Selepas berdepan dengan pelbagai isu dalaman dan serangan besar-besaran dari Barisan Nasional (BN), 90 pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat akan berhimpun dalam satu bengkel esok
Bengkel Memperkukuhkan Pakatan Rakyat ini akan diadakan di sebuah hotel dekat sini dan dijangka akan membincangkan secara mendalam cabaran yang dihadapi oleh pakatan tiga parti itu.
Menurut satu kenyataan media Pakatan, satu sidang media akan diadakan sempena seminar itu di Tropicana Golf Club, Petaling Jaya.
Dalam bengkel ini, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat dijangka akan menyampaikan ucaputama masing-masing.
Antara topik yang akan dibincangkan dalam bengkel adalah dasar-dasar utama Pakatan Rakyat, kejayaan dan penambahbaikan dalam Pakatan Rakyat.
Sejak kebelakangan ini, Umno dan Barisan Nasional memperhebatkan serangannya ke atas Pakatan. Antaranya dengan menggunakan jentera kerajaan khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia hanya terhenti sekejap apabila matinya pegawai khas Exco Selangor, Teoh Beng Hock di pejabat SPRM Selangor.
Namun selepas itu, serangan kembali menjadi-jadi. Kemuncaknya adalah kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang BN ingin mengambil Selangor kembali.
Antara puncanya, kekuatan kewangan yang ada kepada Selangor ketika negara sedang menghadapi kegawatan ekonomi yang dikira teruk. Hingga kini, laporan suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih belum dikeluarkan walaupun Ogos sudah berada di pertengahan.
Menuju ke arah itu, pelbagai pendekatan diambil. Antaranya melaga-lagakan pimpinan PAS Selangor dengan pimpinan DAP dan PKR.
Yang terbaru isu penjualan arak dan isu penghinaan terhadap Islam yang semacam direka-reka terhadap pemimpin DAP.
Ketua Pemuda DAP, Loke Siew Fook, antara mangsa fitnah ini. "Saya tidak pernah menghasilkan sebarang tulisan yang menghina kerabat diraja, kaum Melayu ataupun Islam sepanjang hidup saya."Saya dengan tegas menafikan tuduhan bahawa saya ada menulis artikel untuk menghina Sultan Perak, Raja Nazrin.
"Saya tiada sebarang pengetahuan tentang apa jua kandungan dalam blog http://sjsandteam.worldpress.com. Satu-satunya blog saya ialah lokesiewfook.blogspot.com," kata beliau.
Ekoran itu, dia telah membuat laporan polis untuk menafikan penglibatan beliau dalam penerbitan artikel hasutan sedemikian.
Dalam masa yang sama, Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Tantawi juga menjadi mangsa fitnah apabila satu surat atas nama beliau diedarkan kepada para peniaga di sekitar kawasan perhimpunan Mansuh ISA 1 Ogos lepas.
Surat itu menyebut PAS dan GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) sedia menanggung segala kerugian akibat perhimpunan Mansuh ISA itu.Yang peliknya, surat yang bertarikh 4 Ogos itu ditandatangani oleh Nasruddin dalam keadaan beliau masih lagi Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat.
Surat yang dipercayai palsu ini telah disiarkan di muka depan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris yang editornya adalah penyokong tegar Tun Dr Mahathir, bekas perdana menteri.
Dalam pada menangani serangan dari BN, Pakatan juga dipercayai akan menangani perbezaan pendapat sesama sendiri dalam bengkel ini. Antaranya masalah pemimpin PAS dan DAP ekoran isu arak di Selangor, kenyataan Jeff Ooi terhadap JIM di Pulau Pinang dan juga kaedah menangani masyarakat pelbagai kaum di negara ini.