberi peluang kepada Pas kerana jika dilihat BN Terengganu lebih kuat pada zaman Datuk Seri Idris Jusoh berbanding di zaman pentadbiran Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Ahmad Said.

Friday, June 28, 2013

Pakar Undang-Undang kata Sultan ada hak bubar DUN jika...

Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berpendapat, Sultan Terengganu boleh membubarkan DUN sekiranya baginda tidak boleh memutuskan menteri besar yang sesuai - jika BN dan Pakatan masing-masing menguasai jumlah kerusi yang sama banyak.

Tambahnya, dalam keadaan seperti itu, pelantikan menteri besar boleh diputuskan oleh Sultan, yang boleh menggunakan pertimbangannya sendiri.

Abdul Aziz berkata, mengikut pertuntukan perlembagaan negeri, yang serupa dengan peruntukan  dalam perlembagaan persekutuan, perkara itu tertakluk bawah budi bicara Sultan.

Katanya di Terengganu, seperti juga negeri lain di Malaysia dan negara-negara Komanwel, Sultan boleh melantik seseorang yang dirasakan mendapat sokongan paling banyak dalam Dewan.

"Sekiranya Sultan tidak pasti, maka saya fikir baginda boleh membubarkan Dewan agar satu pilihan raya baru boleh diadakan.

“Ini untuk membolehkan rakyat membuat keputusan dan bukannya baginda. Dari sudut monarki sebagai simbol perpaduan yang perlu berada lebih tinggi dari parti politik, mungkin ia pilihan yang lebih baik,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan DUN Terengganu tergantung sekiranya PAS memenangi pilihan raya kecil DUN Kuala Besut.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN memenangi 17 daripada 32 DUN, dan selebihnya 15 kerusi dimenangi PAS.Pilihan raya kecil itu bakal dijalankan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut Dr A Rahman Mokhtar dari BN.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan sebelum 27 Ogos.

Wednesday, June 26, 2013

Dakwat kekal : giliran Shahidan bertaichi

Kesan ketahanan penggunaan dakwat kekal adalah bergantung kepada individu dan usaha yang dilakukan bagi tujuan menghilangkan dakwat kekal itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata ujian yang dibuat ke atas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan pekerja media pada 2 Mei lepas membuktikan dakwat itu kekal seperti yang ditetapkan.   

"Tarikh luput dakwat kekal ialah dalam tempoh empat bulan daripada tarikh ia dikilangkan dan diimport dari negara luar," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.   

Soalan itu menyentuh kos perbelanjaan PRU13 dan dakwat kekal.   

Shahidan berkata dakwat itu antara lain dihasilkan dengan menggunakan bahan pewarna makanan yang diluluskan.   

Beliau berkata sebanyak RM400 juta telah diluluskan Kementerian Kewangan untuk menampung segala perbelanjaan PRU13 lepas. - Bernama

Wednesday, June 19, 2013

Menyelusuri Lorong Mati menjelang Ramadhan

Sebut sahaja Lorong Haji Taib orang akan mengaitkannya dengan ‘lorong mati’ kerana di sinilah destinasi pekerja pekerja seks murahan mencari nafkah untuk menyara hidup.

 (Dr Siti Mariah...pelopor bantuan untuk golongan glandangan bersama rakannya Allahyarham Dr Lo' Lo') Menyelusuri kawasan di lorong itu cukup menakutkan terutama di waktu malam.

Bermula jam 9 pagi hingga dinihari kelihatan pekerja-pekerja seks berada di tepi jalan mencari pelanggan.

Di lorong ini juga menjadi ‘syurga’ golongan gelandangan. Suasana kehidupan mereka suram walaupun tinggal di ibu kota yang gah dengan bangunan mencakar langit.

Jauh di sudut hati mereka, pembangunan dan kemajuan yang menjadi kebanggaan negara itu langsung tidak dikecapi.

Setiap tahun menjelang Ramadhan, Dewan Muslimat PAS membantu golongan ini. Tahun ini, ia akan dilakukan lagi dengan bantuan pembaca semua.

Anda boleh menyumbang untuk menjayakan program ini dengan menyalurkannya ke akaun “Dana Kami Prihatin” 1211 3010 0261 50 atau hubungi Dr Siti Mariah Mahmood di nombor 019 236 1889.

Tuesday, June 18, 2013

Tsunami politik berterusan

Keputusan PRU13 lalu dikatakan mempunyai kesinambungan gelombang ‘tsunami politik’ yang mula menular sejak PRU12 telah mengubah landskap politik Malaysia khususnya di kawasan bandar-bandar utama di negara ini.

Menurut Penyelidik dan Penganalisis MySuara, Faizal Riduan, PRU13 berjaya mengekalkan pola pengundian pilihan raya sebelumnya apabila memperlihatkan perubahan ketara susulan ramai pengundi khususnya golongan muda beralih arah kepada parti pembangkang.

“Keadaan ini sekaligus mengesahkan keputusan PRU12 bukan undi protes atau sikap sementara sebagaimana keputusan pilihan raya 1999 dan 1969 yang berjaya dipulihkan BN pada 2004 dan 1974.

“Persoalannya jika BN boleh menerima keputusan yang seberat ini, mengapa tidak PR akur kepada mandat yang telah diputuskan rakyat pada 5 Mei lalu?,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sebelum ini turut membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Participant of the Trash Voting on the 13th th General Election: Malaysia Perspective, International Conference on Goverment Transition and Policy Change di Universiti Yonsei, Korea Selatan.

Pada PRU13, terdapat seramai 13,268,002 pemilih berdaftar iaitu 80.2 peratus daripada keseluruhan 16,550,421 rakyat yang berusia 21 tahun dan ke atas layak mengundi.

Namun hanya 11,256,545 pemilih keluar mengundi iaitu 84.84 peratus daripada pemilih berdaftar.

Daripada jumlah tersebut, BN yang membentuk kerajaan mendapat 5,237,699 undi dan parti-parti pembangkang mendapat 5,816,878 iaitu masing-masing mewakili 47.38 peratus dan 51.67 peratus daripada jumlah pengundi yang keluar mengundi.

Dalam pada itu, Faizal berkata kemenangan majoriti mudah yang diperolehi BN ditolak Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa PR lebih berhak membentuk kerajaan kerana mendapat undi popular lebih tinggi iaitu 5,624,011 undi.

“Hakikatnya sejak merdeka, Malaysia menggunakan sistem majoriti mudah, first-past-the-post berasaskan single member constituencies dalam pilihan raya sama seperti amalan di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Kanada dan India. Calon yang mempunyai undi terbanyak (walau beza hanya satu undi) adalah pemenang,” katanya.

Pada PRU3 1969, BN (dulunya Perikatan) hanya memenangi 60 peratus iaitu 95 daripada 144 kerusi Dewan Rakyat dan 162 daripada 282 kerusi Dun dengan tewas di Kelantan dan Pulau Pinang manakala undi popular jatuh ke paras 49.3 peratus.Berbanding pilihan raya 1959 dan 1964, prestasi BN merosot hampir 50 peratus dan buat pertama kali BN kehilangan majoriti di Parlimen serta Dun di Perak dan Selangor.

Undi popular BN sebelum PRU13 ialah 51.7 peratus (1959), 58.5 peratus (1964), 49.3 peratus (1969), 60.7 peratus (1974), 57.2 peratus (1978), 60.5 peratus (1982), 55.8 peratus (1986), 53.4 peratus (1990), 65.2 peratus (1995), 56.5 peratus (1999), 63.9 peratus (2004), 52.2 peratus (2008) dan 47.7 peratus (2013). 

Bagaimanapun BN mendapat perwakilan yang lebih ramai di Dewan Rakyat bermula 1959 dengan mendapat 74 daripada 104 kerusi Parlimen iaitu mewakili 71.1 peratus, 85.6 peratus (1964), 66 peratus (1969), 87.7 peratus (1974), 84.5 peratus (1978), 85.7 peratus (1982), 83.6 peratus (1986), 70.5 peratus (1990), 84.4 peratus (1995), 76.7 peratus (1999), 90.4 peratus (2004), 62.6 peratus (2008) dan 59.9 peratus (2013).

Tambahnya lagi, walaupun terdapat pelbagai ulasan pro dan kontra pasca PRU13, realitinya PRU kali ini menunjukan demokrasi Malaysia bertambah subur dengan sejarah peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 84.84 peratus.

“Pengundi baru pertama kali paling ramai sebanyak 2.3 juta, penyertaan calon bertanding pilihan raya paling ramai dengan 1,900 pencalonan.

“Pertama kali tiada calon menang tanpa bertanding dan pilihan raya tersengit sehingga melibatkan pertandingan tiga hingga tujuh penjuru. Ini semua memberikan pilihan dan peluang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Oleh itu beliau mengigatkan bahawa hasil keputusan PRU13 yang lalu dapat dijadikan iktibar kepada parti BN dan PR untuk menggalakan penyertaan lebih ramai dalam PRU.

“Pada edisi PRU bulan lalu terdapat 2 juta pemilih tidak keluar mengundi dan 3.3 juta lagi tidak mendaftar sebagai pemilih menjadikan keseluruhannya 5.3 juta rakyat Malaysia.

“Jumlah sebesar ini boleh menjadi kuasa ketiga antara BN dan PR, di mana jika mereka mengambil bahahagian maka dipercayai akan memberikan kemenangan lebih besar kepada mereka,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menyarankan supaya kedua-dua parti BN dan PR menerima keputusan PRU13 yang lalu.

“Bagi mengelakkan sentimen anti demokrasi maka sudah sampai masanya untuk keputusan PRU13 diterima dan diabsahkan secara perundangan dan moral,” katanya.

Dalam konteks ini menurut Faizal lagi SPR perlu melakukan beberapa pembaharuan.

“SPR perlu memfokus kepada usaha meramaikan penyertaan rakyat dalam pilihan raya dengan mekanisme mesra pemilih. Jika tidak, pilihan terbaik BN dan PR untuk melegitasikan keputusan PRU akan datang ialah dengan menggerakkan kempen pendaftaran pemilih di kalangan rakyat Malaysia.

“BN mungkin boleh berkempen dengen tema “1Undi, 1Malaysia” dan PR dengan tema “Merakyatkan Undi” supaya keputusan PRU-14 selewat-lewatnya pada 2018 adalah muktamad dan tidak mencetuskan keadaan tidak menentu seperti pasca 1969, 2008 dan 2013,” katanya.

Tuesday, June 11, 2013

Awasi lencongan persempadanan oleh SPR

Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli memberitahu Pakatan Rakyat akan mencadangkan untuk menubuh satu jawatankuasa khusus bagi memantau persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan dilaksana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti. 

Beliau ketika dihubungi Harakahdaily memberitahu jawatankuasa tersebut akan membuat pemantauan kawasan-kawasan yang dijangkakan berlaku persempadanan berlandaskan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lepas.

 Jelasnya lagi, tumpuan turut dilakukan bagi memastikan jumlah pengundi yang tidak keterlaluan di kawasan luar bandar seperti yang berlaku di Parlimen Pekan pada PRU13. 

"Kita mencadangkan akan menubuhkan satu jawatankuasa khusus bagi memantau segala cadangan yang akan dilakukan oleh SPR berhubung dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya. 

"Ada beberapa perkara khusus akan ditumpukan terutamanya berhubungan penambahan jumlah pengundi agar tidak keterlaluan terutamanya melibatkan kawasan luar bandar sebagai contoh Pekan yang bukan sebuah bandar yang besar tetapi mempunyai pengundi yang ramai," kata beliau.

 Dr Mohd Hatta yang turut memberitahu selain isu pertambahan pengundi perubahan keluasan kawasan Parlimen turut menjadi fokus utama. Katanya, adalah suatu yang agak tidak lojik apabila kawasan parlimen itu terpaksa dilencongkan dengan begitu jauh bagi memastikan calon Barisan Nasional yang bertanding di kawsan tersebut terjamin kemenangannya. 

"Kita tidak mempertikaikan apabila SPR ingin memasukkan kem tentera di dalam sesuatu kawasan parlimen tetapi adalah tidak lojik apabila lencongan yang jauh dibuat seperti Parlimen Pekan yang terpaksa memasukkan kem tentera di Kuantan bagi memastikan Perdana Menteri menang selesai di situ.

 "Kita akan pastikan setiap kawasan yang teerlibat dalam persempadanan semula itu mempunyai alasan yang kukuh dan rasional sebelum ia diluluskan," sambung beliau. 

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof membayangkan pihaknya akan melakukan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi mengadapi PRU14. 

Mengikut amalan setiap lapan hingga 10 tahun kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dilakukan dengan mengambil kira pertambahan penduduk. Bagaimanapun rang undang-undang yang dicadangkan itu perlu mendapat sokongan dua pertiga anggota parlimen.

Tuesday, June 4, 2013

Wajah sebenar Umno

Setelah menang pilihanraya umum ke 13 walaupun tewas undi popular buat pertama kalinya dalam sejarah, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan wajah Umno yang sebenar kepada umum.

(Kata Mahathir, orang Melayu sudah meluat dengan Umno... tetapi hanya sebut selepas pilihan raya selesai) 

Bagi Mahathir, ramai orang Melayu sudah merasa meluat dengan Umno dan mengganggapnya tidak relevan dan perlu ditolak kerana parti itu tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair.

“Umno ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. Umno berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri,” tulis Mahathir di blognya.

Mahathir berkata pemimpin Umno kini melariskan budaya memilih orang kurang berkobolehan untuk menyertai parti supaya kedudukan mereka tidak diancam sampai bila-bila.

"Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. Umno adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai Umno,” selar beliau.

Sekarang, Mahathir berkata Umno sudah menjadi sebuah parti hanya untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian.

"Umno tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi,” sindirnya lagi.

Akibatnya, kata Mahathir, mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk Umno lagi.

“Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan dibanding dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam Umno mestilah melalui cawangan, yang boleh masuk Umno ialah yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan,” katanya.

Mahathir juga menyindir bahawa pemimpin-pemimpin Umno ini sering terlupa ajal boleh sampai bila-bila masa.

“Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti,” katanya.

Akhirnya, Mahathir berkata Umno hanya tinggal golongan yang tidak berbakat sehingga semakin kurang ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU.

"Calon payung terjun yang berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan,” sindirnya lagi.

“Di mana pergi mereka yang berbakat ini?.

Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan,” tambahnya lagi.

Saturday, June 1, 2013

SPR dibawah Parlimen

Bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.     

"Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di IstanaNegara.

Langkah itu, yang bertujuan untuk meningkatkan kredibiliti SPR, dibuat ketika Pakatan Rakyat melancarkan kempen terhadap suruhanjaya itu berikutan dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum ke-13 bulan lepas.

Pakatan pembangkang mendapat 51 peratus undi popular tetapi hanya memenangi 40 peratus kerusi di Parlimen berbanding dengan parti pemerintah, yang hanya menang 47 peratus undi popular tetapi memperolehi 60 peratus kerusi kerana amalan persempadanan kawasan pilihanraya.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR dijangka dilaksanakan lewat tahun ini dan Pakatan dijangka mengenakan untuk membetulkan ketidakseimbangan jumlah pengundi, yang didakwa memberi kelebihan kepada BN

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts