Friday, January 18, 2013

Mohd Zin dan Politik Air

Setiausaha politik menteri besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan tuduhan Penyelaras BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa Kerajaan negeri itu bermain politik dalam isu air "umpama menepuk air di dulang, habis terpercik ke muka sendiri". 

Sebaliknya, kata Faekah, usaha kerajaan Selangor untuk mengambilalih perkhidmatan air dengan niat semata-mata mahu menjaga kebajikan pengguna yang selama ini tidak mendapat pembelaan kerana kerajaan sebelum ini yang didakwanya "hanya mementingkan tembolok dan kroni sendiri.

"Faekah mendakwa, rakyat dipaksa menggunakan perkhidmatan syarikat konsesi yang didakwanya langsung tiada kepakaran dalam industri air menyebabkan mereka mendapat perkhidmatan tidak memuaskan seperti gangguan bekalan air serta kadar tarif yang tidak munasabah.

"Malangnya, selepas empat tahun berunding usaha pengambilalihan ini masih gagal kerana kerajaan Pusat tidak menyokong usaha ini lantaran lebih mementingkan syarikat konsesi daripada kebajikan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bukan sekadar itu, katanya, syarikat konsesi tersebut mendapat sokongan kuat pemimpin Umno yang turut melemparkan tuduhan tidak berasas mengenai isu air dan menghentam usaha Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambilalih perkhidmatan air.

"Jadi, siapa sebenarnya yang bermain politik dalam isu air ini? Jika sememangnya kerajaan Persekutuan tidak setuju perkhidmatan air diambilalih kerajaan negeri, mengapa mereka meluluskan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membenarkan kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air dari syarikat konsesi?" katanya.

Sehubungan itu, Faekah bertanya mengapa penstrukturan air boleh dilaksanakan di Terengganu, Perak dan Melaka, tetapi tidak Selangor. 

Beliau mendakwa, ini kerana BN percaya jika kerajaan Selangor dibenar mengambilalih perkhidmatan air maka peluang mereka untuk kembali menang di Selangor akan terus terkubur.

Di samping itu, katanya, sukar untuk mempercayai Mohd Zin (kanan) boleh mengeluarkan hujah kononnya kerajaan negeri berkuasa sepenuhnya ke atas Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) kerana SYABAS adalah anak syarikat kerajaan negeri. 

"Jika SYABAS anak syarikat kerajaan Selangor, kita tidak akan berdepan dengan masalah sebegini," tegas Faekah .

Sebaliknya, kata beliau, seperti yang dijelaskan menteri besar Selangor bahawa kerajaan negeri hanya mempunyai saham 30 peratus dalam SYABAS manakala pemegang saham terbesar adalah Puncak Niaga dan Kementerian Kewangan Diperbadankan pemegang saham emas.

Saham emas itu, katanya, memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat keputusan sebagaimana termaktub di dalam WSIA. 

"Jika Mohd Zin mahu menjadi jaguh dalam isu air ini, seeloknya beliau membuat kajian dan penyelidikan yang lebih mendalam agar sekurang-kurangnya mempunyai sedikit kredibiliti ketika membuat tuduhan terhadap Pakatan Rakyat," tambahnya.

1 comment:

  1. amat tidak bertangung jawab ker mb pkr.kami tak ada air sudah 3 minggu.syabas minta pam di tambah(on record) januari 2010.tak ada respon.Maintenance pam begitu baik disahkan oleh ABB Msia sn bhd.pam OVERLOAD 2023 kali tahun 2012.
    Kenapa Dr Mariah SPIN? Air BERSIH tanggung jawab NEGERI.

    ReplyDelete

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts