Saya sudah mula menerima sms yang di ajukan (forwardkan) kepada saya oleh sahabat-sahabat. SMS yang mereka terima daripada NGO dan nama besar dalam dunia penilisan - Pak Samad dan Dinsman.
Sms yang di ajukan oleh Yb Teresa Kok: Why Dr Maria involved bakar buku Interlock? Dia tak faham seni ke3?tq
Sms dari Pak Samad : Saya baru baca berita tentang sokongan YB Dr Mariah Mahmud (PAS) terhadap MIC mengkritik Abdullah Hussein dan “Interlok”nya, malah menyaksikan pembakaran novel dan gambar Abdullah Hussein. Saya putuskan tidak hadir dimajlis PAS di tenang….. Pak Samad
Sms dari Dinsman: Mngapa dr Mariah ikut sokong bakar novel Interlok? Tentu dia x faham apa masalah sbnar. Tlg lihat knyataan penuh Paksi mngnai isu ini dlm Malaysiakini 5 jan.
Mingguan Malaysia melaporkan di muka surat 4: Novel Interlok dibakar . Saya quote di antara laporan yang keluar ialah “ Turut hadir pada demonstrasi itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M Manoharan.
Ketika bercakap kepada pemberita, Mariah berkata, pihaknya mengaku Interlok adalah karya yang hebat tetapi terdapat frasa yang begitu sensitif di kalangan masyarakat India di Negara ini.
“Bagi saya, sebagai orang yang ada pendidikan tinggi tidak terasa apa-apa tetapi di kalangan orang biasa, dia baca rasa tersinggung dan terguris. Kalau begitu perasaan orang India kita perlu menghormati mereka, apa yang mereka minta ialah ia tidak dijadikan buku teks, ia boleh dijual sebagai novel tetapi tidak dibaca di sekolah kerana boleh membentuk pemikiran para pelajar,” katanya.
Katanya, orang India di Negara ini sekarang bertungkus lumus untuk tidak membesarkan isu kasta dan jika boleh, mereka mahu membesarkan anak-anak tanpa mengenal kasta.
“Sistem kasta adalah sejarah yang terlampau menghimpit orang India, jadi kita kena hormati mereka. Terpulanglah kepada pengarang (Interlok) kalau beliau sanggup mengubah frasa terbabit, itu haknya tetapi menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran untuk menghormati kaum India” katanya.
Untuk berlaku adil kepada Mingguan Malaysia, 90% laporan tepat kerana tidak mungkin pemberita melaporkan semua yang saya katakan dan tidak melaporkan yang saya meninggalkan demonstrasi itu sebelum upacara pembakaran buku dan gambar penulis Interlok.
Penjelasan saya
Saya diberitahu mengenai rancangan demonstrasi dan upacara pembakaran 2 jam sebelum itu. Saya tidak tahu siapa yang menganjurkan tetapi ahli-ahli DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS) dan pengundi-pengundi India Kota Raja dan dari kawasan Klang turut terlibat. Kebimbangan takut tercetus pergaduhan tidak boleh dinafikan kerana yang terlibat semua kaum India. Ahli DHPP minta saya hadir bersama dan sebagai wakil rakyat yang mereka pilih, wajar saya hadir menunjukkan kebersamaan saya ketika mereka memerlukan pemimpin mereka. Saya tidak semestinya bersetuju dengan mereka tetapi kehadiran saya boleh menyejukkan kemarahan mereka. Kebetulan penulisnya ialah seorang Melayu sebangsa dengan saya. Ketidakhadiran saya mungkin akan disalah tafsir sebagai menyebelahi penulis Melayu dan saya tidak berempati dengan mereka.
Apabila sampai ke tempat demonstrasi, saya terlebih awal memberitahu dan memohon maaf kepada mereka kerana belum sempat membaca buku Interlok. Sukar untuk saya komen sesuatu yang saya tidak tahu. Lalu saya ditunjukkan buku tersebut dan sempat membaca beberapa bahagian yang disanggah dan dikatakan menghina mereka. YB Manoharan (ADUN Kota Shah Alam) kemudian menjelaskan apa kandungan buku kerana dia telah membaca buku tersebut sebanyak 2 kali. Katanya buku itu mengatakan yang tiga suku kaum India terbesar di Malaysia (Telegu, Malayalam dan satu lagi) adalah dari kasta paria dan banyak lagi yang mereka luahkan kepada saya. Saya sedar ini persepsi mereka dan mereka berhak dengan cara pemikiran mereka. Saya berempati dengan mereka. Hampir 3 tahun saya menjadi wakil mereka dan saya rasa saya faham cara pemikiran, masalah dan kehendak mereka.
Mereka marah kerana Interlok dijadikan buku teks dan anak-anak kaum India akan terpaksa membaca buku tersebut untuk menjawab soalan peperiksaan. Mereka tidak mahu sejarah kasta dihidupkan di dalam minda anak-anak India. Mereka mahu melupakannya dan mahu membesarkan anak-anak tanpa kasta. Dengan meletakkan novel tersebut sebagai buku teks, sudah pasti anak-anak mereka yang mungkin selama ini tidak tahu sangat mengenainya akan mula bertanya dan perkara dihidupkan semula dalam masyarakat mereka. Mereka tidak suka istilah pendatang dan beberapa istilah lain yang mereka kira menidakkan keMalaysiaan mereka. Mereka dilahirkan di sini. Mereka mahu menguburkan sejarah silam dan usaha ini berlaku secara evolusi, tetapi Interlok dikatakan mengungkit perkara ini dan luka lama akan berdarah kembali.
Saya ingat pesanan untuk kerukunan rumahtangga, di antara perkara yang menjadi pantang larang dalam menjaga hubungan suami isteri ialah mengungkit sejarah dan keturunan. Ungkit sahaja sejarah lama atau menghina keturunan pasti menyakitkan hati pasangan dan akan berlaku perang besar yang boleh berakhir dengan cerai berai.
Kenyataan saya kepada media dan kepada kaum India yang berada di tempat demonstrasi:
1. Saya menyanjungi karya penulis dan sasterawan Negara, Abdullah Hussein, walaupun saya belum membacanya (kalau tidak, mana mungkin beliau dianugerah dengan pengiktirafan sasterawan Negara!). Tentulah ia sebuah karya seni yang hebat untuk mendapat pengiktirafan ini.
2. Kebebasan berkarya dan bersuara perlu kita hormati (dan dijamin perlembagaan).
3. Saya juga berempati dan memahami kenapa orang India marah dan membantah novel tersebut dijadikan buku teks. Mereka berhak untuk menolak perkara-perkara yang mereka tanggapi negatif di dalam pendidikan anak mereka. Sebahagian kaum India mahu beberapa frasa dan bahagian tertentu dibuang dari novel tersebut sementara ada yang berpendapat novel tersebut tidak wajar menjadi teks.
4. Saya tidak bersetuju buku tersebut diharamkan (berbeza dengan pendapat YB Manoharan yang mahu buku tersebut diharamkan) atas prinsip kebebasan berkarya dan bersuara.
5. Saya mempersoalkan motif Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan novel tersebut ke sekolah. Saya yakin beliau tahu sangat isi novel dan potensi konflik yang akan timbul. Saya percaya dan yakin bahawa ada motif politik yang tersirat. Mesej yang hendak dihantar kepada murid-murid India ialah “ketahui lah asal usul anda” apabila membaca buku itu. Semenjak peristiwa Hindraf turun ke jalan pada bulan November 2007, kaum India menjadi begitu sedar tentang layanan yang mereka terima sebelum itu dan mereka sangat sensitif sebarang perkara yang ditanggapi menghina mereka. Kenapa novel ini dan tidak novel lain ketika hubungan kaum berada ditahap yang rendah akibat tindakan mereka yang melaungkan ketuanan Melayu.?
6. Menjadi hak penulis jika beliau mahu menyunting novel tersebut untuk mengurangkan rasa tidak senang dan marah kaum India. Terpulang kepada beliau. Jika beliau enggan, menjadi tanggung jawab kementerian pelajaran untuk menarik balik novel tersebut sebagai buku teks. (Tapi Kementerian Pelajaran telah berbelanja jutaan ringgit untuk mencetak dan telah mengagihkan novel tersebut dan penulis juga telah menerima royaltinya. Mungkinkah novel tersebut ditarik balik? Banyak kepentingan yang perlu difikirkan. Namun adakah perasaan kaum India menjadi salah satu kepentingannya? Persoalannya wahai menteri, “Are the feelings of the Indians equally important to come into the equation for the minister’s decision making and for the various defenders of the novel?)
Mungkin satu hari nanti apabila kaum India sudah merasa “safe and secure as Malaysians” dan mereka diterima sebagai rakyat Malaysia tanpa syarat (unconditional acceptance) - yakni mereka sudah diterima sepenuhnya oleh sesetengah pihak sebagai sebahagian dari rakyat Malaysia, asal usul datuk nenek mereka tidak diungkitkan lagi serta mereka dilayan adil, kesetiaan mereka juga tidak lagi dipertikaikan dan apabila mereka menuntut hak mereka bukan lagi menuntut atas sifat kaum tetapi sebagai rakyat Malaysia – pada ketika itu mungkin apabila mereka membaca INTERLOK mereka tidak akan merasa tersinggung dan terhina lagi….and they may even laugh about it… because they come a long way to be where they are… dan tanggung jawab kita sebagai rakyat Malaysia membantu mereka mencapai tahap itu.
Interlok telah berjaya dijadikan “wedge” di antara pejuang sastera dan pejuang rakyat marhaen dengan rakyat yang cuba mereka bela. Hebat Mahyuddin Yassin!. Fikir-fikirkan lah. Tidak salah jika saya katakan sesuatu yang berlaku di Negara ini yang didalangi oleh pemimpin BN/UMNO ada motif tersirat. Ianya tidak berlaku secara kebetulan.
Saya meninggalkan demonstrasi selepas membuat kenyataan akhbar dan tidak berada di situ apabila buku dan gambar Abdullah Hussein dibakar.
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah