Perkara pertama yang akan dilakukan Pakatan Rakyat jika memerintah negara adalah meletakkan beberapa konstitusi penting negara di bawah parlimen.
Ianya termasuk badan kehakiman seperti Ketua Hakim negara, badan penguatkuasa seperti seperti Ketua Polis negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara tersebut dimaklumkan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pada majlis berbuka puasa Naib-naib Presiden PAS bersama media alternatif di sebuah hotel di ibu negara semalam.
Menurutnya, tindakan itu mahu dilaksanakan kerana tidak mahu Pakatan Rakyat melakukan kesilapan sama seperti yang dibuat Umno Barisan Nasional pada waktu ini.
"Kita akan buat satu pindaan perlembagaan meletakkan mereka ini di bawah parlimen.
"Kami bimbang jika dengan sistem yang ada ini, kami juga akan melakukan perkara sama seperti yang dilakukan BN.
Perkara tersebut juga ujarnya, antara keputusan yang telah dipersetujui bersama PAS, PKR dan DAP dalam konvenyen Pakatan Rakyat baru baru ini.
Selain itu Pakatan Rakyat juga berjanji akan melakukan pemulihan terhadap demokrasi negara mengikut apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan Malaysia.
Ianya termasuk kebebasan media, kebebasan berhimpun, hak bersuara dan sebagainya.
"Adakah anda mahu, kalau kami di Putrajaya nanti, dengan sistem yang ada sekarang ini tidak diubah, kami juga akan mencengkam media seperti yang Umno BN buat pada hari ini? " soalnya kepada lebih 50 warga media yang diraikan.
Turut serta pada majlis itu, Datuk Mahfuz Omar manakala seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dapat hadir kerana menghadiri majlis berbuka puasa di Istana Pahang.
Mahfuz dalam ucapannya pula melahirkan penghargaan kepada warga media yang banyak membantu PAS dalam usaha memperjelaskan isu semasa kepada rakyat.