Teks ucapan penuh Yb Dr Siti Mariah Mahmud, MP Kota Raja dalam sessi perbahasan di Parlimen petang semalam.
Tuan Yang Di Pertua, terima kasih kerana memberi peluang saya menyampaikan ucapan menjunjung kasih kepada SPB diatas ucapan baginda. Baginda sungguh prihatin dengan pembangunan modal insan Negara yang tercinta ini. Tidak dapat dinafikan yang kelangsungan atau dengan izin, survival, Malaysia bergantung kepada Modal Insan yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berakhlak mulia tetapi juga mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang mantap. Itulah sebabnya maka Kerajaan memperuntukkan wang yang banyak untuk menjaga kesihatan rakyat dan membasmi segala macam jenis penyakit yang menggugat kesejahteraan rakyat.
Namun bukan sahaja saya tetapi ramai lagi rakyat di luar sana dan di dalam dewan ini mengeluh kenapa kerajaan telah sekian lama mengabaikan satu unsur penyakit ia itu ketagihan arak atau dengan izin, alcoholism. Arak , dadah dan rokok adalah tiga dadah merbahaya. Satu dunia tidak dapat menyangkalnya lagi. Bukti saintifik sudah lebih daripada mencukupi untuk membuktikan ke-3 bahan ini merosakkan akal dan jasad manusia, namun undang-undang membezakan di antara ke-3 bahan ini.
Sementara dadah di sebut sebagai najis dan diharamkan dan boleh dihukum mati jika mengedarnya, rokok pula dikenakan cukai yang tinggi dan ada usaha (walaupun pada saya, ianya tidak memadai) untuk memberi amaran kepada perokok tentang bahayanya pada kotak-kotak rokok. Tapi apa sudah jadi dengan minuman keras? Kenapa minuman keras mendapat layanan istimewa? Alkohol diklasifikasikan sebagai dadah psikoaktif mempunyai cirri-ciri “depressant/kemurungan”, ketagihan dan menyebabkan daya tumpuan berkurang. Dadah-dadah lain yang mempunyai kesan ini memerlukan preskripsi doktor untuk membelinya.
Walaupun seksyen 2(1) Akta Kastan 1967, mentakrifkan “liquor” yang memabukkan (intoxicating liquor) termasuklah apa-apa alkohol atau apa-apa cecair yang mengandungi lebih dari 2% spirit pruf (saya difahamkan ialah alkohol mutlak/ethyl alcohol) , yang sesuai, atau bermaksud untuk, atau yang boleh dengan apa-apa cara di ubah lagi bagi, digunakan sebagai minuman , Akta Eksais (Akta 176) pula dalam seksyen 32 (1) telah memberi pengecualian kepada penjualan minuman beralkohol seperti bir (ale, stout, porter) atau todi atau arak natif (sabah) ianya kesemua jenis arak tapaian atau yang di hasilkan oleh proses pemeraman. Ini bermakna penjualan runcit kecil-kecilan tidak melebihi kuantiti yang ditetapkan boleh dijual di kedai-kedai tanpa perlesenan.
Bir dan todi mengandungi alkohol melebihi 2%. Saya diberitahu yang bir mengandungi dalam sekitar 5-8% kandungan alkohol. Sudah tentu boleh memabukkan. Dalam Seksyen 32 (3) pula memberi kuasa mutlak kepada Menteri (Kewangan) untuk membenarkan sesiapa sahaja menjual secara runcit apa-apa liquor yang memabukkan! Sungguhpun Peraturan Eksais 7A untuk penjualan apa-apa liquor telah menghadkan jualan kepada seseorang berumur bawah 18 tahun, kadar pematuhan dan penguatkuasaan amatlah mengecewakan.
Disebabkan pengecualian ini bir mudah didapati di merata-rata tempat di seluruh Malaysia . Dengan pengecualian ini juga pihak PBT tidak boleh menghadkan penjualan bir dan minuman seangkatan dengannya sekiranya kedai menjual secara runcit mengikut takrifan undang-undang. Saya kira, hanya kerajaan Kelantan yang berani membuat keputusan menghadkan penjualan arak di premis-premis tertentu.
Kerajaan Kedah pula tidak mampu membuat perubahan di Langkawi kerana seksyen 32(1) (c) memberi pengecualian kepada kedai runcit bebas duti yang dilesenkan dibawah seksyen 65(D) Akta Kastan 1967.
Tuan Yang di Pertua,
Saya meneruskan hujjah saya kenapa kerajaan perlu serius melihat isu arak ini dengan lebih mendalam dan diakhir hujjah ini saya akan mengutarakan beberapa cadangan kepada kerajaan hari (the government of the day). Sekiranya saya memerlukan masa yang lebih, dengan izin, please be lenient with me, only this time.
Saya mahu pihak kerajaan tahu yang rakyat, yang Islam dan bukan Islam sebenarnya akan berada dibelakang kerajaan untuk kerajaan mengorak langkah membuat satu polisi minuman keras yang melindungi rakyat terbanyak dan tidak hanya membuka peluang yang begitu luas kepada perusahaan minuman keras. PAS sudah tentu akan menyokong apa-apa pindaan kepada undang-undang untuk mengawal lebih ketat penjualan dan pengambilan arak dan menangkis sanggahan yang mengatakan pengawalan penjualan arak menafikan hak asasi manusia dan hak bukan Islam.
Tuan Yang di Pertua,
Untuk sedikit makluman Dewan, Minuman keras terbahagi kepada 3 kategori besar. Bir, Wain dan Spirits – klasifikasi dibuat bergantung kepada kandungan alkohol atau alcohol by volume (ABV). Spirit mengandungi kandungan alkohol yang tinggi bermula dari 20% dihasilkan dari proses penyulingan dan penuaan. Sementara bir dan wain yang dihasilkan melalui proses pemeraman atau penapaian mengandungi ABV dari 1% ke 20%. Kesemuanya cecair memabukkan mengikut takrifan di dalam Akta Kastan 1967.
Tuan Yang di Pertua,
Tidak ramai rakyat Malaysia tahu yang kita menduduki tangga ke-10 tertinggi/terbesar dalam pengambilan alkohol di dunia, walaupun Negara kita mempunyai hanya 26 juta orang penduduk dan sebuah Negara yang kecil.
Setiap tahun, rakyat Malaysia membelanjakan USD 500 juta membeli alkohol. Walaupun secara purata pengambilan alcohol jatuh sebanyak 7 L per kapita, mereka yang mengambil alcohol sebenarnya adalah peminum tegar. Dikalangan rakyat Malaysia , kaum India walaupun 8% daripada kependudukan Negara ini merupakan peminum alcohol berat dengan kadar melebihi 14 L alcohol mutlak setahun.
Kerajaan mungkin menganggap ketagihan arak di kalangan kaum India sebagai satu masalah unik kaum India dan tidak memberi perhatian langsung kepada masalah ini dan meninggalkan isu ini ditangani oleh NGO. Di sebalik ketagihan arak kaum India ialah masalah kemiskinan dan kemelaratan hidup. Saya tidak berniat untuk mengupas isu ketagihan arak dikalangan kaum India sekarang Cuma ingin berkongsi pengalaman dengan Dewan ini.
Setelah saya memenangi parlimen Kota Raja dalam PRU lepas, saya di datangi beberapa kumpulan yang terdiri dari kaum India meminta saya menangani masalah ketagihan arak dikalangan kaum India di dalam kawasan.
Mereka meminta PAS mengawal jualan arak di kawasan yang saya menangi sepertimana dilakukan di Kelantan. Mereka menjamin, kaum wanita India akan meneruskan sokongan sekiranya perkara ini boleh dilakukan kerana kaum wanita dan anak-anak menjadi mangsa penderaan apabila sang suami mabuk.
Kadar pengambilan bir di Malaysia pula menyamai Negara-negara Eropah ia itu 11 L per kapita. Umur purata ketagihan arak ialah 22 tahun dan umur pertama rakyat mula terdedah kepada pengambilan alkohol semakin awal dalam kehidupan.
Apa akan jadi kepada modal insan Negara apabila belia dan remaja menjadi peminum arak dan kemudiannya menagih arak. Pengiklanan dan promosi agresif syarikat-syarikat minuman keras seperti Carlsberg dan Guiness menggunakan pendekatan penajaan sukan tertentu dan mengeksploitasi wanita muda seksi untuk mendedahkan orang-orang muda kepada minuman syaitan ini.
Carlsberg telah menjadi penjadi penaja utama Maybank Malaysian Open Golf 2010. Dalam satu kenyataan Pengarah Urusan Carlsberg Malaysia , di antaranya, “ We wanted to treat our consumers to an exclusive experience of Maybank Malaysia Open…….There was an abundant flow of Carlsberg beer throughout throughout the day” dan seterusnya. Ia nya satu kenyataan terbuka yang mahu menggalakkan orang muda golongan atasan dan berada untuk mencuba minuman syaitan ini. Yang berhormat sekelian boleh melayari internet sendiri untuk mendapat maklumat selanjutnya.
Jumlah rakyat yang mengambil alkohol juga kian bertambah saban hari. Namun tiada statistic resmi dari pihak kerajaan. Saya harap satu kajian menyeluruh dibuat untuk mengetahui status sebenar permasalahan ini. Para pemimpin perlu juga tahu Malaysia sekarang menjadi hub arak ke Negara-negara Asia . Pemasaran arak di Eropah dan Amerika sekarang sudah tepu, maka mereka menoroka pasaran baru di rantau ini.
Maka kita tidak hairan syarikat-syarikat besar seperti Carlsberg dan Guiness sanggup menanam modal berjuat-juta di Negara kita tetapi sanggupkah rakyat Malaysia melihat Negara kita satu hari dikutuk dan dilabel sebagai Negara Islam yang bersubahat dengan kesengsaraan beribu-ribu nyawa di rantau ini. Sekarang ini pun Malaysia sudah terpalit dengan label pusat pemerdagangan manusia terutama wanita dan kerajaan berhempas pulas untuk membersihkan nama Malaysia . Kita tidak akan terdaya membersihkan nama sekiranya perusahaan arak digalakkan dan ada facts and figures untuk membuktikannya.
Kesan Alkohol
Kesan negatif pengambilan alkohol terhadap otak melebihi kesan positif yang bersifat sementara. Kesan utama ke atas otak manusia menyebabkan proses kognitif iaitu di antaranya persepsi, tumpuan, kesedaran, keupayaan berfikir, kecerdasan dan banyak lagi fungsi otak terganggu yang sering disebut sebagai keadaan mabuk.
Akibat daripada gangguan fungsi normal otak ini menyebabkan fungsi akal yang waras terganggu dan maka berlakulah kemalangan jalan raya, penderaan isteri dan anak, pergaduhan serta banyak lagi kesan negatif ke atas diri peminum, keluarga dan masyarakat yang ahli yang berhormat semua sedia maklum. Kesan jangka panjang menyebabkan kerosakan organ tubuh termasuk hati dan otak sudah memang diketahui dalam dunia perubatan. Ketagihan arak atau alkohol tidak jauh bezanya dari ketagihan najis dadah.
Saya tidak akan mampu menceritakan tentang kesan alkohol dalam Dewan ini. Saya harap Ahli-ahli yang berhormat dapat membaca satu artikel yang di tulis oleh Prof Madya Dr Azizi Yahya, Fakulti Pendidikan, UITM yang menyerlahkan kesan negatif alkohol secara ilmiah.
Nilai Ekonomi Perniagaan Arak
Kutipan cukai dari perniagaan arak meningkat kepada RM 817 juta pada tahun 1996 dari RM 769 juta pada tahun 1994. Berapakah nilai kutipan cukai minuman keras agaknya sekarang? Menteri Kewangan di dalam jawapan bertulis mengenai nilai cukai import minuman keras dari tahun 2004 ke 2008 menyatakan nilai cukai import masa itu ialah RM442.6 juta. Nilai eksport minuman keras pula RM1.1 billion.
Pada tahun 1995 terdapat 2,360 premis awam yang dilesenkan menjual minuman keras. Angka ini dikatakan telah berganda pada tahun berikutnya (1996). Ini tidak termasuk premis atau kedai-kedai runcit yang menjual minuman beralkohol dalam tin (beer, stout, shandy) yang tidak memerlukan perlesenan. Saya minta Menteri Kewangan menyatakan berapa premis atau jumlah lesen yang dikeluarkan menjual arak di seluruh Negara pada ketika ini.
Perusahaan arak tempatan atau samsu kita begitu aktif dan dianggarkan menghasilkan samsu USD43.4 juta (RM180 juta) pada tahun 2006. Samsu boleh mengandungi alkohol setinggi 38% dan boleh terdapat dengan mudah di kedai-kedai runcit dan tempat-tempat kediaman. Ianya boleh didapati semurah RM2 dalam botol kecil atau di isi dalam palstik sahaja. Mungkin Menteri Kewangan dapat memberitahu Dewan yang mulia ini berapa jumlah setahun penghasilan arak di dua kilang pemeraman arak (Guiness dan Carlsberg) yang dilesenkan kerajaan di KL ini.
Dan dari jumlah ini penghasilan ini berapa peratus yang dipasarkan di dalam Negara dan berapa banyak pula yang dieksport? Akhbar The STAR melapurkan yang kilang arak di Malaysia nilai perniagaan bird an stout di Malaysia ialah RM 4.77 billion . Walaupun kadar eksais dikatakan tertinggi di Asia, dan nombor dua tertinggi di dunia selepas Norway , nampaknya semakin ramai yang mampu membeli.
Mungkin angka di atas tidak menjadi persoalan malah menjadi kebanggaan sesetengah pihak kerana Negara mendapat keuntungan dan secara tidak langsung rakyat turut mendapat manafaat. Tetapi bagaimana pula kalau dibentangkan yang anggaran perbelanjaan rakyat Malaysia membeli arak ialah USD500juta (RM1750,000,000 atau RM1.75 billion) pada tahun 2006? Nilai import pula minuman keras dari tahun 2004 ke 2008 ialah RM212 juta. Secara relatif tidaklah sebanyak nilai eksport.
Sebagai Negara Islam, berapa ramai pula rakyat Malaysia yang beragama Islam yang terlibat di dalam industri arak ini? Dari pengilangan, pengangkutan, penjualan? Pernahkan kerajaan membuat kajian, berapa ramai pula rakyat beragama Islam minum arak ? Berapa ramai peminum sosial dan berapa ramai pula yang ketagihan arak?
Kerajaan mempunyai statistik mengenai jumlah penagih dadah , jumlah pengidap HIV/AIDS, jumlah kematian akibat kemalangan dan banyak lagi statistik. Kerajaan adakah angka untuk jumlah rakyat Malaysia yang terjebak dalam ketagihan arak (chronic alcoholism) mengikut kaum dan jantina? Kalau ada saya minta diberi jawapan, kalau tiada, kenapa tidak? Tidak kah Menteri Kesihatan tahu yang ketagihan arak ialah satu penyakit yang merbahaya?
PERSPEKTIF AGAMA-AGAMA
Saya mengajak Yang Berhormat sekelian terutamanya yang beragama Islam, Hindu, Kristian dan Budha merujuk kepada agama masing-masing tentang larangan arak yang jelas.
Di dalam agama Islam, surah Al Maidah ayat 90-91, Allah SWT berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semuanya kotor/keji dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebenciaan di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara2 yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)
Rukun Agama Budha yang ke-8 dengan jelas menyatakan “ Budhists should abstain from liquor”. Budha juga menolak menjual arak sebagai sumber pendapatan.
Dalam Bible, The Book of Proverbs Bab 23:29-33 memberi nasihat ini “ Do not look at wine when it is red, when it sparkles in the cup and goes down smoothly. At the last it bites like a serpent, and stings like an adder. Your eyes will see strange things. And your nind will utter perverse things”.
Dalam agama Hindu, tujuan utama penganut Hindu ialah untuk bersatu dengan Tuhan. Ianya hanya boleh tercapai melalui badan dan akal yang sihat. Seorang agamawan Hindu Thiruvalluvar mengatakan “ Mereka yang minum arak tidak berbeza dengan mereka yang meminum racun, maka mereka tiada bezanya dengan orang yang sudah mati”
Pada 30hb Oktober 2009, Institut Kefahaman Islam Malaysia , IKIM telah mengadakan satu muzakarah “pakar arak dan permasalahannya”. Ahli panel dan peserta terdiri dari pelbagai profesyen , agama dan bangsa. Mereka telah membuat rumusan dan beberapa cadangan kepada pihak berkuasa (mungkin kepada Jabatan Perdana Menteri) untuk membuat pindaan-pindaan kepada beberapa undang-undang. Soalan saya adakah pihak Jabatan Perdana Menteri menerimanya dan apakah tindakan susulan pihak menteri berkenaan?
Mengharamkan minum arak tidak bercanggah dengan agama-agama besar dunia. Ia hanya bercanggah dengan nafsu manusia atas nama hak kebebasan asasi manusi untuk memilih. Saya tidak mencadangkan pengharaman terus tetapi menyemak semula supaya masalah pengambilan arak tidak begitu berleluasa dan tidak terkawal
Malaysian Hindu Sangan (MHS) telah mengistiharkan peperangan terhadap ketagihan arak / alcoholism kerana kesannya terhadap generasi muda Negara. Mereka telah mencadangkan supaya penalti atau hukuman dikenakan kepada peminum bawah umur dengan 2 hari dalam penjara,.
Cadangan lain ialah mengenakan cukai berperingkat (TIERED BASED TAX) berasaskan kandungan alkohol minuman bukan satu kadar rata 10% untuk semua jenis minuman dan menubuhkan satu pusat untuk menangani permasalahan penagihan arak untuk jangka panjang yang merancang langlah-langkah pencegahan, penyelidikan dan rehabilitasi.
UNDANG-UNDANG PERSEKUTUAN DENGAN ENAKMEN SYARIAH- SATU KONFLIK
Tuan Yang di Pertua,
Malaysia sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila menjatuhkan hukuman sebat ke atas seorang wanita, Kartika Sari, kerana kesalahan meminum arak. Pengambilan arak tidak menjadi satu kesalahan dalam undang-undang sivil walaupun sampai kepada tahap mabuk melampau sekiranya tidak mencederakan sesiapa atau tidak memandu. Hatta sehingga memukul anak dan isteri pun boleh dimaafkan lagi kerana dianggap masaalah domestik.
Namun di dalam Islam, ianya satu kesalahan jenayah serta telah termaktub dalam enakmen syariah negeri-negeri serta Wilayah Persekutuan . Seksyen 19 (1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WP) 1977 Akta 559 menyatakan mana-mana orang yang, dimana mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 19(2) Akta yang sama pula menjadikan kesalahan pada sesiapa yang membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan. Enakmen ini jelas berkonflik dengan Seksyen 35 Akta Eksais.
Ketiadaan penyelarasan atau konflik di antara undang-undang sivil dan enakmen syariah telah menjadikan hukuman Islam ditertawakan dan dimomokkan. Setiap kali alasan diberi adalah kerana undang-undang syariah di bawah kuasa negeri dan lebih spesifik di bawah sultan-sultan dan agung. Cukuplah meletakkan tanggung jawabnya di atas sultan dan agung. Bukan kah agung dan sultan bertindak atas nasihat majlis agama masing-masing. Tengoklah dalam enakmen syariah negeri Pahang, salah satu hukuman minum arak ialah sebatan tetapi tiada pula dalam enakmen syaraiah WP.
Bagaimana enakmen syariah hendak dilaksanakan dan dipandang sebagai perkara yang betul apabila Akta Eksais tidak diselaraskan dengan Hukum Syariah. Bagaimana kedudukan pekerja-pekerja Islam di dalam kilang arak, di kedai-kedai runcit seperti 7-11, bagaimana pula kedudukan pramugari dan pramugara kita yang menghidangkan arak, bar tender yang mencampur minuman keras untuk pelanggan. Adakah kita redha melihat saudara-saudara seIslam melakukan dosa. Betul kah mereka dalam keadaan darurat dan berhak mengambil rukshah atau keringanan dalam hal ini? Bukankah di antara maqasid syariah pemerintahan Islam Hadari salah satu tanggung jawab pemerintah adalah menjaga agama rakyat.
Saya merayu bersungguh-sungguh supaya Kerajaan mengambil langkah serius untuk menyelaras undang-undang di mana boleh untuk menepati hukum Islam.
Saya tahu amat berat Kementerian Kewangan membuat pindaan-pindaan dan pengawalan yang lebih ketat terhadap perusahaan arak. Boleh kah Dewan ini tahu berapa peratus kah pendapatan Negara disumbang oleh perusahaan arak?
Ahli Parlimen PAS telah beberapa kali meminta di dalam Dewan ini hasil kerajaan dari pencukaian perusahaan haram (di antaranya judi, arak dan riba) atau sin tax ini di asingkan daripada akaun atau dana terkumpul Negara. Tujuan pengasingan Sin tax ini ialah supaya ianya tidak digunakan untuk mambayar gaji atau menjadi punca dana yang membawa kepada makanan rakyat dan menjadi darah dan daging rakyat atau dana untuk kebajikan atau membina masjid. Ianya boleh digunakan untuk infrastruktur dan perkara-perkara yang dibolehkan oleh syariat. Menteri Agama kita tentu lebih mafhum daripada saya perkara ini.
Saya terlalu bimbang yang gaji dan elaun kakitangan awam termasuk elaun kami sebagai ahli yang berhormat, menteri-menteri juga subahah kerana ada pencampuran sumber halal dan haram. Tidak susah mengasingkannya pendapatan haram dari yang halal kerana ianya cuma memerlukan satu usaha teknikal perakaunan.
Tidak kah terlintas di hati Menteri-menteri kewangan Malaysia dulu dan kini yang terdiri daripada orang Islam (kecuali Mendiang Tun Tan Siew Sin) untuk menyelamatkan ummah daripada kemelut ini. Perkara haram dan halal dalam Islam adalah teras di dalam akidah Islam. Mungkin kerana kita tidak memahami konsep BARAKAH dalam agama kita maka ramai yang memandang enteng tentang perkara ini. Islam memberatkan kualiti sumber rezeki yang kita dapat dan tidak semestinya kuantiti rezeki.
Adakah kemelut gejala sosial umat Islam di Negara kita berbanding dengan bangsa dan agama lain berpunca sumber rezeki yang subahah maka hilang keberkatannya?. Maka ini menyebabkan hidayah Allah SWT kepada rakyat terbanyak dan generasi muda bermasalah. Rahmat Allah SWT seolah-olah tertutup kepada umat Islam walaupun kerajaan merasakan telah mencurah begitu banyak bantuan untuk pendidikan.
Lihat surah Al-A’raf , ayat 96 – “Dan Tuhan berfirman, SEKIRANYA PENDUDUK NEGERI ITU, BERIMAN SERTA BERTAQWA, TENTULAH KAMI AKAN MEMBUKA KEPADA MEREKA (PINTU PENGURNIAAN) YANG MELIMPAH-LIMPAH BERKATNYA, DARI LANGIT DAN BUMI. TETAPI MEREKA MENDUSTAKAN (RASUL KAMI) LALU KAMI TIMPAKAN MEREKA DENGAN AZAB SEKSA DISEBABKAN APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN”
Kerajaan hendak menjadikan Negara ini BALDATUN TAYIBBUN WA RABBUN GHAFUR. Mulakanlah dengan langkah yang mudah ini – bersihkan pendapatan Negara - asingkan pendapatan haram dari pendapatan yang diselaputi dosa.
Akhirnya Tuan Yang di Pertua,
Saya mencadangkan kerajaan menubuhkan satu JK bersama atau satu kaukus di peringkat parlimen untuk mengkaji semua aspek isu arak untuk merangka polisi minuman keras negara pencukaian, pengilangan, pelesenan, pengiklanan dan promosi, penjualan dan lain-lain lagi yang sentuh tadi, menyemak undang-undang yang berkaitan dengan alcohol bertujuan untuk membendung pengambilan minuman keras di kalangan rakyat terutama golongan muda.
Arak di Malaysia semudah membeli air minuman
Arak di Malaysia semudah membeli air minuman
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah