Saya sungguh teruja apabila Surau Al-Haq menjemput saya meresmikan program kitar semula dikalangan kariah surau. Tahniah kepada pengerusi surau, Lt Kolonel Mohd Tayazi dan AJK nya.
Mereka berjaya mengerakkan ahli kariah untuk menghimpun kertas dan plastik untuk kitar semula dan pada masa yang sama menambah dana surau dengan menjual bahan-bahan tersebut. Insyaallah, saya diberitahu mereka akan mengumpulkan bahan-bahan kitar semula ini sebulan sekali. Sebenarnya banyak sungguh idea yang telah dijanakan untuk memastikan bumi (yang kita pinjam anak cucu kita) ini dapat kita selamatkan dan pulihkan jika kita mempunyai sikap mesra alam.
Tidak susah untuk kita membantu memelihara alam sekitar. Saya butirkan apa yang terlintas dikepala saya sahaja kali ini dan dapat kita amalkan bersama, bermula dengan diri sendiri:
1)jangan buang sampah merata tempat. Simpan sampah dlm poket sendiri/dlm beg/dlm kereta sehingga bertemu dgn tong sampah. Jangan buang, walau pun puntung rokok, ke luar kereta. Tidak macho begitu walaupun bawa kereta mewah!
2)Sisihkan sampah mengikut kategori di rumah dan di tempat kerja anda. Kalau di rumah sisa makanan, kulit buahan dan seumpamanya boleh dikompos untuk menjadi baja. Minyak masak yang terpakai (digunakan untuk menggoreng beberapa kali) juga boleh dikitar semula. Boleh menjana pendapatan dari bahan-bahan terbuang ini.
3)Untuk membeli belah, kurangkan menggunakan beg plastik, bawalah beg mesra alam yang boleh dipakai ulang kali. Pastikan ada beg-beg ini di dalam kereta anda setiap masa.
4)Guna pinggan mangkuk pakai buang (disposable) yang mesra alam yang diperbuat dari hampas tumbuhan (tebu). Jika di tanam akan hancur menjadi baja (biodegradable) dalam masa dua bulan. Pinggan mangkuk atau pembungkus makanan dari styrofoam atau plastik mengambil masa bertahun-tahun untuk hancur. Cacing pun tak boleh makan bahan ini!
5)Jika menggunakan bekas makanan plastik atau styrofoam, cuba kurangkan penggunaannya. Guna setakat yang perlu. "Caterer" majlis jamuan memberitahu saya yang jumlah bekas makanan biasanya 3 kali jumlah jemputan. Bayangkan jika jemputan anada 500 orang, dia perlu menyiapkan 1500 keping pinggan dan 1500 keping gelas! Belum masuk sudu dan garfu atau mangkuk. Jangan oleh kerana bahan-bahan ini murah, maka kita membazir dalam penggunaannya.
6)Kain rentang atau baner dari PVC boleh dijahit menjadi beg-beg untuk ke pasar yang tahan lama.
7)Menghijaukan bumi dengan menanam pokok-pokok untuk menggantikan pokok-pokok yang manusia tebang dengan meluas di seluruh dunia.
8)Jangan mencemarkan sungai-sungai dan parit-parit kita dengan sampah. Kalau pergi berkelah tu bawalah balik sampah tu.
Harapan saya surau-surau dan masjid dalam kawasan Kota Raja akan mengikut jejak langkah Surau Al-Haq. Bukan sahaja dapat membantu pemuliharaan alam sekitar, tapi boleh menambah dana surau disamping lebih mengeratkan silaturrahim diantara kita.
Alhamdulillah . Sangat berharap idea2 ini menyebar ke seluruh pelusuk selangor dan setiap ceruk di selangor ini akan bersih dari sampah sarap / pencemaran . Dan diikuti sehingga ke seluruh Malaysia.
ReplyDelete