DATUK SERI LAJIM UKIN sebagai pemimpin veteran Sabah, mengejutkan dunia politik negara apabila beliau bertindak keluar parti ketika rakyat negara ini ternanti-nanti tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Dengan Pakatan Rakyat (PR) tidak berhenti-henti berkempen di Negeri Bawah Bayu ini, ramai penganalisis melihat pembangkang mampu membuat kejutan di negeri ini sekali gus mencerahkan peluang PR merampas Putrajaya.
Persoalannya sekarang, adakah Lajim mampu memberi daya tujah tambahan kepada usaha PR? Ikuti wawancara khas Sinar Harian, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN dan jurugambar, SAFWAN MANSOR menyingkap tindakan Lajim.
Kenapa Datuk memilih keluar Umno dan Barisan Nasional (BN) sekarang?
Saya keluar kerana Umno terutamanya di Sabah bukan lagi seperti Umno dahulu. Umno Sabah sudah dikuasai oleh Pengerusi Perhubungan Umno Negeri sendiri, Datuk Seri Musa Aman.
Apa sahaja yang beliau lakukan adalah monopoli dan tiada orang lain boleh menegur. Selain itu, tiada dasar konkrit Umno di Sabah untuk mengatasi masalah yang dihadapi rakyat termasuklah di kawasan saya.
Jadi Datuk keluar dari Umno kerana masalah dengan Ketua Menteri?
Dalam parti, saya hormatinya sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri, tetapi dalam soal peribadi, mungkin beliau mengambil hati dengan saya kerana saya terlalu lantang dalam menyuarakan masalah rakyat dan soal perpaduan dalam parti.
Saya sering berkata dalam parti jangan ada cantas-mencantas, letak calon sendiri untuk jatuhkan Ketua Bahagian Umno sendiri. Sebagai contoh saya sendiri, Pada tahun 2008, Ketua Wanita Umno Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun melawan saya, sedangkan pada waktu itu Musa sebagai Ketua Perhubungan dan Ketua Menteri.
Jika beliau rasa bertanggungjawab yang tinggi, sepatutnya beliau boleh menasihatkan Ketua Wanita itu supaya tidak bertanding.
Saya berkata begini kerana pertama, beliau sudah menang menjadi Ketua Wanita. Keduanya, tiada kedengaran rakyat di kawasan Beaufort yang mahu saya turun dari menjadi wakil rakyat. Selain itu, tiada keadilan kepada pemimpin-pemimpin tertentu.
Ada pemimpin yang dapat lebih, ada pemimpin yang tidak dapat apa-apa. Umno sepatutnya adalah milik semua orang.
Apakah tiada sebab-sebab lain?
Seperti pembangunan, contohnya.Masalah utama adalah masih ramai lagi rakyat tidak mendapat bekalan elektrik dan air sejak 49 tahun pembentukan Malaysia.
Rakyat masih meronta-ronta mahu mendapatkan bekalan air bersih. Malah ada kawasan sudah dipasang paip namun airnya masih tiada.
Perkara ini sudah disuarakan saya sejak menjadi Adun lagi. Ketika saya menjadi Timbalan Ketua Menteri pun saya sudah bawa isu ini ke hadapan. Namun masalah air tetap berlaku
Saya juga melihat tahap pembangunan di Sabah masih tidak menyeluruh, tidak sekata kerana masih banyak lagi kawasan masih belum menerima pembangunan, tidak seperti di kawasan negeri lain. Sepatutnya pembangunan dibawa ke kawasan ini.
Apakah penyelesaian yang Datuk cuba bawa?
Antara penyelesaian yang saya cuba bawa adalah projek tambatan banjir di kawasan saya. Beaufort adalah daerah yang terkenal sejak setengah abad dahulu kerana setiap tahun mesti tiga empat kali banjir. Perkara ini sudah pun dibangkitkan tetapi sehingga hari ini tiada langkah yang diambil oleh kerajaan negeri atau pusat.
Saya juga pernah bangkitkan isu banjir ini kepada kerajaan pusat. Akhirnya saya diberitahu usul tersebut sedang dipertimbangkan. Hingga hari ini tiada apa-apa lagi jawapan. Jadi, apabila begitu, sedangkan saya menjadi wakil rakyat, maka saya tahu rakyat di kawasan saya akan melihat saya tidak berkemampuan untuk menyelesaikan masalah ini.
Walaupun saya sebelum ini sebahagian dari kerajaan, namun saya masih perlukan surat menyurat yang rasmi sama ada kepada kerajaan negeri atau persekutuan agar projek-projek ini dapat direalisasikan.
Jadi adakah faktor tiada bekalan asas ini mendorong Ahli Parlimen atau Adun lain keluar parti?
Saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka, tetapi saya ada bertemu dengan pemimpin-pemimpin ini. Ramai dari pemimpin Sabah hanya menunggu masa. Sama ada mereka akan menyertai mana-mana parti, itu terpulang kepada mereka.
Saya mahu pemimpin Sabah sedar apa yang sedang berlaku sekarang. Mengenai kepimpinan Ketua Menteri yang suka cantas-mencantas. Ramai pemimpin Umno sejak dari 2008 sudah dicantas oleh beliau termasuklah bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Yusoff Yaakob sedangkan beliau termasuk dalam winnable candidate hanya kerana tidak sehaluan dengannya.Begitu juga dengan Speaker Dun Sabah, Datuk Seri Salleh Said, dulu menteri, dibuang oleh Musa. Sedikit contoh ini membuktikan bahawa kepimpinan Sabah adalah kepimpinan one man show. Beliau sering bertindak secara sendirian.
Selain itu, contoh cantas mencantas, Ketua Pemuda Umno Negeri, Azman Ruslan, beliau tiada apa-apa masalah, hanya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sebuah anak syarikat di bawah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Afdal. Shafie ini pun tidak sehaluan dengan Musa. Hanya kerana tidak sehaluan, Azman menjadi mangsa.
Azman adalah pemimpin yang cukup berwibawa, dengan kelayakan sebagai seorang peguam syariah, beliau amat sesuai menjadi pemimpin namun tetap juga dicantas. Kenapa ia berlaku?
Kerana ada konflik antara Musa dan Shafie maka akhirnya Ketua Pemuda Negeri menjadi mangsa. Sepatutnya perkara seperti ini tidak berlaku.
Begitu juga yang berlaku kepada saya, saya dibuang pada tahun 2004 sebagai Timbalan Ketua Menteri. Saya menang tanpa bertanding. Hanya kerana calon BN kalah di Dun Kuala Penyu. Pada ketika itu saya hanyalah Ketua Bahagian dan saya dituduh mensabotaj calon BN itu.
Kekalahan calon BN di Dun Kuala Penyu itu besar, dengan majoriti lebih dua ribu. Kalau benar saya sabotaj, tidak mungkin saya dapat membawa lebih dua ribu pengundi tidak mengundi calonBN. Saya menjadi mangsa.
Sejak dahulu lagi, memang ramai yang mahu menukarkan saya. Malah menjelang PRU13, ada berkata saya tidak akan menjadi calon lagi. Saya tidak tahu apa silap saya. Memang saya tidak nafikan ada juga yang tidak menyokong saya, tapi saya berani katakan di kawasan Beaufort, majoriti masih memilih saya menjadi calon.
Adakah Datuk sebelum ini memang mahu keluar dari Umno kerana krisis yang sama atau yang berlainan?
Pada saya, apabila saya menyertai Umno, saya harap Umno berkemampuan untuk melakukan perkara yang lebih baik dari kerajaan yang dahulu. Jadi saya sanggup berkorban dengan keluar dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan berfikir Umno mampu selesaikan masalah rakyat.
Masalah-masalah utama pada ketika itu adalah pendatang tanpa izin, masalah pembangunan, ekonomi dan mencari cara mengeluarkan rakyat dari kemiskinan tegar, itu yang saya harapkan.
Tetapi selepas 18 tahun BN mengambil alih dan sistem penggiliran Ketua Menteri diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Sistem ini cukup rosak dan teruk sehingga ekonomi Sabah pada ketika itu jatuh merudum.
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah