Sunday, May 12, 2013

Kelahiran anak sulong PAS di Melaka

KETIKA berceloteh mengenai suasana hari penamaan calon di Melaka 20 April lalu, saya menyatakan ada 'kemajuan menarik' antara PAS dan DAP tatkala melihat buat pertama kalinya penyokong kedua-dua parti saling bercampur dengan bendera mereka (bulan dan roket) berkibaran berselang seli.

Situasi itu tidak saya lihat pada PRU 2008 dan sebelumnya. 'Percampuran' itu terbukti membantu PAS dalam melahirkan anak sulungnya di bumi Hang Tuah (PAS melalui calonnya Dr Mohd Khalid Kassim menang di Bukit Baru, N17 dengan majoriti 48 undi) manakala DAP meraih manfaatnya apabila akhirnya berjaya mengakhiri legasi BN (MCA) di kawasan seperti Duyong (N23).

Di Duyong, Pengerusi MCA Melaka yang juga penyandang kerusi itu, Dato' Gan Tian Loo ditewaskan oleh Pengerusi DAP negeri, Goh Leong San dengan majoriti 205 undi. 

Tentunya kejayaan itu dibantu KeADILAN, dan ia menjadi lebih manis lagi apabila ikatan padu ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu melenyapkan ego Ketua Menteri, Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang kecundang di kawasan Parlimen Bukit Katil (P137) dengan majoriti agak besar (5,447 undi) di tangan Pengerusi KeADILan Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin.

Kekalahan Mohd Ali yang pernah mengadakan majlis kahwin anaknya yang dihadiri lebih 100,000 tetamu, diselubungi 'misteri' seperti terpadamnya lampu ketika pengiraan undi. Beliau menyalahkan rakyat terutama orang Cina yang dakwanya tidak pandai 'mengenang budi'. 

Berdasarkan senario di Dun dalam Parlimen Bukit Katil (Bukit Baru, Bachang, Ayer Keroh dan Ayer Molek) dan Parlimen Bukit Katil sendiri, ada iktibar menarik yang boleh dijadikan panduan.

Hanya kawasan inilah yang mencatatkan perubahan di Melaka; kawasan lain (luar bandar) tetap didominasi oleh BN manakala di bandar (terutama Kota Melaka) dimonopoli DAP. 

Di Dun Bukit Baru, pengundi Melayunya ada kira-kira 55 peratus, Cina lebih kurang 40 peratus manakala India kira-kira 5 peratus.

Dipercayai pengundi Melayu berpecah dua; dan apabila situasi ini berlaku, dengan undian pengundi Cina terutama daripada DAP menyebelahi calon PAS, maka tercatatlah sejarah Dr Khalid yang pernah menjadi Timbalan Pengarah Hospital Melaka, 'melahirkan anak sulung' PAS di negeri Hang Tuah. 

Bagi Parlimen Bukit Katil (pengundi Melayunya 51 peratus, Cina 42 peratus dan India 6 peratus) faktor kebangkitan anak muda dan kesedaran sesetengah pengundi akan amalan korupsi dan seumpamanya, dibantu kejituan jentera dan penyokong PAS, KeADILan dan DAP serta kewibawaan dan kelantangan calonnya (Shamsul Iskandar), memberi sumbangan kepada kejatuhan Mohd Ali, ketua menteri selama lebih sedekad. 

Jika ditinjau kemenangan DAP (Goh Leong San) di Duyong pula (pengundi Cina lebih 50 peratus, Melayu 45 peratus dan India 4 peratus), saya percaya selain daripada sokongan pengundi tegar DAP, kesediaan ahli dan penyokong PAS dan KeADILan untuk memberi undi kepadanya berdasarkan suntikan semangat Pakatan Rakyat; menyebabkan Tian Loo beserta penyokongnya daripada orang Cina dan Melayu tersungkur sama. 

Rumusannya, kerjasama erat PAS, DAP dan KeADILan, membolehkan ketiga-tiga pihaknya mencatat kejayaan ditandingi calon mereka yang merupakan sejarah di bumi Hang Tuah.

Penyokong rakan PAS dalam Pakatan Rakyat terutama DAP telah membuka laluan untuk PAS mencatat 'kelahiran anak sulung' dengan memenangi Dun Bukit Baru manakala penyokong PAS telah membantu calon DAP untuk menang di Dun seperti Duyong. 

Berkenaan sahabat saya, Harun Mohamed yang bertanding di Dun Telok Mas (N23) seperti dicoretkan dalam keluaran lalu; syabas diucapkan kerana beliau berjaya merapatkan jurang majoriti kekalahan kepada hanya 701 undi (beliau mendapat 7,332 undi berbanding Latiff Tamby Chik memperolehi 8,033 undi),

Mungkin undian penyokong DAP sebagai bantuan kepadanya masih tidak memadai untuk beliau menang kerana kawasan itu mempunyai pengundi Melayu yang tinggi (70 peratus) sedangkan Cina hanya 28 peratus. 

Akhir sekali, syabas PAS Melaka kerana berjaya melahirkan anak sulung; pada PRU berikutnya diharapkan dapat melahirkan kembar yang banyak pula seterusnya mengetuai kerajaan baru rakyat; jadi terus bekerja keras dan berdoalah mulai sekarang! - http://lanh14.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts