Persidangan Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha enggan memberi laluan kepada ahli-ahli parlimen Pakatan untuk mencelah bertanyakan soalan berkaitan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Ketika sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan pagi tadi, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar cuba bangun meminta penjelasan menteri walaupun tidak diberikan peluang bertanya.
"Kenapa menteri enggan memberi ruang untuk kita bertanya dan saya lihat menteri seolah-olah takut untuk jawab kerana risau ia akan terbongkar.
"Saya pasti ini disebabkan semuanya ada kepentingan sebab itu takut," jelas beliau walaupun Kong Cho Ha enggan memberi laluan.
Sebelum itu, pada awal sesi penggulungan telah timbul kekecohan apabila menteri mengatakan akan menjawab isu berkaitan AES pada akhir penggulungan.
Mahfuz ketika itu mengatakan tindakan tersebut adalah alasan menteri untuk tidak menjawab pertanyaan AES.Mahfuz yang meneruskan pertanyaan meminta kerajaan memberitahu apakah bukti kukuh yang mengatakan pemasangan kamera dapat mengurangkan kadar kemalangan.
"Ada perkara yang tidak betul dalam pelaksanaan projek ini, dan saya pasti ia bukannya untuk tujuan menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kadar kemalangan.
"Tetapi ia adalah sebenarnya untuk kayakan kroni dengan cara merompak duit dari rakyat," kata Mahfuz sambil ditentang oleh ahli-ahli parlimen Barisan Nasional.
Tambahnya lagi, kerajaan perlu memberi penjelasan bagaimana syarikat yang tidak mempunyai pengalaman dalam pelaksanaan AES boleh dilantik untuk melaksanakan projek tersebut.
Kong Cho Ha dalam jawapan ringkasnya menyatakan apa yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Pakatan adalah dengan niat untuk memutar belitkan fakta.
Namun kenyataan tersebut disangkal oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang memberitahu menteri sepatutnya menjawab persoalan yang dibangkit bukannya mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Penggulungan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan bersambung pada jam 2.30 petang.
Mahfuz dan Kong Cho Ha terus menjadi tumpuan apabila kedua-dua mereka terus menimbulkan isu di dalam dewan dan di lobi parlimen.
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah