Friday, August 23, 2013

Bila hujan lebat

Semalam hujan. Semenjak jadi yb bila hujan saya bimbang air naik dan rakyat terpaksa menghadapi banjir kilat lagi. Walaupun belum ada yang mati kelemasan, namun banjir yg kerap menyusahkan rakyat dan menyebabkan kerugian. Bila berulang kali berlaku siapa yang tahan sabar.

Sudah ada penambahbaikan di kawasan klang disegi pembesaran sungai atau parit dan pembinaan longkang2 baru dalam kawasan kota raja. Namun masih ada bbrp "bottleneck" yg sukar yang blm diambil tindakan. Longkang yg ada berlainan tuan. JKR, JPS dan MPK/MBSA. Semua diasak oleh pejabat adun dan parlimen utk mengambil tindakan. Kerajaan negeri pun telah memperuntukan jutaan ringgit utk memastikan banjir tidak berulang.

Cuma bagaimana baik sistem perparitan nanti pun, bila hujan lebat dikala air laut pasang, kunci air tidak dapat dibuka. Air akan naik dikawasan rendah. Pam pam yg sedia ada tidak mampu utk mengalih air dari anak2 sungai ke laut. Saya sudah melihat perkara ini sudah lima tahun. Dah muak dgn alasan. Saya tidak dengar ada peruntukan baru utk meningkatkan kuasa pam pam di kunci air yg sedia ada. Setiap kali para jurutera jps atau pbt akan menyebut KALAU pam air kuat kita boleh cepat alih air dari sungai ke laut, cepatlah turun paras air sungai. Saya tanya kenapa tak buat, mereka kata mahal. Jutaan ringgit. Siapa punya tanggung jawab... mereka diam. Kjaan pusat? Kjaan negeri?

Namun saya tak mahu nak minta kerajaan pusat lagi utk membina pam pam ini. Jawapan mereka stereotype di parlimen ialah tiada bajet. Mereka dah buat itu dan ini. (Kalaulah duit BRIM yang berbillion itu digunakan utk menambah pam, nilainya lbh tinggi kpd penduduk di kawasan klang. )

FORGET abt kerajaan pusat.

Saya merayu kepada kerajaan negeri utk menggunakan simpanan berbillion tu. Ambil sedikit utk bina pam pam yg lebih berkuasa. Saya tak fikir ia akan membangkrapkan negeri selangor. Harap para ADUN dapat menggesa kerajaan negeri selangor di dalam dan diluar dewan undangan utk kebajikan rakyat jangka masa panjang.

Dalam masa dua tahun pertama utk sesi 3013 -2018 ni semua ADUN perlu menyelesaikan masalah yg di bawah kuasa kerajaan negeri atau PBT dlm DUN mereka. Jangan hanya harapkan ahli ahli majlis sahaja.

Tuesday, August 20, 2013

PAS minta sidang khas Parlimen

PAS hari ini menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar memanggil sidang khas Parlimen untuk mengecam pembunuhan beramai-ramai rakyat Mesir yang dilakukan oleh rejim haram yang dipimpin oleh Jeneral Abdul Fatah Al Sisi.

Surat yang ditandatangani Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memohon agar mesyuarat kabinet yang akan diadakan esok dapat membuat ketetapan rasmi supaya Kerajaan Malaysia memanggil sidang khas Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat ini.

Kedua-dua Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menyerahkan surat berkenaan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Khairun Asieh di sini jam 11.25 pagi.  

Menurut Salahuddin, PAS akan memberi komitmen untuk menyokong penuh sidang yang dipanggil beserta dengan sebarang resolusi mengutuk kezaliman tentera Mesir serta menyokong demokrasi dipulihkan dengan kerajaan awam serta Presiden Morsi dikembalikan kuasanya.

"Atas premis inilah kita melihat bahawa Malaysia perlu mengambil sikap yang jelas mengutuk rampasan kuasa dan pembunuhan kejam oleh tentera Mesir ke atas ribuan rakyatnya bagi memberi tekanan kepada rejim," katanya.

Bahkan jelas Salahuddin, langkah ini juga sebagai isyarat kepada masyarakat dunia bagi menggerakkan mereka untuk sama-sama bersolidariti dengan rakyat Mesir yang sedang dizalimi. Apa yang perlu disedari katanya, ada tanda-tanda pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk terus mewujudkan kestabilan dunia Umat Islam dengan mencipta peperangan yang tidak berkesudahan. 

"Ini dapat dikesan dengan laporan berita bahawa terdapat kumpulan pengganas dipercayai dari kelompol Al-Qaeda yang ditaja pihak berkenaan mula masuk ke Mesir atas alasan untuk membalas dendam kejatuhan rejim tentera padahal niat mereka adalah untuk mencetuskan perang, akhirnya pergerakan yang memilih jalan demokrasi seperti Ikhwanul Muslimin terus dimangsakan atas alasan keselamatan negara," katanya.

PAS juga percaya Jeneral Al Sisi berani bertindak hingga ke tahap melakukan 'mass killing' tanpa memikirkan sebarang risiko adalah kerana rampasan kuasa yang dilakukan ke atas Presiden Morsi mendapat sokongan dan restu secara tidak langsung oleh Amerika Syarikat untuk kepentingan strategiknya di Timur Tengah.

Turut bersama dalam menghantar surat berkenaan, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahamud, Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr Khairudin Aman Razali, dan Ajk Muslimat Aiman Athirah Al Jundi.

Thursday, August 15, 2013

PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Mesir

Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim tentera di Mesir yang bertindak kejam dan melakukan jenayah terhadap rakyatnya sendiri sehingga menyebabkan ratusan terkorban dan ribuan cedera parah.

PAS menyeru kepada komuniti antarabangsa termasuklah Kerajaan Malaysia supaya melaksanakan langkah drastik terhadap rejim tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi yang merampas kuasa dari rakyat Mesir itu. 

Pertama, semua pihak terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), OIC, Liga Arab mestilah mengecam tindakan kekerasan rejim tentera yang tidak sah itu dan seterusnya memberikan tekanan diplomatik terhadap mereka yang melaksanakan coup d'état terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Presiden Muhammad Morsi. 

Kedua, pihak yang melakukan jenayah dan bertindak kejam terhadap penyokong Presiden Morsi mestilah disiasat oleh satu Suruhanjaya Bebas Antarabangsa supaya tindakan mengikut tatacara undang-undang dapat dilakukan. 

Ketiga, kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada Presiden Morsi mestilah dikembalikan, manakala penyelesaian kepada krisis di Mesir perlu mengikut lunas demokrasi tanpa campurtangan asing dan pihak tentera.  

PAS sekali lagi ingin mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa kegagalan menyelesaikan konflik di Mesir ini akan membawa akibat yang lebih buruk terhadap keamanan rantau Asia Barat kerana ianya akan melahirkan aktiviti tindakbalas yang lebih keras, di mana iklim politik, ekonomi dan keamanan dunia juga akan turut terjejas.

Sehubungan dengan itu, PAS menyeru supaya semua penyokong dan ahli PAS, dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan ini supaya menunjukkan solidariti dengan turut sama menyertai Himpunan Munajat Perdana 100k anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, bersama dengan parti-parti politik dan NGO dalam negara kita pada hari Sabtu 17 Ogos ini. 

Marilah kita terus bermunajat memohon kepada Allah SWT supaya kezaliman dihancurkan dan keamanan dikembalikan dalam konflik di Mesir ini.Presiden PAS

Thursday, August 1, 2013

Meraih 10 malam terakhir Ramadhan

Wajarlah jika Rasulullah SAW, para sahabat, dan orang-orang salih terdahulu sentiasa menjadikan Ramadan untuk meraih sebanyak-banyak keuntungan pahala dalam meningkatkan kualiti ibadah.

Apa lagi pada 10 malam terakhir Ramadan. Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: “Rasulullah SAW sangat giat beribadah di bulan Ramadan melebihi ibadahnya di bulan lain, dan pada 10 malam terakhir Baginda lebih giat lagi melebihi hari lainnya.” (Riwayat Muslim).Keajaiban-keajaiban yang terdapat pada 10 malam terakhir Ramadan telah banyak disebutkan dalam al-Quran dan as-sunnah.

Di antaranya, terjadinya Lailatulqadar yang merupakan malam diturunkan al-Quran dan dicatatnya di Luh Mahfuz seluruh perkara yang akan terjadi di muka bumi pada tahun tersebut. Baginda bersabda bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada tarikh ganjil sepuluh malam terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari).

Orang-orang yang beribadah solat pada malam Lailatulqadar maka dosanya yang telah lalu akan diampunkan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan barang siapa yang berdiri (solat sunat) pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharap reda ALLAH maka ALLAH mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.

” (Riwayat Ibnu Abi Dunya dalam Fadhail Ramadan).ALLAH tidak mentakdirkan selain keselamatan pada malam Lailatulqadar itu, di mana hal ini tidak terjadi pada malam-malam lainnya yang terdapat keselamatan dan bencana. Pada malam itu pula para malaikat menyampaikan ucapan selamat sejahtera kepada orang-orang beriman sampai terbitnya fajar.

Penjelasan tersebut disampaikan oleh an-Nasafi dalam Madarikut Tanzil wa Haqaiqut  Ta’wil dan Az-Zamakhsyari dalam Al-Kasysyaf ketika keduanya mentafsirkan ayat ke-5 dari Surah al-Qadar.

Masih banyak lagi keajaiban-keajaiban lainnya yang menegaskan keutamaan dan kelebihan bulan Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir. Semua itu untuk mengukuhkan keimanan seorang mukmin dan mendekatkan dirinya dengan ALLAH SWT.

Sehingga ALLAH sangat menyintai dan menyayangi hamba-Nya yang Dia sediakan di bulan al-mubarak itu satu malam untuk dijadikan kesempatan oleh hamba-hamba-Nya bagi bekalan hidup di dunia dan akhirat kelak.Aktiviti-aktiviti untuk mengisi Ramadan terutama pada 10 malam terakhir telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW, iaitu:

# Iktikaf - diam di masjid dengan niat khusus dan disertai ibadah. Imam Nawawi dalam kitab An-Nihayah menyatakan, iktikaf sebagai menepati sesuatu dan menempatinya. Maka orang yang menetap di masjid dengan melaksanakan ibadah di dalamnya disebut orang beriktikaf. Ibnu Umar berkata : “Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan.” (Riwayat Muttafaq ‘Alaih).

# Memperbanyak sedekah. Ibnu Abbas berkata : “Rasulullah SAW adalah orang yang sangat dermawan kepada siapapun, dan pada bulan Ramadan Baginda lebih dermawan lagi saat Jibril menemui Baginda.” (Riwayat Muttafaq ‘Alaih).

# Banyak baca al-Quran- kerana pahala membacanya akan dilipatgandakan melebihi pahala bulan selain Ramadan. Ramadan juga diturunkan al-Quran buat pertama kali kepada Nabi SAW. Oleh kerana itu para ulama terdahulu lebih banyak mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan. Imam Syafi’i biasa mengkhatamkannya sebanyak 60 kali.# Melakukan ibadah umrah Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Umrahlah kamu pada bulan Ramadan setara dengan melaksanakan ibadah haji.” (Riwayat an-Nasa’i).# Memperbanyak doa. Daripada Saidatina Aisyah ia berkata kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, bagaimana jika suatu malam aku mengetahui bahawa itu malam Lailatulqadar, apa harus aku baca?

Baginda bersabda, bacalah yang bermaksud: “Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau menyukai permintaan maaf maka ampunilah aku.

” (Riwayat Tirmizi).# Memperbanyak solat sunat. Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang bangun (untuk solat) pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Muttafaq ‘Alaih).-

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts