Thursday, February 16, 2012

Calun bukan Islam PAS

Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat kini sedang menunggu senarai calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) negeri-negeri untuk pencalonan ahli-ahli dewan itu, bagi mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi. 


Pengerusinya, Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan, sehingga kini pihaknya masih lagi menunggu senarai tersebut dari DHPP negeri-negeri yang masih lagi belum diserahkan kepadanya.  

Menurutnya, sepatutnya senarai tersebut telah diserahkan oleh dewan-dewan penyokong PAS di seluruh negara sehingga akhir bulan lalu.

Katanya, namun sehingga akhir bulan lalu, dewan-dewan berkenaan masih juga belum berbuat demikian sehingga menyebabkan pihaknya masih lagi menunggu sehingga sekarang. 

"Mengikut prosedur, senarai pencalonan itu hendaklah diserahkan oleh dewan-dewan penyokong PAS kepada Jabatan Pilihanraya PAS Pusat (JPP) yang dipengerusikan oleh Dr Mohd Hatta Ramli yang kemudiannya akan dimaklumkan kepada saya. 

"Tetapi sehingga sekarang, saya masih belum dimaklumkan lagi tentang senarai itu. Ini menunjukkan senarai itu masih belum diserahkan lagi oleh dewan-dewan penyokong PAS kepada JPP," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, satu kerusi dari DPP kini telah ditetapkan oleh PAS khususnya di Dun Tiram yang terletak dalam Parlimen Johor Bahru, Johor yang akan diwakili oleh Kumutha Rahman. 

"Dalam PRU Ke-12 pada tahun 2008 lalu, Kumutha yang mewakili Kelab Penyokong PAS bagi kaum India telah bertanding atas tiket PKR, tetapi pada PRU Ke-13 nanti, beliau akan bertanding atas tiket PAS," jelasnya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berharap agar dewan-dewan penyokong PAS di seluruh negara segera menyerahkan senarai pencalonan masing-masing kepada JPP bagi memudahkan urusan selanjutnya. 

"Sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan PAS Pusat, saya sememangnya bertanggungjawab atas DHPP. Jadi saya berharap agar ahli-ahli DHPP akan diberikan peluang oleh PAS untuk menjadi calon yang akan bertanding mewakili PAS dalam PRU Ke-13 akan datang," katanya. 

Sungguhpun begitu, tambah beliau, ia tidaklah pula semestinya semua negeri mesti mempunyai calon dari DPP untuk bertanding dalam pilihanraya umum.  

Katanya, perkara paling asas berhubung pencalonan DPP, kebenaran untuk ahli-ahli DPP bertanding atas tiket PAS telah diputuskan oleh Majlis Syura, manakala penubuhan dewan itu pula telah dilancarkan secara rasmi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada tahun 2010 lalu di Klang, Selangor.

Sekiranya terdapat senarai calon dari DPP negeri-negeri, jelasnya, PAS akan meneliti kawasan-kawasan yang sesuai untuk ditandingi oleh ahli DPP terbabit yang kemudiannya akan dibawa oleh pihak PAS kepada perbincangan dengan Majlis Pakatan Rakyat agar tidak berlaku pertindihan kerusi yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat.

"Itu dari segi konsepnya dalam Pakatan Rakyat, manakala dari segi persetujuan politik dengan PAS pula, kebenaran yang diberikan oleh PAS kepada DPP itu setelah disepakati oleh pemimpin-pemimpin PAS dan pemimpin-pemimpin DPP sendiri," katanya.

1 comment:

  1. Ini pun satu hal. Baru saja mengenal perjuangan PAS dah nak lantik jadi calun. Biarlah mereka faham sungguh-sungguh! Pasal nak menang kerusi, ambil tak kisah je. Macam Berahim Ali...senang-senang aje...dikencingnya je. kalau tak kena gayanya Zaid pun akan diterima masuk. Bang Mat kata OK je. Inilah menjadi orang macam saya dibawah ni rasa lemah semanagat...marah pun ada.

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts