Wednesday, October 30, 2013

GST bagai pukat tunda

Bajet 2014 yang dibentangkan baru-baru ini tidak memperlihatkan satu komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah defisit yang dialami negara.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud,  berkata masalah defisit yang dialami negara sejak 16 tahun lalu berikutan perbelanjaan melebihi pendapatan yang diamalkan kerajaan.

"Namun, kita lihat kerajaan tidak cuba untuk mengatasi masalah perbelanjaan yang berlebihan, sedangkan ia secara jelasnya sudah didedahkan melalui Laporan Audit Negara setiap tahun, tapi tidak diambil perhatian," tegas beliau.

Membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014, di Dewan Rakyat, hari ini Dr Mariah berkata pendedahan laporan audit berkenaan tu jelas menunjukkan berlakunya ketirisan dan pembaziran yang menyebabkan perbelanjaan berlebihan.

Malangnya, tegas Dr Mariah, dalam usaha kerajaan untuk 'menutup lubang' tersebut, kerajaan mengalihkan beban itu ke atas rakyat, khususnya kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan GST sebagai 'pukat tunda', di mana semua rakyat terkena dengan cukai tersebut bermula 2015 nanti.

Dr Mariah berkata hutang isi rumah yang kini menjangkau sehingga 700 bilion sudah tentu akan memberi kesan ke atas pembayaran pinjaman yang akan meningkat dengan adanya GST.

Sebelum itu, Dr Mariah turut menegur kerajaan yang bertindak membentangkan bajet pada Jumaat lalu, tanpa memikirkan waktu solat Asar.

Beliau mencadangkan  agar perkara tersebut tidak berulang pada tahun hadapan, sebaliknya meminta agar kerajaan memilih hari dan waktu yang benar-benar sesuai untu pembentangan bajet.

Makan umpan jangan joran : TGHH

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu pengundi Dun Sungai Limau menjadi pengundi bijak berdepan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun itu 4 November ini.

Menurutnya, pengundi harus menjadi "ikan yang cerdik" berdepan pelbagai "umpan pancing" yang dihidangkan kepada mereka.Kata Tuan Guru Abdul Hadi, ikan yang cerdik adalah ikan yang hanya makan umpan dan bukan memakan jorannya sekali.

"Jangan gadai prinsip kita hanya kerana wang RM50 atau RM100.”"Kena jadi ikan yang cerdik, jangan jadi ikan bodoh seperti ikan Belukang, ada misai nampak gah, tapi semua dia telan termasuk najis pun dia makan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Sedaka di sini malam tadi.Mengulas soal calon, beliau berkata PAS menawarkan calon terbaik, Ustaz Mohd Azam Abd Samat untuk mewakili mereka di Dun Sungai Limau ini.

Bukan sahaja mampu meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan, Ustaz Azam juga diyakini mampu meneruskan perjuangan Islam PAS dengan baik.

"Kita undi Ustaz Azam. Apa yang dia buat baik kita sokong, apa yang tak betul kita akan lawan.”

"Kalau Umno apa yang bos dia kata, betul ke tak betul ke semua kena sokong. Itu beza PAS dengan Umno," katanya.

Monday, October 21, 2013

PR cadang RM30 billion untuk caruman wanita Nasional

Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 memperuntukan sejumlah RM1,200 setahun bagi setiap ibu bekerja untuk membiayai caj perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu mengumumkan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 di Bangunan Parlimen hari ini.

"PR amat menghargai sumbangan wanita untuk pembangunan negara. Kaum wanita akan diberikan insentif berikut untuk menggalakkan mereka terus menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

Pakatan juga memperuntukkan sebanyak RM3 billion setahun kepada Skim Caruman Wanita Nasional (SCWN) iaitu suatu bentuk jaringan keselamatan sosial komprehensif bagi isteri terutamanya suri rumah-suri rumah.

Kerajaan PR akan menyumbang RM600 setahun tanpa mengira tahap sumbangan suami (suami mencarum bagi pihak isteri pada kadar minimum RM120 hingga RM1,200 setahun) dan SCWN ini boleh dikeluarkan apabila berlaku kematian pasangan, perceraian, hilang upaya kekal dan hilang kekal pendapatan," katanya.

Selain itu, sebagai mengiktiraf peglibatan wanita dalam pembuat dasar, Pakatan akan mengekalkan polisi untuk meningkatkan pimpinan wanita hingga pada tahap sekurang-kurangnya 30 peratus pada tahun 2017.

"Pimpinan wanita di Parlimen, pengurusan korporat dan kepimpinan nasional dalam sektor awam dan swasta akan menjadi tumpuan utama," katanya.

Wednesday, October 16, 2013

PAS lancar jentera operasi PRK Sg Limau esok


 PAS akan melancarkan Jentera Operasi Induk bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau malam esok.

Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sg Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelancaran tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan akan disertai beberapa pemimpinan dari PKR dan DAP.

"Selain dari pimpinan PAS, rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat juga turut hadir antaranya Pengerusi PKR Kedah Datuk Johari Abdul, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Rashid Hasnon dan Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari.

"Pelancaran penuh jentera Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil ini pula akan diadakan di Dataran Surau Al Fatah, Pulau Nyior, Bukit Besar," jelasnya.

Katanya lagi sebelum pelancaran jentera dilakukan, satu majlis solat hajat dan tahlil akan diadakan yang diketuai Tuan Guru Haji Salleh bin Musa, Mudir Madrasah Ar Rahmaniah, Sik.

"Sebelum program malam, Jawatankuasa induk akan bertemu dengan wakil seluruh Dun Sungai Limau dan Unit Peti Undi (UPU).

"Selain itu satu majlis ramah mesra dan menyuarat akan diadakah, taklimat akan diberikan oleh pimpinan PAS Pusat," sambungnya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut memberitahu ke semua jentera-jentera dari negeri-negeri yang membantu akan mula berada di Dun sungai Limau pada 19 Oktober.

Ketika ditanya mengenai nama-nama calon, beliau menjelaskan ke semua nama-nama tersebut telah siap diteliti dan akan diserahkan kepada Presiden PAS untuk diputuskan oleh PAS Pusat.

Tuesday, October 15, 2013

Pertahan tradisi Sg Limau

 Aidil Adha kali ini disambut dalam suasana parti berhadapan dengan pilihanraya kecil Sungai Limau, yang tentunya menjadi fokus bagi mempertahankan kemenangan tradisi di Dun tersebut.

“Aidil Adha menuntut pengorbanan setiap dari kita bagi menzahirkan ketaatan kepada Allah, tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, pengorbanan dengan simbolik penyembelihan binatang korban adalah menifestasi ketaatan kepada Allah dan kesediaan kita sebagai hamba bagi mematuhi perintah Allah.

Jelasnya, pengorbanan harta adalah latihan diri ke arah pengorbanan diri dan nyawa demi mendaulatkan agama Allah.

Beliau berkata, perjuangan bagi menegakkan keadilan dan kemakmuran berteraskan amar ma'ruf nahi munkar (al`amru bil-ma'ruf wannahyu'anil-mun'kar) menuntut pengorbanan besar rakyat negara ini.

“Dalam menghadapi kemelut kegawatan ekonomi, sosial, kepimpinan dan nilai sejagat, kita perlu meningkatkan gerakerja, memantapkan organisasi serta meningkatkan daya juang bagi melakukan perubahan besar ke arah sebuah negara yang baik serta mendapat pengampunan Allah (بلدة طيبة ورب غفور),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, sejarah lampau perjuangan umat berhadapan pemerintah yang zalim dan kesediaan bangkit menegur pemimpin adalah diiktiraf oleh Islam, sepertimana sabda Rasulullah s.a.w: "Seafdal-afdal jihad engkau bercakap kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.”

Jelas beliau lagi, jihad dalam erti kata kesanggupan berkorban segala kepentingan peribadi yang sementara demi mendapatkan keredhaan Allah dan kebahagiaan di akhirat.

Menurutnya, jihad dengan makna kesediaan melakukan pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit bahkan nyawa, merupakan kemuncak bagi tarbiah membetulkan penyelewengan dalam masyarakat.

Tambah beliau, tentulah pengorbanan ini jauh lebih besar berbanding penyembelihan binatang korban untuk disumbangkan kepada fakir miskin.

“Sehubungan itu, marilah kita tingkatkan pengorbanan dalam diri, keluarga, masyarakat demi mendaulatkan agama Allah.

“Perjuangan kita masih jauh, dan ia menuntut agar setiap ahli menjadi mata rantai dalam perjuangan suci ini, memelihara hubungan dengan Allah, memantapkan jamaah, memperkukuhkan ukuhwah di kalangan kita.

“Sempena Aidil Adha kali ini, marilah kita laungkan kalimah tauhid sebagai lambang penyatuan ummah ini.

“Selamat menyambut Aidil Adha. Sehingga bertemu di Sungai Limau insya Allah,” ujarnya lagi.

Saturday, October 12, 2013

Jentera PAS tekad pertahan Sg Limau

PAS tidak mengganggap mempertahankan kemenangan N20 Dun Sungai Limau yang telah dimenangai PAS sejak 1995, satu perkara mudah walau pun banyak pihak melabelkan Dun berkenaan adalah kubu kuat PAS. 

"Bagi kami ianya merupakan satu cabaran dan Umno Barisan Nasional juga akan mencuba sedaya upaya untuk menang dalam piliharaya kecil ini. Sejarah telah membuktikan kepada kita, sebelum 1995, kemenangan PAS dan Barisan Nasional silih berganti.

"Oleh itu, kami PAS khususnya dan jentera piliharaya Pakatan Rakyat amnya akan berusaha bekerja bersungguh-sungguh untuk mempastikan N20 Dun Sungai Limau tetap menjadi hak milik PAS," ujar Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar kepada pemberita dalam sidang media di Kompleks PAS, sejurus selesai mesyuarat AJK Perhubungan PAS negeri. 

Menurut beliau lagi, persiapan piliharaya kecil berkenaan telah disusun sehari selepas kematian Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dan penyusunan telah diatur dengan kemas dan terperinci. 

Beliau yang diamanahkan sebagai Pengarah Induk piliharaya kecil itu menjelaskan, jawatankuasa induk telah dibentuk dan sepakat melantik Datuk Amiruddin Hamzah sebagai Pengarah Operasi, dibantu oleh Datuk Yusuf Husin, Ustaz Ahmad Yahaya sebagai timbalan pengarah 1, Datuk Ashah Ghazali timbalan pengarah 2 dan Azizan Talib (pemangku YDP Jerai) sebagai timbalan pengarah 3.

Sementara itu Ustaz Muaz Osman diberi amanah sebagai pengarah piliharan raya kecil berkenaan. Di samping itu, jelasnya mesyuarat bersama Pakatan Rakyat telah diadakan pada minggu lepas dan satu jawatankuasa operasi penyelaras telah dibentuk.

"Ekoran itu, kita telah mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihanraya di peringkat kawasan dan UPU dan kita dapati mood petugas sangat bersemangat, bersatu hati memikul amanah untuk mempertahankan Dun Sungai Limau.

"Bukan itu sahaja, diperingkat muslimat sendiri, lebih dari 1,000 petugas jentera muslimat hadir dalam Ijtimak Pilihanraya, berikrar akan bekerja bersungguh-sungguh memandangkan pengundi wanita di dun itu menjangkau 52 peratus melebihi pengundi lelaki,” ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts