Thursday, February 25, 2010

SIAPA BELA PENJAJA TEMPATAN?

Assalamualailim wbt
Salam Sejahtera

Semenjak sebelum menjadi YB lagi, satu perkara yang paling tidak menyenangkan hati saya ialah apabila melihat penjaja di merata tempat. 

Bukan sahaja masalah kebersihan yang menjolok mata tetapi juga dalam benak hati saya tidak kah kerajaan merancang untuk memastikan institusi penjaja ini dilestarikan serta dapat dinaikkan taraf menjadi satu kerjaya yang boleh dibanggakan. Label penjaja haram telah meletakkan mereka ini seperti pesalah yang sentiasa diburu oleh penguatkuasa. 

Saya sangat bersimpati setiap kali melihat peralatan dan barang-barang perniagaan mereka dirampas oleh penguatkuasa. Dalam hati saya berkata-kata, apakah mereka mempunyai pilihan lain? Tetapi ada juga penjaja yang saya lihat bermaharajalela. Apabila tiada tindakan diambil, maka akan bertambahlah kerusi dan meja dan tapak perniagaan mereka. Maka tertanya pula saya kenapa pula tindakan tidak diambil keatas mereka? 

Kemudian penjaja warga asing pula timbul bagaikan cendawan selepas hujan. Malah sesetengah tempat dikuasai oleh penjaja warga asing. Saya sudah malas nak ke Chow Kit, macam pergi ke Indonesia aje!

Maka tidak hairanlah setelah menjadi wakil rakyat, diantara perkara yang saya timbulkan semasa perjumpaan dengan PBT (pihak berkuasa tempatan), perkara ini saya timbulkan dan memberi cadangan supaya isu penjaja diselesaikan . Rakyat pula meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan isu penjaja warga asing yang sudah menguasai kawasan penjaja.

Para penjaja (makanan dan minuman) dalah antara mereka yang mengadu nasib kepada saya. Tetapi seperti biasa apabila dikemukakan kepada pihak berkuasa, alasan mereka ialah penjaja menjaja ditempat yang tidak boleh dibenarkan maka lesen tidak boleh diberi. Pihak penjaja pula ada alasan mereka yang tempat yang diberikan tidak strategik dan mereka tidak boleh cari makan. 

Bila mereka dipindahkan ke tempat lain, penjaja baru mengambil alih tempat asal mereka. Malah mereka mengatakan terdapat pilih kasih (atas apa sebab pun) atau "double standard" yang penguatkuasaan tidak adil. Tuduh menuduh ini boleh berpanjangan sampai bila-bila pun tidak akan selesai. PBT pula dengan peraturan kecil mereka, kuasa serta budi bicara mereka.

Ahli-ahli majlis (PBT parlimen sayalah) pula belum nampak lagi kepimpinan mereka untuk mengubah dan menentukan dasar yang lebih adil kepada penjaja. Mungkin mereka lupa yang mereka membuat polisi dan juga menggubal undang-undang. Mungkin mereka lupa yang peraturan boleh digubal dan dipinda. 

Saya tidak salahkan mereka semata-mata kerana sistem yang ada amat merumitkan sebarang reformasi untuk menjadikan polisi PR lebih pro rakyat. Sebenarnya yang berkuasa di PBT ialah ketua-ketua jabatan dan YDP. (Mungkin saya sudah mula merasa kecewa dengan ketidakupayaan saya membantu rakyat. 

Kadang-kadang terasa yang diri ini seperti peminta sedekah. YB yang tiada duit dan tiada kuasa!). Ahli Majlis mempunyai lebih kuasa dari Ahli parlimen. Agaknya inilah diantara sebabnya kenapa UMNO/BN melantik ADUN/AP menjadi Ahli Majlis (selain daripada untuk menguasai pengagihan projek lah). 

Saya akan menulis nanti mengenai keperluan Ahli Majlis dipilih rakyat secara langsung. Ini bukan ruangnya.

Berbalik kepada isu penjaja tidak berlesen. Ini bukan perkara baru. Kita kena akui ini sudah menjadi cara hidup kita. Dinegara-negara maju tiada penjaja di tepi jalan. Premis-premis perniagaan kecil atau besar semuanya terkawal dan mengikut piawai tertentu. Jadi selagi ada penjaja tanpa lesen, kita belum sampai tahap negara maju. 

Selagi ada penjaja tanpa lesen kita belum mencapai tahap rakyat berpendapatan tinggi dan sederhana. Ia menunjukkan yang piramid pendapatan sangat lebar di bawah sekali iaitu sebahagian besar rakyat masih miskin. Tidak dinafikan yang sebahagian kecil penjaja adalah kaya. Bagi saya mereka tidak boleh digelar sebagai penjaja. Mereka adalah ahli perniagaan, usahawan yang berjaya dan pelabur (sudah naik tahap kepada francaisor) yang sepatutnya sudah masuk di dalam kategori pembayar cukai tetapi tidak pernah dikesan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.


Bagi saya kita perlu mentakrifkan semula siapa yang boleh dipanggil penjaja atau kita perlu membuat pengelasan. Mereka bukanlah satu kumpulan yang homogenous (serupa) . Mereka adalah peniaga kecil-kecilan bermodal kecil dan sebahagian besar melakukan perniagaan secara sambilan untuk menampung pendapatan dan dalam jangkawaktu yang pendek. Mereka berniaga sendiri dan tidak memakai pekerja tambahan. Peralatan mereka terlalu asas. Mungkin meja dan payong, kereta sorong dan bekas-bekas makanan. Mereka tidak memasak di tempat jajaan. Jadi perlu ada pengelasan jenis penjaja ini supaya kita tidak memakai peraturan yang sama untuk mereka semua.

Penjaja yang tapak perniagaan mereka sudah menjadi separuh tetap atau sudah membina struktur yang kukuh, memasak pula dan memakai kerusi meja pula untuk pelanggan adalah dalam kelas yang tersendiri. Kebanyakan mereka pun bermula dengan menjaja seperti yang pertama tadi tetapi kerana perniagaan berkembang, maka tapak jajaan menjadi tetap. Entah kenapa pihak penguatkuasaan membiarkan mereka berniaga begitu lama tanpa sebarang tindakan. 

Malah pihak TNB dan Syabas pula boleh membekalkan api dan air kepada mereka walaupun mereka tidak berlesen dan bangunan mereka tidak pernah mendapat kelulusan PBT. Saya diberitahu pegawai-pegawai PBT, undang-undang membenarkanTNB dan Syabas membekalkan api dan air dan PBT kepada bangunan tanpa izin ini. PBT tidak boleh bertindak ke atas mereka. Inilah diantara sebab kenapa PBT tidak dapat mengawal bangunan-bangunan haram termasuk rumah haram atau setinggan , peniaga haram, rumah ibadat, kilang haram dan lain-lain lagi. Inilah punca masalah nya. Apa perlu peniaga dan pengilang mendapat lesen atau kebenaran PBT jika mereka boleh berfungsi?

UMNO/BN pandai sungguh mengurus negara ini. Mereka meluluskan peraturan dan undang-undang tanpa memikirkan implikasi jangka panjang. Satu ciri pembuat dasar BN ialah "they are full of contradictions and double standard". Saya tidak dapat bayangkan bertapa banyak "pusaka bermasalah" yang akan kita warisi daripada Kerajaan Persekutuan bila kita ke Putrajaya.

Penjaja yang berniaga menggunakan kenderaan pula adalah di dalam kategori lain. Tapi dalam kategori ini tidak ramai.

Oleh kerana mereka menjual makanan dan minuman maka amatlah penting mereka semua dilesenkan kerana mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan. Selagi mana pihak PBT enggan memberi lesen, selagi itu keperluan kelulusan kesihatan tidak timbul dan para pembeli terdedah kepada penyakit. Berlesen atau tidak mereka tetap berniaga kerana itu punca pencarian pendapatan mereka.

Saya mengharapkan semua PBT dapat melancarkan program pemutihan penjaja dan peniaga yang sudah lama berniaga. Peniaga warga asing tidak perlu dilayan. Mereka sememangnya tidak boleh berniaga di tempat kita. 

Saya percaya penguatkuasa sudah tahu siapa mereka dan tempat perniagaan mereka.Kalau tempat perniagaan mereka memang tidak sesuai sangat untuk perniagaan, carilah tempat lain. Sebaik-baiknya pusat-pusat penjaja perlu diwujudkan dan kebersihan dan keceriaan tempat-tempat ini perlu titik beratkan. 

Biasanya para penjaja mengadu pusat penjaja tidak strategik. Peniaga yang separuh tetap perlu diubah ke gerai-gerai majlis sebagai keutamaan apabila terdapat kekosongan. Selepas pemutihan pun, kita boleh jangka yang penjaja baru akan mengambil alih tapak yang dikosongkan. Jadi perkara ini tidak sudah juga kecualilah kalau PBT serius dalam penguatkuasaan. Back to square one.

Saya tidaklah hendak mengajar pihak-pihak terlibat apa yang patut dibuat. Masalah penjaja ini bukan baru sudah bertahun. Mungkin YB Ronnie Liu kena anjur satu bengkel untuk memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini. 

Pakatan Rakyat perlu membuat perubahan sistem yang ada. Apa gunanya jika semua syarat dan peraturan dahulu diterima pakai kalau ianya menyusahkan rakyat. Pihak yang berkuasa patut memikirkan bagaimana membantu rakyat dan pada masa yang sama membangunkan bandar.

Di jalan Sungai Jati berhampiran dengan Dewan MPK Sentosa, ada sederet kedai yang kaki limanya menutup parit. Di sepanjang jalan Kg Jawa pun begitu keadaaanya. Kedai-kedai ini bukan dibina semalam. Memang menjadi masalah jika hendak mengambil tindakan. Kedai-kedai ini milik orang tempatan tetapi disewakan oleh orang Aceh. 

Di Paya Jaras pun begitu. Lesen perniagaan atas nama tuan kedai. Pihak berkuasa pun susah bertindak kerana "tuan kedai " akan mengatakan orang asing ini pekerja mereka. Rakyat merungut kehadiran orang asing menguasai perniagaan runcit!

Hendak dikatakan pihak PBT tidak memikirkan nasib penjaja kecil tidak kena juga. Tapi lihatlah kepada gerai-gerai sifar majlis perbandaran yang dibina diseluruh negeri selangor. Belakang kedai menghala ke jalan raya besar. Sakit mata melihat. Seunit dikatakan berharga diantara RM25 hingga RM30 ribu! Entahlah idea siapa. Macam melepaskan batuk ditangga dan untuk kepentingan pihak tertentu sahaja. Tapi PBT tidak boleh disalahkan juga ye, itu projek wahyu kerajaan sebelum ini! Harap-harap kerajaan Pakatan Rakyat jangan buatlah kerja seperti ini.

Di Bandar Baru Sungai Buloh, betul-betul dihadapan Sek Menengah Bandar Baru ada satu kawasan gerai sifar. Sudah lama siap tapi baru beroperasi. Mula-mula nampak juga beberapa gerai di buka tapi kini lengang. 

Agaknya penggerai sudah lari balik ke tempat asal untuk berniaga. Kawasan gerai berlopak, air bertakung.... siapa nak masuk! Penjaja-penjaja masih dibenarkan menjaja di tepi jalan tidak berapa jauh dari situ. Kenapa peniaga-peniaga ditepi jalan tidak dipindahkan ke gerai majlis? Atau adakah penjaja yang sepatut dapat gerai tidak dapat tetapi orang yang bukan penjaja pula yang dapat dan menunggu untuk mendapat untung atas angin dengan menyewa kepada orang lain.... yang akhirnya pendatang dari indonesia..

Letih memikirkan sistem yang di warisi. Saya harap para ADUN dan EXCO negeri Selangor memikirkan bagaimana menyelesaikan masalah ini. Pilihanraya setahun lagi aje sebelum GST dilaksanakan. Jika semasa berkuasa kita tidak lakukan perubahan di dalam sistem, masa berkempen nanti UMNO/BN tidak dapat disalahkan lagi. Jangan sampai rakyat mengatakan sama sahaja BN atau PR memerintah.

5 comments:

  1. (Mungkin saya sudah mula merasa kecewa dengan ketidakupayaan saya membantu rakyat. Kadang-kadang terasa yang diri ini seperti peminta sedekah. YB yang tiada duit dan tiada kuasa!).

    Apa yang YB hadapi merupakan ujian bagi seorang yang bergelar pemimpin. Menjadi seorang pemimpin bukan semudah yang disangka tetapi memerlukan tahap kesabaran dan ketabahan yang tinggi selain daripada kekerasan kepala dan kekerasan hati.

    Berkaitan apa yang YB tulis saya berpendapat yang seharusnya dipersalahkan adalah PBT yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing. Jika mereka menjalankan tugas dengan adil dan telus perkara tersebut tidak mungkin terjadi. Saya pernah meminta beberapa orang mengira berapa jumlah rasuha yang diterima oleh penjawat kerajaan negeri ataupun pusat dan darabkan seluruh Malaysia.. Besar rasuah menteri dan ahli parlimen/Adun atau penjawat jawatan yang diberikan kuasa untuk menguatkuasan undang-undang?

    Perkasakan PBT dperingkat negeri dan jadikan contoh kepada negeri lain nescaya kita akan dapat membezakan siapa sebenarnya yang mengkhianati negara kita yang tercinta ini.

    Jika azam YB utuk terus memertabatkan keadilan dan mengutuhkan kebesaran Islam saya adalah diantara yang tegar menyokong usaha itu. jangan putus asa.. kembalikan keagungan Islam di bumi Allah S.W.T yang bertuah ini an kembalikan peruangan asal PAS seperti sebelum menyertai PR.

    ReplyDelete
  2. siapa pula nak tolong usahawan bumiputera di dlm hypermarket...sy salah sorang usahawan muda muslim yang baru menapak di dalam salah satu hypermarket di parlimen yb...kenapa kami pengusaha muslim di kawasan parlimen ini tidak pula mahu dibela...bukan hanya susah utk "survive" dgn pesaing lain...mohon lawatan dan sokongan yb...kita asyik pandang pd usahawan bawah pokok...cuba bagi nasihat supaya mereka lebih berani utk bersaing di dlm hypermarket...baru ada persaingan yg sihat...

    ReplyDelete
  3. terpanggil memberi komen..
    peniaga kecil yang tepi jalan ni yang diperlu dibela dulu kerana kuasa yang ada mungkin boleh kita gunakan demi kepentingan mereka.bilangan mereka agak ramai dan hanya untuk mencari rezki membantu keluarga.
    peniaga tepi jalan yang membuka cawangan juga tidak digalakkan untuk dibela kerana mereka ini telah pun menjadikan ruang ini untuk mengaut kekayaan...
    bagi tuan hypermarket ini kena juga melibat kan kementrian perdangan dan industri...
    saya berharap yb juga dapat melihat seluruhnya tapi berilah yang mana boleh bertindak mengikut kuasa yang ada...

    ReplyDelete
  4. saya sedia membantu. kalau saudara tidak datang membuat aduan, masakan saya akan tahu. saudara sebut saudara baru menapak di dalam sebuah hypermarket dalam kota raja, carrefour bukit rimau ke? kalau dah menapak, alhamdulillah. jangan harap orang membeli tanpa promosi. memanglah kena bersaing. mana ada peniaga yang tak perlu bersaing. saya ingatkan saudara tiada tapak untuk berniaga. apa pun no pejabat saya 51619000.

    Dr Mariah

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum..
    Sekadar perkongsian sebagi warga kajang. Apa yang dilakukan oleh MPKJ adalah dengan membina gerai kekal di tempat penjaja berniaga untuk memutihkan atau menghalalkan tindakan mereka. bayaran sewa dan sedikit bayaran lesen dikenakan. gerai ini dibina dengan dengan kerjasama MARA dan juga Majlis belia ditempat-tempat yang sesuai

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts