Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mempertegaskan bahawa parti sudah bersedia untuk memerintah negara bersama rakan gabungan Pakatan Rakyat bagi memikul dan melaksanakan amanah berdasarkan resolusi permuafakatan gabungan itu.
"Maka PAS mengadakan Tahaluf Siyasi, dalam persefahaman Pakatan Rakyat yang menegakkan konsep dalam persamaan dan tidak memaksa dalam perbezaan.
"Iltizam politik menerusi Tahaluf Siyasi ini menuntut kita terus bekerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, secara kolektif dalam mengurus pentadbiran negeri dan negara," katanya.
Pada masa yang sama, Abdul Hadi turut menyeru setiap ahli PAS yang berada dalam lingkungan pentadbiran dan pemerintahan kerajaan, perlu memahami fiqh aulawiyat (fikah keutamaan), maqasid syariah, serta bertegas dalam perkara dasar selari dengan Perlembagaan PAS.
"Tahaluf Siyasi ini juga tidak seharusnya mengaburkan kefahaman ahli PAS terhadap konsep Fiqh at-Taat terhadap parti kita sendiri," katanya dalam ucaptama Muktamar PAS ke58 di Kota Bharu pagi ini.Abdul Hadi menegaskan bahawa parti itu "percaya dan yakin bahawa peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat akan berlaku dengan lancar dan aman sekiranya rakyat memberikan amanahnya kepada Pakatan Rakyat.
"Kepada rakyat keseluruhannya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik. Maka sekiranya kita gagal melaksanakan amanah itu, rakyat bolehlah menghukum kami dalam pilihanraya yang seterusnya," katanya.
Abdul Hadi berkata PAS memberikan suatu jaminan bahawa jentera kerajaan Pusat atau Negeri yang terdiri dari pegawai berbagai peringkat, tidak akan dizalimi atau dibalas dendam kerana mereka yang akan melaksanakan dasar kerajaan semasa yang dipilih oleh rakyat.
"Hubungan yang baik dengan institusi Raja berpelembagaan akan dipertahankan, sebagaimana komitmen bersama Pakatan Rakyat yang kita ikrarkan," katanya.
Menurutnya, sekiranya gabungan itu diberikan amanah, maka parti itu akan mengusulkan supaya dimansuhan akta yang dianggap zalim, mengembalikan kewibawaan institusi penting dalam negara, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), instituti pendakwaan dan kehakiman, Parlimen Malaysia, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.
"Perjalanan pilihanraya yang lebih adil dan bebas akan terus diperjuangkan oleh PAS, walaupun setelah kita sampai ke Putrajaya nanti kerana inilah ciri sebuah negara demokrasi yang sihat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah