Jika disebut peristiwa hijrah, pasti ramai yang terus memikirkan penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Sebenarnya terdapat peristiwa hijrah yang berlaku sebelum itu, iaitu penghijrahan sebahagian umat Islam dari Mekah ke Habasyah, yang kini dikenali sebagai Etophia.
Hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun kelima sejak Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam diangkat menjadi Rasul. [Thabaqat Ibn Sa‘ad (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 1, ms. 161] Ia pada mulanya dipimpin oleh ‘Utsman bin Mazh‘un radhiallahu 'anh dan terdiri dari lebih kurang sepuluh orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms. 346] Beberapa bulan kemudian berlaku penghijrahan yang kedua ke Habasyah yang terdiri dari lebih kurang lapan puluh tiga orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 352]
Terdapat beberapa pengajaran penting di sebalik peristiwa hijrah ke Habasyah yang sebenarnya dapat kita manfaatkan pada zaman kini. Insya-Allah melalui risalah ini saya akan menerangkan tujuh daripada pengajaran tersebut .
Pengajaran # 1: Plan A, Plan B.
Faktor utama yang menyebabkan penghijrahan ke Habasyah ialah penindasan kaum musyrik ke atas umat Islam di Mekah. Syaikh Mahmud Syakir menerangkan:
Sebab utama yang menyebabkan kaum muslimin hijrah ke Habasyah ialah tekanan dan intimidasi luar biasa daripada pihak musyrikin Quraish. Selain itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga khuatir kaum musyrikin Quraish akan menggunakan kekuatan fizikal untuk memaksa mereka yang telah masuk Islam agar meninggalkan agama yang baru mereka peluk. Kelihatannya inilah yang menjadi sebab utama hijrahnya sahabat-sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ke negara Habasyah. Saat memberikan keterangan latar belakang hijrahnya sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, semua buku rujukan sejarah Islam menyatakan hal yang baru saja diungkap. [Mausu‘ah Ghuzwat al-Rasul (edisi terjemahan oleh Abdul Syukur Abdul Razzaq atas judul Ensiklopedi Peperangan Rasulullah; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2005), ms. 29]
Apabila menghadapi penindasan kaum musyrik Mekah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak bersikap buntu atau mengalah. Sebaliknya baginda aktif memikirkan jalan keluar untuk menyelamatkan agama umatnya. Plan A ialah tetap tinggal di Mekah. Akan tetapi memandangkan Plan A sukar dilaksanakan, baginda merangka Plan B yang merupakan penghijrahan ke Habasyah.
Di sini terdapat pengajaran yang penting kepada umat Islam. Jika kita menghadapi sesuatu halangan dalam beragama atau berdakwah, jangan bersikap buntu atau mengalah, mahu pun asyik menyalahkan pihak lain. Sebaliknya hendaklah aktif memikir jalan keluar yang membolehkan kita tetap berpegang kepada agama yang dicintai ini dan terus melaksanakan dakwah.
Pengajaran # 2: Peka Kepada Suasana Antarabangsa.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hidup pada zaman yang masih belum mengenal surat khabar, televisyen, telex, fax, satelit, internet, talifon, sistem pesanan ringkas (SMS) dan apa-apa lain alat komunikasi. Di sebalik semua ini, baginda tetap peka kepada suasana antarabangsa dan tahu kepada negara manakah, kepada pemimpin manakah, baginda hendak menghantar umat Islam bagi mendapatkan perlindungan.
Ketika melihat umat Islam ditindas oleh kaum musyrik Mekah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya di bumi Habasyah terdapat seorang raja yang tidak dizalimi seorang jua orang yang berada di bawah pemerintahannya. Ia adalah negara yang benar, hingga Allah memberi jalan keluar bagi penindasan yang kalian alami.” [Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Ishaq dan sanadnya dinilai hasan oleh Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umari dalam al-Sirah al-Nabawiyyah al-Shahihah (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms.170]
Raja yang dimaksudkan oleh baginda, namanya Ashama bin Bahr. Di Habasyah, raja digelar sebagai Najasyi sebagaimana di negara Mesir, raja di gelar sebagai Firaun. [Ibn Katsir – al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh Trevor Le Gassick atas judul The Life of the Prophet Muhammad; Garnet Publishing, United Kingdom, 1998), jld. 2, ms, 18.]
Beliau ialah satu-satunya anak bagi ayahnya yang juga merupakan Najasyi sebelum itu. Akan tetapi rakyat memberontak, membunuh ayahnya dan mengangkat pakciknya menjadi Najasyi. Ashama bin Bahr dijual di pasar sebagai hamba dengan harga enam ratus dirham. Pada petang hari Ashama dibeli oleh seorang pedagang, pakciknya mati disambar kilat. Ini menyebabkan negara Habasyah menjadi hiruk pikuk.
Maka sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain: “Belajarlah! Demi Allah, sesungguhnya raja kalian yang mampu mengurus persoalan ini ialah raja yang kalian jual pagi tadi. Jika kalian masih mempunyai perhatian terhadap urusan Habasyah, carilah dia.” Maka mereka mencari Ashama bin Bahr dan mengangkatnya sebagai Najasyi. Sejak dari itu beliau memerintah dengan adil dan keadaan di Habasyah kembali aman. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358-359]
Keadilan Najasyi Ashama bin Bahr terserlah dalam layanan beliau kepada umat Islam yang datang berhijrah ke negaranya. Umat Islam yang berhijrah menceritakan: “Kami berlabuh di Habasyah di mana kami berjiran dengan sebaik-baik jiran. Agama kami, ibadah kami kepada Allah berada dalam keadaan aman. Kami tidak ditindas dan kami tidak mendengar apa-apa (perkataan buruk) yang kami membencinya.” [Thabaqat Ibn Sa‘ad, jld. 1, ms. 159]
Tidak diketahui bagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui perihal Najasyi Ashama yang adil di Habasyah. Kemungkinan besar baginda mendengarnya dari khabar para pedagang yang pernah ke sana. Apa pun, yang penting baginda tetap peka kepada suasana antarabangsa sehingga mampu mengetahui negara manakah yang akan menjamin keamanan umatnya.
Pada masa kini, umat Islam tidak begitu peka kepada suasana antarabangsa, termasuklah suasana dunia Islam. Pengetahuan tentang ini adalah penting supaya seandainya ada umat Islam yang ditindas, kita dapat menghulurkan bantuan dan mendoakan mereka. Suasana umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya memerlukan perhatian kita. Mereka semua ialah saudara seagama dengan kita. Mereka bukanlah “rakyat negara lain” tetapi umat Islam yang hanya dipisahkan oleh garisan sempadan di atas peta.
Pengajaran # 3: Dibolehkan Meminta Perlindungan Kaum Bukan Islam Jika Dalam Suasana Terpaksa.
Satu ciri penting tentang Najasyi Ashama bin Bahr yang belum saya ceritakan ialah agamanya. Beliau dan rakyatnya beragama Kristian. Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umat Islam untuk berhijrah ke Habasyah, Najasyi Ashama bin Bahr beragama Kristian.
Umat Islam pada dasarnya tidak dibolehkan meminta perlindungan daripada umat agama lain. Umat Islam hendaklah saling membela dan melindung, kecuali dalam suasana terpaksa di mana mereka perlu meminta perlindungan kaum bukan Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, maksudnya:
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi pelindung dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. [‘Ali Imran 3:28]
Dr. Mahdi Rizqullah Ahmad menjelaskan:
Kaum muslimin diperbolehkan mencari perlindungan kepada orang-orang bukan Islam apabila memang sangat diperlukan. Dalam hal ini tidak ada kategori orang bukan Islam khusus yang boleh kita minta perlindungan. Ertinya, kita boleh mencari perlindungan kepada siapa saja, baik seorang penguasa beragama Kristian seperti Najasyi atau kepada orang-orang musyrik seperti (tindakan) beberapa kaum musyrikin Mekah yang memberi perlindungan kepada beberapa orang Islam. Seperti Abu Thalib yang melindungi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan Muth‘im ibn ‘Adi yang melindungi Rasulullah ketika kembali dari Thaif. [al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dhau‘i al-Mashadir al-Ashliyyah: Dirasat Tahliliyyah (edisi terjemahan oleh Yessi Basyaruddin atas judul Biografi Rasulullah; Qisthi Press, Jakarta, 2006), ms. 252]
Umat Islam yang berhijrah ke Habasyah bukan sahaja meminta perlindungan dari seorang raja Kristian, mereka juga mendoakan kemenangan beliau. Ketika mereka di sana, sebahagian rakyat Habasyah ada yang bangkit memberontak ke atas pemerintahan Najasyi Ashama bin Bahr. Najasyi Ashama sendiri turun bersama pasukannya untuk melawan pemberontakan di tebing sungai Nil. Umm Salamah radhiallahu 'anha menerangkan: “Kami (umat Islam di Habasyah) berdoa kepada Allah Ta‘ala agar memenangkan Najasyi atas musuhnya dan memberikan keamanan kepada negaranya.” Setelah itu ternyata kemenangan berpihak kepada Najasyi. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358]
Mengulas fenomena ini, Syaikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi berkata:
Saat Najasyi diserang musuhnya, maka umat Islam yang berhijrah ke Habasyah membantunya (dengan doa dan sokongan) sebagai pengakuan atas kebaikan sikapnya kepada orang-orang tertindas yang berhijrah ke (negara)nya dan sebagai balasan atas kebaikannya. Hal ini (doa dan sokongan) sesuai dengan ajaran-ajaran moral dalam Islam dan sesuai dengan akhlak umat Islam. [al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh M. Halabi Hamdi atas judul Sejarah Lengkap Nabi Muhammad; Mardhiyah Press, Yogyakarta, 2005), ms. 143]
Oleh itu jika terdapat individu atau masyarakat bukan Islam yang dikenali dengan kebaikan dan keadilan dizalimi oleh pihak lain, dibolehkan bagi umat Islam mendoa dan mengharapkan keamanan bagi mereka. Jika seorang amoi diserang pencuri, kita patut menolongnya. Jika sebuah negara bukan Islam diserang oleh negara lain, kita patut membantah serangan tersebut. Tindakan seperti ini bukan bererti kita menyokong agama mereka, tetapi semata-mata kerana akhlak Islam yang mengajar umatnya untuk sentiasa menyokong keadilan.
Pengajaran # 4: Tetap Berdakwah Sekali Pun Dalam Suasana Terhimpit.
Ketika menganalisa peristiwa hijrah ke Habasyah, Dr. Muhammad Husein Haykal bertanya:
Amatlah berpatutan jika para pengkaji sirah Muhammad (shallallahu 'alaihi wasallam) bertanya tentang tujuan penghijrahan yang dilakukan oleh umat Islam di bawah suruhan Muhammad, adakah ia semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada penindasan kaum musyrik Mekah atau adakah ia suatu strategi politik di mana Muhammad memiliki tujuan yang lebih besar di sebaliknya? [Hayat Muhammad (edisi terjemahan oleh Ismail Raji al-Faruqi atas judul The Life of Muhammad; Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 1993), ms. 97]
Tidak dinafikan bahawa tujuan utama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umat Islam berhijrah ke Habasyah ialah untuk memelihara agama mereka daripada penindasan kaum musyrik Mekah. Walaubagaimana pun keluasan wawasan kepimpinan baginda menyebabkan kita bertanya, mungkinkah ada sesuatu lain yang ingin dicapai oleh baginda?
Sudah tentu ada. Salah satu daripadanya ialah baginda ingin mengembangkan dakwah Islam kepada Habasyah dan kepada Najasyinya, Ashama bin Bahr. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yakin sikap adil Najasyi Ashama akan menyebabkan beliau menimbang dengan adil tentang Islam. Kejayaan dakwah Islam di benua Afrika akan membolehkan Islam memiliki pusat yang baru selain Semenanjung Arab.
Hakikat ini diketahui oleh para pembesar musyrik Mekah. Oleh kerana itulah, setelah mendapat tahu tentang penghijrahan umat Islam ke Habasyah, mereka mengutus ‘Abdullah bin Abu Rabi‘ah dan ‘Amr bin al-Ash bin Wail ke Habasyah untuk segera membawa balik kumpulan umat Islam yang berlindung di sana. Rombongan disertai dengan pelbagai hadiah menarik untuk merasuah Najasyi dan para menterinya.
Ketika sampai ke Habasyah, kedua-dua utusan terlebih dahulu berjumpa dengan para menteri Najasyi Ashama. Mereka berdua memberi hadiah kepada para menteri tersebut sebagai rasuah agar turut memujuk Najasyi Ashama untuk mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri bersetuju. Setelah itu kedua-dua utusan menghadap Najasyi Ashama. Mereka mendahului dengan memberi hadiah, kemudian meminta agar Najasyi Ashama mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri Najasyi Ashama menyatakan kesetujuan mereka dalam permintaan tersebut.
Walaubagaimana pun Najasyi Ashama tidak mudah terpedaya dengan hadiah dan permintaan kedua-dua utusan tersebut. Sebaliknya beliau memanggil umat Islam yang berlindung di negaranya untuk datang menghadap dan membela diri sendiri. Umat Islam memilih Ja’far bin Abu Thalib radhiallahu 'anh untuk menjadi jurucakap mereka. Ja’far dengan bijak menerangkan hakikat agama Islam dan menerangkan sikap kaum musyrik Mekah terhadap orang-orang yang memilih untuk memeluk Islam.
Setelah itu Ja’far membaca beberapa ayat awal dari surah Maryam. Najasyi Ashama dan paderi-paderinya yang turut hadir ketika itu segera mengakui kebenaran Islam lalu menangis sehingga membasahi janggut mereka. Akhirnya Najasyi menolak kedua-dua utusan tersebut dan mengembalikan hadiah-hadiah mereka. Beliau terus menyatakan jaminannya untuk melindungi umat Islam yang berada di negaranya. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 353-358]
Perhatikan keberanian umat Islam, khasnya Ja’far bin Abi Thalib radhiallahu 'anhum dalam peristiwa di atas. Sekali pun mereka dalam keadaan terhimpit dan dalam keadaan simpati di bawah perlindungan orang bukan Islam, mereka tetap berani menerangkan tentang Islam. Usaha dakwah Ja’far bin Abi Thalib dan umat Islam membuahkan kejayaan. Najasyi Ashama bin Bahr akhirnya memeluk Islam. Bahkan beliau juga menjadi pendakwah Islam dan ini tidak lain tidak bukan kepada ‘Amr bin al-Ash sendiri, salah seorang daripada dua utusan musyrik Mekah yang datang menghadapnya sebelum itu.
Ia berlaku kira-kira sepuluh tahun kemudian, selepas Perang Khandaq. Dalam peperangan yang berlaku pada tahun lima hijrah tersebut, kaum musyrik kalah di tangan umat Islam. Setelah peperangan, ‘Amr bin al-Ash yang masih musyrik saat itu pergi berjumpa dengan Najasyi Ashama bin Bahr di Habasyah. Dia, bagi pihak kaumnya, merancang untuk meminta perlindungan beliau seandainya umat Islam mengalahkan mereka di Mekah.
Tatkala sampai di istana, dia berselisih dengan seorang utusan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang bernama ‘Amr bin Umayyah al-Damriy radhiallahu 'anh. ‘Amr bin al-Ash meminta kepada Najasyi Ashama untuk mengizinkannya membunuh ‘Amr bin Umayyah. Najasyi Ashama segera memarahinya, lantas menerangkan tentang Islam dan kebenaran Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagai seorang Rasul Allah. Mendengar dakwah itu, ‘Amr bin al-Ash akhirnya memeluk Islam di tangan Najasyi Ashama. Beliau kemudiannya pergi ke Madinah untuk berjumpa dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan menyatakan keislaman beliau di hadapan baginda. [Syaikh Muhammad Yusuf al-Khandhlawi – Hayat al-Shahabah (Dar Ibn Katsir, Damsyik, 2000), jld. 1, ms. 290-291]
Pengajaran # 5: Solat Jenazah Ghaib.
Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia pada tahun sembilan hijrah. [Ibn Hajar al-‘Asqalani – Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 7, ms. 588] Apabila hal ini dikhabarkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda, maksudnya: “Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 3877 (Kitab Manaqib al-Anshar, Bab kematian Najasyi)]
Sekali pun Rasulullah dan para sahabatnya berada di Madinah pada saat itu, mereka melaksanakan solat jenazah kepada Najasyi Ashama bin Bahr yang mayatnya berada di Habasyah. Solat jenazah dilakukan seperti biasa, hanya tidak ada jenazah yang diletakkan di hadapan imam. Ini dikenali sebagai solat jenazah ghaib.
Terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan tentang hukum solat jenazah ghaib. Para ahli fiqh Mazhab al-Syafi’e dan Hanbali membolehkannya manakala para ahli fiqh Mazhab Maliki dan Hanafi tidak membolehkannya. Mereka berpendapat ia hanya satu-satunya kes khusus yang berlaku kepada Najasyi Ashama bin Bahr.
Pendapat yang dipilih ialah di pertengahan antara dua di atas. Jika seorang muslim meninggal dunia di lokasi yang terdapat orang yang melaksanakan solat jenazah ke atasnya, maka umat Islam di tempat lain tidak perlu melaksanakan solat jenazah ghaib. Umat Islam di tempat lain cukup mendoakan keampunan dan rahmat Allah kepada yang telah meninggal dunia. Sebaliknya jika di lokasi tersebut tidak ada orang Islam yang melaksanakan solat jenazah, maka umat Islam di tempat lain boleh melaksanakan solat jenazah ghaib ke atas orang yang meninggal dunia itu. Demikian pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin. [Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim – Shahih Fiqh al-Sunnah (al-Maktabah al-Taufiqiyyah), jld. 1, ms. 648-649]
Pengajaran # 6: Tidak Perlu Merebut Mayat Jika Suasana Tidak Mengizinkan.
Perhatikan bahawa apabila Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia di Habasyah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak mengutus sesiapa untuk pergi mengambil mayatnya untuk dikebumikan di Madinah. Padahal pada tahun sembilan hijrah, umat Islam sudah memiliki kestabilan dan kekuatan yang cukup untuk pergi ke Habasyah dan merebut mayat Najasyi Ashama.
Sebaliknya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membiarkan jenazah Najasyi Ashama dikebumikan mengikut aturcara Kristian dan disemadikan di kawasan perkuburan orang Kristian. Baginda mengetahui bahawa di sebalik itu semua, di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala, Najasyi Ashama tetap seorang muslim, akan melalui Alam Barzakh sebagai seorang muslim dan akan bangkit di Hari Akhirat kelak sebagai seorang muslim.
Mengurusi jenazah seorang muslim mengikut aturcara Islam adalah satu kewajipan, akan tetapi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui jika direbut mayat Najasyi Ashama dari Habasyah, ia akan menimbulkan mudarat yang besar berbanding manfaat. Ini kerana majoriti rakyat Habasyah ketika itu beragama Kristian dan baginda masih mengharapkan usaha dakwah Islam berjaya di sana. Harapan ini akan musnah jika masyarakat Habasyah memiliki pandangan buruk terhadap Islam yang telah “merebut mayat Najasyi mereka”.
Pada masa kini, fenomena merebut mayat berlaku di Malaysia. Ia adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan secara serius oleh umat Islam, khasnya pihak-pihak berwajib. Amat menghairankan apabila orang yang memeluk Islam dibiarkan begitu saja, akan tetapi apabila dia meninggal dunia kita sibuk hendak merebut jenazahnya. Saya memiliki risalah yang khas berkenaan hal ini berjudul Cadangan Terhadap Prosedur Merebut Mayat Bagi Orang Yang Diperselisihkan Keislamannya yang dimuatkan dalam Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
Pengajaran # 7: Hukum Pemimpin Yang Tidak Mampu Melaksanakan Syari‘at Islam.
Tidak diketahui secara pasti bilakah Najasyi Ashama bin Bahr memeluk Islam. Jelasnya beliau memeluk Islam sebelum tahun lima hijrah sebagaimana peristiwa keislaman ‘Amr bin al-Ash di atas. Seandainya beliau memeluk Islam selewat-lewatnya pada tahun lima hijrah lalu meninggal dunia pada tahun sembilan hijrah, bererti beliau beragama Islam minimum selama empat tahun.
Walaubagaimana pun dalam tempoh empat tahun tersebut, beliau tidak melaksana satu jua syari‘at Islam dalam pemerintahannya. Padahal dalam tempoh tersebut, banyak hukum-hukum Islam, baik ibadah, ekonomi, keluarga, politik dan sebagainya telah disyari‘atkan. Ini berlaku kerana rakyatnya yang majoriti beragama Kristian menentang Islam dan akan menentang beliau jika mereka mengetahui beliau ingin melaksanakan syari‘at Islam di atas bumi Habasyah.
Bukti bagi penentangan ini ialah peristiwa rakyatnya yang pernah memberontak kerana menganggap Najasyi Ashama telah memeluk Islam. Berhadapan dengan situasi ini, Najasyi Ashama menulis di atas sehelai kertas bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad ialah hamba Allah dan Rasul-Nya. Dia juga bersaksi bahawa ‘Isa bin Maryam ialah hamba Allah, Rasul-Nya, Ruh-Nya dan Kalimat-Nya yang ditiup kepada Maryam. Kertas itu kemudian dilipat dan simpan di dalam kocek bajunya di bahagian kanan dadanya.
Najasyi Ashama seterusnya keluar menemui rakyatnya sambil bertanya: “Wahai orang-orang Habasyah! Bukankah aku orang yang paling berhak ke atas kalian?”
Mereka menjawab: “Benar!”
“Bagaimana kalian melihat sejarah hidupku di kalangan kalian?”
“Sejarah yang baik.”
“Jika begitu mengapa?”
“Engkau telah keluar dari agama kami dan menyakini ‘Isa ialah hamba (Allah).”
“Apa yang kalian katakan tentang ‘Isa?”
“ ‘Isa ialah anak Allah.”
Najasyi Ashama kemudian meletakkan tangannya di dada kanannya seraya berkata, yakni dengan bersaksi ‘Isa ialah anak Maryam dan tidak lebih dari itu, seperti apa yang dia tulis pada surat yang berada dalam kocek bajunya, yang kini berada di bawah tangannya. Mendengar dan melihat sedemikian, orang-orang Habasyah bersurai. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 360]
Penentangan yang dihadapi oleh Najasyi Ashama daripada rakyatnya, seandainya mereka mengetahui beliau telah memeluk Islam, adalah hebat. Apatah lagi jika mereka perhatikan dia cuba untuk melaksanakan syari‘at Islam dalam pemerintahannya. Sudah tentu akan ada penentangan yang lebih hebat. Justeru Najasyi Ashama tidak melaksanakan satu jua daripada syari‘at Islam dalam pemerintahannya.
Hakikat ini tidak menyebabkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghukum beliau sebagai kafir. Bahkan apabila beliau meninggal dunia, Rasulullah tetap melaksanakan solat jenazah secara ghaib sambil berkata: “Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.”
Peristiwa ini memiliki pengajaran yang bernilai di sebaliknya, iaitu jika seseorang itu tidak melaksanakan sesuatu syari‘at Islam kerana ketidakmampuannya, maka dia tidak dihukum kafir. Selagi mana dia jujur benar-benar tidak mampu, Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan menghukuminya. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menerangkan pelajaran ini dari peristiwa Najasyi Ashama:
Meski pun Najasyi seorang raja Nasrani, kaumnya tidak mahu tunduk kepadanya untuk masuk Islam. Yang ikut sertanya untuk masuk Islam hanya segelintir orang. Oleh kerana itu ketika beliau meninggal dunia, tidak seorang jua yang mensolatkan (jenazah)nya. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mensolatkannya di Madinah dan orang-orang Islam turut keluar bersama membentuk saf-saf untuk mensolatkannya (di Madinah). Apabila mereka mengkhabarkan tentang kematian beliau pada hari kematiannya, baginda bersabda: “Sesungguhnya saudara kamu yang shalih daripada Habasyah (Etophia) telah meninggal dunia”.
Padahal banyak daripada syari‘at Islam, atau kebanyakan daripadanya, tidak satu jua yang dilaksanakan olehnya. Beliau tidak berhijrah, berjihad, melaksanakan Haji ke Baitullah, bahkan diriwayatkan beliau juga tidak mendirikan solat lima kali sehari, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan tidak mengeluarkan zakat yang disyari‘atkan. Semua ini kerana (amalan-amalan tersebut) akan menzahirkan (status Islamnya) kepada kaumnya dan mereka akan mengingkarinya. Dan beliau tidak mungkin untuk berselisih dengan mereka. Kita mengetahui secara pasti bahawa tidak mungkin baginya untuk menerapkan hukum al-Qur’an di kalangan mereka (rakyatnya)……
…… (Selain itu) banyak juga orang yang menjadi qadhi dan imam (pada zaman pemerintahan) Islam dan (pada zaman penjajahan) Tartar, yang adil dan ingin memutuskan sesuatu perkara secara adil (yakni berdasarkan syari‘at Islam), akan tetapi itu tidak mungkin bagi mereka. Bahkan ada orang yang menghalangi mereka dan sesungguhnya Allah tidak membebankan satu jiwa melainkan menurut kemampuannya. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz juga dimusuhi dan dihukum kerana sebahagian perkara yang dia tegakkan secara adil. Bahkan ada yang mengatakan, dia diracun kerana pengadilan tersebut.
Najasyi dan orang-orang lain yang semisal keadaannya dengan beliau adalah orang-orang yang berbahagia di dalam syurga, meski pun mereka tidak melaksanakan syari‘at Islam (pada zaman kepimpinan mereka). Ini kerana memang mereka tidak mampu melaksanakannya. Mereka sekadar memutuskan sesuatu perkara mengikut apa yang mereka mampu laksanakan. [Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah, 2001) jld. 19, ms. 218-219]
Demikian tujuh pengajaran yang ingin saya kongsi bersama para pembaca sekalian berkenaan hijrah sebelum hijrah, iaitu penghijrahan ke Habasyah yang berlaku lapan tahun sebelum penghijrahan ke Madinah. Seandainya kita mengkaji peristiwa hijrah ke Habasyah dengan lebih mendalam, nescaya ditemui pengajaran-pengajaran bermanfaat yang lain. Namun memadailah dengan tujuh pengajaran buat masa ini.