Friday, November 30, 2012

Muslimat mahu Najib debat terbuka dengan PAS


Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mencadangkan pemimpin tertinggi Umno berdebat secara terbuka dengan pemimpin tertinggi PAS daripada terus menjadikan Perhimpunan Agung umno (PAU) sebagai medan memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, ucapan perasmian Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ucapan dasar ketua-ketua sayap pemuda dan wanita hinggalah ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak memberi fokus kepada hala tuju parti itu.

Sebaliknya mereka mengambil peluang tersebut untuk memburuk-burukkan Pakatan rakyat semahu-mahunya.

"Ucapan dasar Datuk Seri Najib menjadi ucapan nanar yang sasarannya ialah Pakatan Rakyat khususnya PAS.

"Muslimat mencadangkan Presiden Umno berdebat dengan Presiden PAS, Timbalan Presiden berdebat dengan Timbalan Presiden PAS dan naib-naib presidennya dengan Naib Presiden PAS.

"Tidak guna mereka menggunakan perhimpunan sendiri untuk mengutuk pihak lawan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Tambah Aiman lagi, debat tersebut bukan untuk mencari siapa menang dan siapa kalah sebaliknya mahu rakyat menilai sendiri ketokohan semua pimpinan kedua-dua parti.

"Kita bukan mahu mencari pemenang tapi kita mahu debat yang harmoni, penuh fakta, menunjukkan intelektual pemimpin supaya rakyat dapat menilai sendiri.

"Sebaik-baiknya debat ini diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 sebelum rakyat memilih pemimpin yang dirasakan layak," katanya.

Beliau juga yakin wanita dan generasi muda mahu melihat pemimpin yang lebih matang dan mempunyai matlamat yang jelas daripada pemimpin yang hanya tahu memburuk-burukkan pihak lewan di medan sendiri.

"Muslimat juga mewakili generasi muda mahu melihat politik yang lebih matang dengan gagasan pemikiran yang dibawa, bukan politik kutuk-mengutuk kerana zaman politik begitu sudah berakhir," katanya.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts