Alhamdulillah, akhirnya tergerak hati seorang ADUN UMNO (Kemelah, Johor) untuk mencadangkan perlaksanaan hudud di Johor. Beliau mahu Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hudud. PAS akan menyokong sekiranya UMNO Johor serius.
PAS gagal melaksanakan Hudud walaupun Enakmen mengenai Hudud sudah diluluskan di Kelantan dan Terengganu beberapa tahun yang lepas, PAS tetap merasakan cadangan ini timbul hasil dari perjuangan PAS sejak bertahun lamanya memberi kesedaran kepada perlunya manusia kepada hukum Allah swt. Tidak kiralah siapa yang memulakan dahulu.
Insyaallah, PAS tidak akan menimbulkan polimik yang ini Hudud UMNO seperti mana UMNO sering menuduh yang hukum hudud yang PAS visikan tidak menepati kehendak Quran dan Sunnah dan dipanggil pula Hudud PAS.
Perlaksanaan Hudud memerlukan prasarana dan sokongan Kerajaan Pusat kerana perlaksanaannya memerlukan kerjasama dan penglibatan dari pelbagai pihak.
Seperti kesalahan jenayah lain, proses penyiasatan, pembelaan diri dan pengadilan menuntut pihak polis (PDRM), pihak penjara, pendakwa, peguam dan hakim mempunyai ilmu dan kuasa untuk melaksankannya.
Ramai mempunyai tanggapan yang hudud kejam kerana mereka membayangkan yang bila pencuri atau pesalah (dalam kategeri hudud) ditangkap, beliau akan terus menjalani hukuman -tangan dipotong atau penzina dirotan tanpa perbicaraan.
Mereka lupa yang orang kena tuduh (OKT) perlu melalui proses seperti mana yang dilalui oleh orang kena tuduh (OKT) di dalam kesalahan jenayah lain di bawah undang-undang sivil.
Orang yang dituduh belum boleh dijatuhkan hukuman selagi belum didapati bersalah oleh mahkamah.Selepas beliau ada lagi peluang untuk merayu dan sebagainya. Ketara berbeza ialah jenis hukuman yang dijatuhkan.
Sekiranya tidak cukup syarat maka hukuman takzir yang mungkin seperti hukuman di dalam kesalahan jenayah di dalam undang-undang yang sedia ada. Jika kesalahan yang dilakukan dapat dibuktikan "beyond reasonable doubt" baru hukuman hudud boleh dijatuhkan.
Sudah tentu Kerajaan Pusatlah yang perlu menerajui pindaan undang-undang yang diperlukan untuk membolehkan perlaksanaan.Kerajaan Pusat perlu juga membuat keputusan samaada ianya akan dilaksanakan oleh Mahkamah Jenayah Syari'ah atau sebaliknya.
Banyak perkara yang perlu dibereskan sebelum perlaksanaan tetapi ia tidak mustahil sekiranya ada keseriusan dan kemahuan politik.
Malaysia mempunyai ramai ilmuan dan pakar Syari'ah. Kumpulkan mereka dari pelbagai pihak -universiti, NGO dan badan politik -bukan sahaja dalam negara tapi boleh juga dari luar negara.Kesatuan umat Islam akan terserlah jika bersungguh-sungguh hendak melaksanakan perintah Allah swt.
Julung kali saya melihat yang semua pihak beragama Islam melihatkan persetujuan dalam isu Hudud kali ini. Kalau dulu bila PAS mengemukakan, pemimpin UMNO tidak berani menyokong secara terbuka malah tohmah lagi kat Hudud PAS.
Tapi pemimpin PAS dari awal lagi menunjukkan sokongan walaupun ianya datang dari ADUN UMNO. Maka tidak benarlah tuduhan UMNO/BN selama ini yang PAS mengutarakan Hudud untuk kepentingan politik dan hanya timbul semasa pilihanraya. Bagi PAS yang penting perintah Allah swt di ta'ati.
Terlibatnya PAS dalam politik adalah kerana hasrat untuk melihat Islam terlaksana dalam masyarakat. Kalau UMNO mahu melaksankan Islam, kita bersyukur. Nak tahu UMNO serius atau tidak mengenai Hudud ni, kita tunggu kenyataan PM, Dato' Seri Najib Razak.
Sedikit masa dulu beliau telah mengistiharkan yang UMNO/BN tidak akan melaksankan hudud. Apa pula kata Tun Mahathir yang sangat jelas penentangannya terhadap hudud dulu, kini dan harapan kita tidak selamanyalah.
Lebih hebat lagi kalau UMNO/BN menjadikan perlaksanaan hudud sebagai manifestonya! Baru boleh mengatakan membela Islam dan Melayu.Orang Melayu Islam dalam UMNO semakin berpengetahuan tentang agama dan sekarang ada kumpulan Ulamak Muda pula yang berusaha mentarbiyyah ahli UMNO. Lama kelamaan wajah UMNO akan berubah insyaallah.
Tetapi telahan saya yang sudah ada kesedaran agama akan meninggalkan UMNO juga kerana UMNO tidak memperjuangkan Islam yang syumul. UMNO memilih aspek mana yang akan di terima dan dilaksanakan. Bila amal Islami melibatkan duit ringgit atau ekonomi dan kuasa cepatlah UMNO hendak menguasai.
Perbankan Islam dan pungutan zakat sebagai contoh sudah lama dapat dilaksanakan. Bab lesen arak dan judi masih lagi memberi alasan negara ini negara majmuk.Lagi pun cukai dari pendapatan judi dan arak ni berjuta-juta.Lumayan.
Hendak mengasingkan pendapatan haram dari yang halal pun Menteri Kewangan masih tidak mahu laksanakan.UMNO/BN masih tidak boleh mengarahkan MAS untuk merekakan pakaian yang menutup aurat untuk pekerjanya.
Sekurang-kurangnya bagi mereka yang ingin menutup aurat, mereka ada pilihan uniform yang memenuhi amal Islami.Perkara yang relatif mudah untuk dilaksanakan pun masih lagi terkial-kial. Ini kan pula Hudud.
Reaksi MCA sudah dijangka. Menentang Hudud "all the way" malah telah berikrar akan menceraikan BN jika Hudud hendak dilaksanakan.
UMNO hendak angan-angan hendak laksanakan Hudud pun tidak boleh! PAS tidak meyembunyikan hasrat melaksanakan Hudud di negeri-negeri majoriti Islam dan PAS kukuh jika memerintah.
Dua negeri ini ialah Kelantan dan Terengganu (sebelum dimenangi semula oleh BN).Namun niat ini masih terhalang lagi. Enakmen sudah ada namum keupayaan perlaksanaan belum mengizinkan.
Tentangan dari orang bukan Islam adalah kerana kejahilan mereka tentang Hudud. Tidak menghairankan kerana orang Islam sendiri mempunyai tanggapan yang salah tentang Hudud atau jahil murakab tentang Hudud.
Perubahan sikap DAP terhadap Hudud sudah boleh dilihat. Dari kenyataan "langkah mayat" kepada "PAS perlu menjelaskan" dan "PAS berhak kepada ideologi partinya" sudah menunjukkan kebersediaan untuk mendengar walaupun tidak menerima lagi.
Lebih baik dari MCA yang mengugut untuk keluar BN jika UMNO bercakap mengenai Hudud malah sampai tahap menghina hukum Islam dan menghina ADUN Kemelah. PAS baru berkawan rapat dengan DAP kurang 5 tahun yang lalu.
Kita boleh berbangga dengan perubahan sikap ini. Mereka tidak menghina hukum Islam tetapi meragui keadilan hukum Islam. Maklumlah pemikiran yang sekian lama tidak pernah mengenali Islam walaupun tinggal di "Negara Islam". Orang Islam pula tidak menunjukkan kecantikkan Islam malah akhlak kebanyakan orang Islam yang mereka kenali berkelakuan bertentangan dengan ajaran Islam.
Insyaallah dengan adanya pentas demokrasi dan kebebasan media, penjelasan berterusan mengenai semua aspek Islam bakal memberi pencerahan kepada mereka yang menentang.Tugas muslimin ialah menyampaikan risalah Islam dan tiada siapa mampu memberi petunjuk dan hidayah kerana ia milik Sang Pencipta Rabbul Jalil, Allah swt.
Menjadi tanggung jawab muslimin diseluruh dunia umumnya dan di Malaysia khasnya untuk mendirikan Islam dalam dirinya dan berakhlak dengan akhlak Islam seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.Mengamalkan Islam secara tidak berpilih dan tindak tanduk yang tidak bercanggah dalam diri sendiri,
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah