Saturday, June 6, 2009

CCC akan duduk dibawah payung parti

Pas bercadang menjadikan Majlis Perundingan Cina (CCC) yang kemudiannya dikenali Kelab Penyokong Pas sebagai sayap parti itu supaya ia dapat melibatkan diri secara langsung dalam pilihan raya di bawah payung parti tersebut.

Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sehubungan itu perlembagaan Pas akan dipinda untuk memasukkan peruntukan kewujudan kelab tersebut dan statusnya dalam organisasi, keahlian dan peranannya dalam parti berkenaan.

Beliau menjelaskan, usaha itu diambil bagi memperkasakan kelab berkenaan sekali gus menghargai sokongan yang diberikan dan sehingga kini keahliannya mencecah 20,000 orang.

‘‘Ia juga bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku dan tahap kefahaman ahli yang bertambah dan ia sesungguhnya merupakan satu langkah bersejarah dalam parti sebagai paradigma baru dalam Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-55 di Stadium Malawati di sini hari ini.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Abdul Hadi menjelaskan, masyarakat bukan Islam telah memberi kepercayaan kepada parti itu bukan sahaja sebagai penyokong tetapi menunjukkan kesungguhan semasa pilihan raya umum yang lalu apabila memenangkan calon-calon Pas.

Tambahnya, ekoran perkembangan dan anjakan paradigma yang ditunjukkan di kalangan masyarakat bukan Islam, Pas perlu mengambil langkah proaktif untuk melibatkan mereka secara langsung dalam parti berkenaan.

‘‘Ini satu petanda yang sangat baik tetapi kita tidak gopoh melaksanakannya, kita tidak mahu mereka faham kita untuk memperalatkan mereka dan kita tidak mahu menjadi parti penipu.

‘‘Sebaliknya kita mahu menjadi parti yang ikhlas dan mereka merasai sendiri peranan mereka bersama dalam Pas,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Pandangan mungkin berbeza, komenlah dengan berhemah

Recent Posts ; Parlimen Kota Raja

Recent Post

Popular Posts