Sunday, December 30, 2012

Dewan Muslimat sokong pendirian Presiden PAS


SIARAN MEDIA KETUA PENERANGAN DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
Sokong Pendirian Presiden PAS Untuk Diberi Ruang Muncul Sejam Di TV1 Dan TV3
Bagi Menjelaskan Isu “Amanat Haji Hadi”
 
1.      Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyokong penuh pendirian Presiden PAS yang berbentuk permintaan dan harapan agar diberikan ruang untuk muncul sejam di TV1 dan TV3 bagi menjelaskan segala isu yang berbangkit daripada apa yang disebut-sebut oleh ramai pihak khususnya dimainkan oleh media proksi BN sebagai “AMANAT HAJI HADI”.
 
2.      DMPP melihat bahawa pendirian Presiden PAS ini adalah sangat berani, wajar dan bertanggungjawab. Pendirian dan sikap ini juga secara tidak langsung membuktikan kepada kita semua bahawa Presiden PAS adalah di pihak yang benar, selari dengan pepatah Melayu “berani kerana benar”. Justeru, laporan Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa Presiden PAS terus membisu daripada memberi respon terhadap isu ini  juga barangkali sudah sampai “buku bertemu ruas” dan sepatutnya pihak mereka (media proksi BN dan UMNO seperti TV1, TV3 dan Utusan) menerima perkembangan ini ibarat “orang mengantuk disorongkan bantal”!
 
3.      Kami yakin dan percaya bahawa ini adalah sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pihak khususnya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan parti politik untuk mendengar sendiri penjelasan daripada YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Ini prinsip demokrasi yang sangat fundamental, asas! Jangan berdalih lagi, kalau “anda” berani dan memperjuangkan kebenaran maka berikan Presiden kami ruang sejam.
 
4.      Justeru itu, DMPP mendesak Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Penerangan yang bertanggungjawab ke atas TV1 dan seterusnya pihak Media Prima yang bertanggungjawab ke atas TV3 segera menyahut “permintaan” Presiden PAS yang kami kira cukup “gentleman” ini. Keupayaan dan kesungguhan kedua-dua pihak terbabit iaitu TV1 dan TV3 bagi memenuhi permintaan Presiden PAS ini juga  akan menjadi tanda aras  bahawa kedua-dua pihak berkenaan siap untuk memberi laluan kepada pimpinan utama daripada parti politik selain daripada pihak BN.
 
5.      Janganlah pula kemudiannya ada yang mengambil sikap takut memberi laluan kepada Presiden walau hanya sejam kerana rakyat seluruhnya nanti akan faham bahawa mereka (yakni TV1 dan TV3) itu “takut kerana salah”. Kita semua tahu TV1 dan TV3 sangat ghairah mempermainkan isu ini, maka ini adalah peluangnya mereka menunjukkan keberanian mereka pula. Jangan hanya berani “lontar batu sembunyi tangan”. Bertanggungjawablah dengan apa yang telah kalian laporkan secara fitnah, adu domba dan sangat berniat jahat.
 
 
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia
19 Disember 2012

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts